TAJUK: KEPENTINGAN MEMPERKEMAS DAN MEMPERKASA PENGURUSAN ORGANISASI PAS
-Ke arah gerak kerja jama’i yang lebih efektif dan berstrategi
Disediakan dan dibentangkan oleh ;
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, Penolong Setiausaha Agung PAS
1. PENGENALAN
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan sebuah gerakan Islam yang mempunyai sejarah panjang perjuangan politik dan dakwah di tanah air sejak penubuhannya pada tahun 1951. Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS bukan sahaja berperanan dalam medan siasah, tetapi turut mendokong perjuangan tarbiah dan dakwah untuk menegakkan nilai-nilai Islam secara menyeluruh di dalam masyarakat. Kepimpinan PAS telah melalui proses tanzim yang rapi, berstruktur dan berhierarki daripada Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan-Dewan, hingga ke peringkat kawasan dan cawangan.
Sebagai sebuah gerakan harakah Islamiyyah, keberkesanan perjuangan PAS sangat bergantung kepada kekuatan dan kecekapan sistem pengurusan serta keberfungsian organisasi di semua peringkat. Pengurusan organisasi bukan sekadar soal pentadbiran rutin, tetapi merangkumi perancangan strategik, penyelarasan gerak kerja, pemantauan pelaksanaan dan penilaian keberkesanan aktiviti dakwah dan politik. Dalam konteks jamaah Islam, pengurusan yang tersusun adalah cerminan kepada keberadaan manhaj amal islami (kaedah amal Islam) yang menuntut keteraturan (tanzim), pengorbanan dan disiplin.
Namun, realiti semasa menunjukkan bahawa wujud beberapa kelemahan dan cabaran yang ketara dalam pengurusan organisasi PAS, khususnya di peringkat kawasan dan cawangan. Antaranya termasuklah lajnah dan jabatan yang tidak aktif, pengurusan mesyuarat dan dokumentasi yang lemah, komunikasi dalaman yang tidak efisien serta ketiadaan sistem pemantauan pelaksanaan program. Lebih merisaukan, terdapat budaya kerja sukarela yang semakin longgar dan kurangnya rasa tanggungjawab dalam kalangan sebahagian pimpinan serta ahli.
Maka, terdapat keperluan mendesak untuk memperkemas sistem pengurusan sedia ada dan memperkasa struktur organisasi dengan pendekatan yang lebih tersusun, profesional dan berpandukan nilai Islam. Ini penting bagi memastikan PAS kekal sebagai sebuah gerakan Islam yang relevan, efektif dan mampu menghadapi cabaran semasa politik, sosial dan dakwah dengan penuh kecekapan dan keteguhan.
2. OBJEKTIF KERTAS KERJA
2.1 Menilai kepentingan pengurusan organisasi dalam keberkesanan perjuangan PAS
2.2 Mencadangkan langkah memperkemas struktur dan sistem pengurusan
2.3 Memperkasa kepimpinan di semua peringkat agar selari dengan matlamat parti
3. KONSEP PENGURUSAN DAN ORGANISASI DALAM GERAKAN ISLAM
3.1 Pengurusan sebagai Alat Memandu Perjuangan Islam secara Tersusun (Manhaj Tanzim)
Dalam gerakan Islam, pengurusan bukanlah semata-mata satu mekanisme pentadbiran tetapi merupakan instrumen penting untuk menjayakan manhaj tanzim iaitu kaedah amal Islam yang tersusun dan teratur. Sejak zaman Rasulullah SAW, pengurusan dan organisasi telah memainkan peranan penting dalam membina kekuatan umat dan menegakkan daulah Islamiah. Pengurusan amal jama’i menuntut kepada penyusunan kerja yang berstrategi, pembahagian peranan yang jelas, penyelarasan aktiviti serta penilaian berkala terhadap pencapaian dan kelemahan.
PAS sebagai harakah Islam perlu melihat pengurusan bukan sekadar kerja teknikal, tetapi sebagai alat untuk melaksanakan misi dakwah, tarbiah dan siasah secara berkesan. Tanpa pengurusan yang tersusun, gerak kerja menjadi lemah, sumber menjadi terbazir dan matlamat tidak tercapai. Oleh itu, pengurusan mesti dijadikan sebahagian daripada ibadah dan wasilah perjuangan Islam.
