Gempa bumi di Segamat: Perlu ambil langkah lebih serius



Gempa bumi di Segamat: Perlu ambil langkah lebih serius

Susulan gempa bumi di Segamat
August 28, 2025

PADA pagi semalam, jam 8:59 pagi (27 Ogos 2025), telah berlaku satu gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 di kawasan selatan Segamat, Johor. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa terletak di koordinat 2.33°U & 102.79°T dengan kedalaman 10 km, iaitu kira-kira 18 km dari selatan Segamat. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan Johor dan selatan Pahang.

Perlu diingatkan bahawa empat hari lalu, pada 24 Ogos 2025, satu lagi gempa bumi lemah berukuran magnitud 4.1 turut dikesan di kawasan yang sama pada jam 6:13 pagi dan dirasai sehingga ke Melaka, Negeri Sembilan serta selatan Pahang.

Sehingga kini, tiada kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa dilaporkan. Walau bagaimanapun, kita perlu memandang serius perkembangan ini kerana ia jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman bencana gempa bumi.

Seruan dan saranan

1. Kerajaan perlu segera memaklumkan tindakan susulan. Pihak berkuasa wajar memberi penjelasan segera kepada rakyat khususnya penduduk Johor mengenai langkah-langkah yang sedang dan akan diambil untuk mengelakkan panik serta memastikan keselamatan rakyat.

2. Masyarakat perlu tingkatkan kesiapsiagaan. Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, memantau maklumat rasmi daripada MetMalaysia dan tidak terpengaruh dengan sebarang berita palsu.

3. Kerjasama rentas agensi dan NGO. Khidmat Malaysia menyeru agar semua agensi berkaitan, termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan dan NGO, meningkatkan koordinasi dalam aspek kesedaran, latihan kecemasan serta persiapan menghadapi bencana.

4. Faktor kesedaran awam perlu diberi penekanan. Sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh pakar seismologi UTM dan NDRC UMS dalam sesi pertemuan bersama Khidmat Malaysia sebelum ini, aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang risiko gempa bumi sangat penting untuk mengurangkan impak sekiranya bencana lebih besar berlaku.

Penutup

Khidmat Malaysia negeri Johor telah diarahkan untuk terus memantau perkembangan ini dan membina kerjasama bersama pihak berkuasa. Khidmat Malaysia bersedia menggerakkan sukarelawan sekiranya diperlukan.

“Berkhidmat untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah”

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah, Khidmat Malaysia – HARAKAHDAILY 28/8/2025

Ulasan