'COUNT DOWN' MUKTAMAR TAHUNAN PAS KALI KE-71 : KEDAH SEKALI LAGI JADI TUAN RUMAH


'COUNT DOWN' MUKTAMAR TAHUNAN PAS KALI KE-71 
2025 - Kedah Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Muktamar PAS

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Tahun 2025 sekali lagi mengangkat Kedah sebagai tumpuan politik dan perjuangan Islam di tanah air. Selain menyambut Tahun Melawat Kedah 2025, negeri ini diberi penghormatan sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kali ke-71 yang bakal berlangsung pada 11 hingga 16 September 2025 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Bagi PAS Kedah, penganjuran ini bukan sekadar acara tahunan tetapi medan menghimpunkan ribuan perwakilan, pemerhati dan penyokong dari seluruh negara. Ia adalah pentas muhasabah, medan ijtihad politik dan lambang kesatuan saf perjuangan yang akan memberi limpahan manfaat kepada seluruh negeri.

Selain mengukuhkan ukhuwah dan menyatukan fikrah, kehadiran peserta dari seluruh pelusuk tanah air dijangka memberi impak positif kepada ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan, penginapan, pengangkutan dan perniagaan kecil.

Enam Hari, Semua Dewan Berkumpul

Muktamar kali ini berlangsung enam hari penuh, menggabungkan perhimpunan semua sayap utama PAS di Kedah.

Di Komplek PAS Kedah, Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuka tirai pada 11 dan 12 September diikuti dengan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat pada 13-14 September manakala pada kemuncaknya Muktamar Tahunan PAS Pusat yang akan berlangsung pada 15-16 September.

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) dan Sidang As-Sabiqun PAS Pusat (As-Sabiqun) pula akan pada tarikh yang sama iaitu pada 13 September tetapi dimaklumkan tiga lokasi yang berbeza. Muktamar DUPP akan diadakan di Darul Hadis, Kampung Tok Keling, Alor Setar, Konvensyen DHPP pula di Gandhi Hall, Sungai Petani manakal Konvensyen As-Sabiqun di SAIF, Guar Chempedak.

Penganjuran secara serentak ini bakal mencipta suasana penuh semangat, menghimpunkan pimpinan dan ahli dari pelbagai peringkat untuk memperkukuh gerak kerja dan strategi menghadapi cabaran masa depan.

Sejarah Kedah Sebagai Tuan Rumah

Sejak 1951, Kedah telah enam kali menjadi tuan rumah Muktamar PAS, termasuk penganjuran tahun ini.

Kali pertama adalah pada tahun 1962 (Muktamar ke-10) di Bangunan Persatuan Guru-guru Melayu Kedah, di bawah Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Lebai Pak Man Bukit Besar). Kali Kedua pula pada tahun 1984 (Muktamar ke-30) yang diadakan di Dewan Persatuan India Kedah (KIA), di bawah kepimpinan almarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil Noor.

Muktamar ke-52 pada tahun 2006 adalah merupakan muktamar kali yang ketiga di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Kompleks PAS Kedah, semasa pemerintahan almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar negeri Kedah.

Muktamar ke-63 pada tahun 2017 diadakan selepas tamatnya kerjasama Pakatan Rakyat, di bawah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Tahun 2022 pula adalah kali yang Kelima apabila Muktamar ke-68 berlangsung ketika PAS memerintah Kedah dan menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan.

Tahun ini, Muktamar ke-71 kembali sekali lagi di Kompleks PAS Kedah, dalam suasana PAS terus menerajui negeri dan berperanan di pentas nasional.

Pemilihan Pimpinan Sesi 2025-2027

Muktamar kali ini juga menjadi medan penting untuk pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta Dewan-Dewan Pusat bagi sesi 2025-2027.

Berbeza dengan parti-parti politik lain, pemilihan PAS berlangsung dalam suasana tenang dan penuh ukhuwah. Tiada perebutan yang mencetuskan krisis, walaupun proses pemilihan melibatkan 199 kawasan di seluruh negara. Pemilihan di peringkat Dewan-Dewan Negeri dan Kawasan juga berjalan lancar, meskipun sesekali berdepan isu teknikal. Semua permasalahan diselesaikan secara baik dan dalaman, tanpa menjejaskan perjalanan Mesyuarat Agung.

Inilah antara kekuatan PAS yang terbina melalui sistem tarbiyahnya yang mendidik ahli untuk meletakkan adab dan akhlak Islam sebagai teras perjuangan, sekaligus menjadikan pemilihan sebagai satu proses penyatuan, bukan perpecahan.

Menyusun Langkah Menuju PRU-16

Muktamar ke-71 ini berlangsung dalam suasana politik negara yang semakin mencabar. Ia akan menjadi medan penting untuk memperkemas hala tuju perjuangan, memperkukuh pentadbiran negeri dan menyusun strategi menghadapi PRU-16.

Kedah memikul amanah ini bukan sekadar menyediakan tempat tetapi menggalas tanggungjawab sebagai pencetus gelombang baharu perjuangan. Semangat para pejuang terdahulu menjadi sumber kekuatan untuk memastikan muktamar kali ini menjadi obor yang menerangi perjalanan PAS untuk dekad mendatang.

Biarlah muktamar kali ini menjadi saksi tekad kita, perjuangan Islam akan terus mara, membawa rahmat untuk semua dan membina Malaysia Sejahtera.

Ulasan