GEGARAN DI JOHOR: PERINGATAN ILAHI, TUNTUTAN KESIAPSIAGAAN NASIONAL




GEGARAN DI JOHOR: PERINGATAN ILAHI, TUNTUTAN KESIAPSIAGAAN NASIONAL

Oleh : Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

Johor dikejutkan dengan gegaran bumi pada 24 Ogos lalu apabila Segamat dilanda gempa berkekuatan 4.1 magnitud, diikuti susulan 2.8 magnitud berhampiran Kluang, dan sekali lagi pada 27 Ogos dengan kekuatan 3.2 magnitud di selatan Segamat. Walaupun berskala kecil dan tidak mencatatkan sebarang korban jiwa mahupun kerosakan besar, kejadian ini meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk Johor dan seluruh rakyat Malaysia.

Fenomena yang jarang berlaku di Semenanjung ini membuktikan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada risiko bencana alam. Gegaran terasa sejauh Muar, Melaka dan selatan Pahang menandakan kerak bumi Johor berpotensi menjadi laluan gelombang seismik yang kuat. Pakar menjelaskan ia berpunca daripada sesar kuno yang kembali aktif, tanda bumi ini sentiasa bergerak menurut sunnatullah.

Rakyat Malaysia Semakin Gusar

Hakikatnya, keresahan rakyat terhadap fenomena ini telah lama dirasai. Pada tahun 2023, Khidmat Malaysia pernah menegaskan bahawa kekerapan merasai gegaran gempa bumi dari negara jiran sudah mula menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Pakar-pakar juga memberi amaran. Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi UTM, Prof. Dr. Ir. Azlan Adnan menjangkakan kemungkinan Malaysia dilanda gempa sehingga 6 magnitud di Semenanjung dan 7 magnitud di Sabah. Malah, kawasan Lahad Datu pernah disebut oleh pakar geologi Sabah, Prof. Dr. Felix Tongkul, sebagai berpotensi dilanda gempa kuat dalam masa terdekat.

Sejarah juga membuktikan Malaysia pernah mengalami gegaran signifikan, antaranya di Ranau (2015), Lahad Datu (1976), Tasik Kenyir (2010) dan Bukit Tinggi (2009). Semua ini menandakan bahawa negara kita tidak sepenuhnya bebas daripada ancaman gempa bumi.

Keinsafan dari Sebuah Ujian

Sebagai umat Islam, setiap bencana kecil atau besar adalah peringatan daripada Allah SWT. Doa selamat dan solat hajat yang dianjurkan di masjid-masjid seluruh Johor membuktikan bahawa masyarakat kita masih berpegang kepada sandaran spiritual dalam menghadapi ujian alam.

Firman Allah SWT:

“Maka masing-masing (yang zalim itu) Kami seksa dengan dosanya; maka di antara mereka ada yang Kami timpakan ke atasnya hujan batu, ada yang ditimpa suara keras, ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan ada pula yang Kami tenggelamkan. Allah sekali-kali tidak menzalimi mereka, akan tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.” (al-‘Ankabut: 40)

Setiap gegaran adalah panggilan supaya manusia kembali sedar bahawa bumi yang kita pijak ini boleh bergetar pada bila-bila masa dengan izin-Nya.

Kesiapsiagaan Negara: Dari Retorik ke Tindakan

Walaupun tiada kerosakan besar berlaku di Johor baru-baru ini, ia tetap menjadi wake-up call untuk negara. Khidmat Malaysia pada 2023 telah menggariskan beberapa cadangan yang masih relevan sehingga hari ini, antaranya:

1. Perlu tingkatkan kesedaran rakyat.

Seperti mana rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan amaran banjir, begitu juga perlu diwujudkan kesedaran asas gempa bumi. Contohnya: bagaimana menyelamatkan diri ketika bangunan bergegar (drop, cover, hold), lokasi selamat berkumpul selepas gegaran serta persediaan beg kecemasan. Pendidikan ini boleh dimulakan melalui sekolah, masjid, media massa dan latihan komuniti. Tanpa ilmu asas, rakyat akan panik dan meningkatkan risiko kecederaan.

2. Perlu sediakan peta hotspot gempa bumi

Seperti peta banjir yang sudah diterbitkan oleh JPS, kerajaan perlu menyiarkan kawasan berisiko gempa sama ada kecil atau besar. Contoh: Ranau, Lahad Datu, Kunak di Sabah; Bukit Tinggi, Janda Baik, Tasik Kenyir dan kini Segamat–Kluang di Semenanjung. Apabila masyarakat tahu mereka berada di zon risiko, mereka akan lebih bersedia dari segi psikologi, pembinaan rumah dan latihan kecemasan.

3. Menyediakan pelan mitigasi nasional

Mitigasi bermaksud langkah mengurangkan risiko sebelum bencana berlaku. Jangka pendek: hebahan SOP kepada rakyat, penyediaan pusat pemindahan sementara mesra gempa, latihan kecemasan berkala. Jangka panjang: memasukkan elemen gempa dalam dasar pembangunan negara, membina infrastruktur kritikal (hospital, sekolah, masjid) yang kalis gegaran, dan melatih lebih ramai pakar seismologi tempatan.

4. Task force NADMA–NGO

Bencana tidak boleh ditangani kerajaan sahaja. Perlu ada kerjasama NADMA, NGO, sukarelawan, jawatankuasa masjid dan surau serta jawatankuasa penduduk. Task force ini boleh dilatih dengan kemahiran asas menyelamat, bantuan perubatan awal dan pengurusan mangsa bencana. Apabila berlaku gegaran, komuniti setempat sudah ada tenaga terlatih yang boleh membantu sebelum pasukan profesional tiba.

5. Reka bentuk bangunan kalis gempa

Malaysia sudah ada Standard Malaysia 2017 yang menetapkan panduan pembinaan bangunan tahan gegaran. Semua bangunan baharu wajib patuh sama ada bangunan kerajaan atau swasta. Bagi bangunan lama, terutama yang kritikal seperti sekolah, hospital, masjid dan rumah pangsa, perlu dibuat penilaian struktur semula (retrofitting) supaya tidak runtuh jika gegaran berlaku.

6. Penguatkuasaan PBT

Peraturan pembinaan sahaja tidak mencukupi tanpa penguatkuasaan yang tegas. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti memastikan setiap pelan bangunan baru mematuhi piawaian kalis gempa sebelum diluluskan. Selain itu, PBT perlu mengeluarkan peta risiko gempa tempatan agar ia menjadi panduan dalam perancangan bandar, perumahan dan industri.

Johor Sebagai Isyarat Seluruh Negara

Kejadian di Segamat dan Kluang seharusnya membuka mata seluruh negara bahawa Malaysia tidak boleh lagi merasa terlalu selesa. Banjir besar, ribut kuat, tanah runtuh, dan kini gempa bumi, semuanya menuntut dasar pengurusan risiko bencana yang menyeluruh dan bersepadu. Negara ini perlu bergerak segera daripada sikap “reaktif selepas bencana” kepada proaktif dalam kesiapsiagaan.

Penutup

Gegaran di Johor adalah kecil dari sisi sains, tetapi besar dari sisi keinsafan. Ia mengingatkan kita bahawa bumi yang kita pijak boleh bergetar bila-bila masa dengan izin Allah. Tugas kita bukan sekadar mencari penjelasan teknikal tetapi juga menunaikan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah, membina masyarakat yang bersedia, beriman dan berstrategi menghadapi apa jua ujian.

“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.”

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
29 Ogos 2025

Ulasan