3.2 Prinsip-prinsip Syura, Amanah, Jamaah dan Itqan (Kesungguhan)
Gerakan Islam wajib beroperasi atas prinsip-prinsip Islam yang kukuh. Empat prinsip utama berikut menjadi teras kepada pengurusan organisasi Islam:
· Syura (musyawarah): Pengurusan mesti bersifat kolektif dan menghargai pandangan ramai. Syura bukan hanya ritual mesyuarat, tetapi suatu proses mengambil keputusan yang berasaskan ilmu, keikhlasan dan maslahah.
· Amanah: Setiap tanggungjawab dalam organisasi adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Pemimpin dan petugas jamaah perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan ketelusan.
· Jamaah: Pengurusan mesti memelihara kesatuan jamaah. Segala perancangan dan pelaksanaan perlu mengekalkan semangat kebersamaan, wala’ dan thiqah antara pimpinan dan ahli.
· Itqan: Kesungguhan dan ketelitian dalam melaksanakan tugasan. Islam menuntut umatnya melakukan setiap kerja dengan profesionalisme dan kualiti yang tinggi, bukan ala kadar atau sambil lewa.
Apabila keempat-empat prinsip ini difahami dan diamalkan, ia akan melahirkan budaya kerja organisasi yang bersih, berkesan dan diberkati Allah SWT.
3.3 Hubungan antara Kepimpinan, Organisasi dan Kepercayaan Ahli
Dalam sesebuah organisasi Islam seperti PAS, terdapat hubungan yang saling berkait antara kepimpinan, struktur organisasi dan kepercayaan ahli:
· Kepimpinan adalah jantung organisasi. Ia bertanggungjawab menentukan halatuju, membuat keputusan strategik dan membimbing ahli. Kepimpinan mesti menunjukkan teladan yang baik (qudwah hasanah), bersifat terbuka dan bersedia ditegur.
· Organisasi pula ialah rangka kerja yang menghubungkan pelbagai lapisan pimpinan dan ahli. Struktur organisasi yang jelas dan berfungsi akan memperkukuh perjalanan jamaah dan memastikan setiap peranan dijalankan dengan efisien.
· Kepercayaan ahli (thiqah) kepada kepimpinan dan organisasi adalah kunci kepada kekuatan gerakan. Kepercayaan ini terbina melalui ketelusan, kecekapan pengurusan, komunikasi yang berkesan dan sikap adil dalam membuat keputusan.
Sekiranya salah satu unsur ini lemah, misalnya kepimpinan tidak berfungsi, organisasi tidak tersusun, atau ahli hilang thiqah maka seluruh kekuatan jamaah akan terjejas. Maka wajib bagi pimpinan untuk memelihara ketiga-tiga komponen ini agar perjuangan Islam terus berjalan dengan mantap, tersusun dan diberkati.
4. STRUKTUR ORGANISASI PAS: ANTARA BERFUNGSI DAN KELESUAN
4.1 Kajian Terhadap Struktur PAS dari Pusat hingga Cawangan
Struktur organisasi PAS telah dibina dan dipertingkatkan dengan sistematik, mencerminkan cita-cita untuk menjadi gerakan Islam yang terancang, tersusun dan berstrategi. Dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan hingga ke Cawangan, PAS telah menetapkan garis panduan struktur organisasi melalui Perlembagaan parti dan Manual Pengurusan dan Pentadbiran PAS serta Aturan dan Peraturan PAS
Di peringkat tertinggi, Majlis Syura Ulama berperanan menentukan dasar dan hala tuju syarak. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pula melaksanakan dasar, merancang program dan menyelaras gerak kerja seluruh negara. Di bawahnya, terdapat dewan-dewan utama (Ulama, Pemuda dan Muslimat), serta pelbagai jabatan dan lajnah yang mempunyai bidang tugas masing-masing. Struktur ini diadaptasi hingga ke peringkat negeri, kawasan dan cawangan.
Namun, walaupun struktur organisasi PAS adalah lengkap atas kertas, persoalannya ialah sejauh mana keberfungsian struktur itu dalam realiti pelaksanaan?
4.2 Peranan dan Fungsi Lajnah, Jabatan dan Dewan
Lajnah dan jabatan dalam PAS diwujudkan bagi membahagikan fokus kerja kepada bidang-bidang tertentu seperti pendidikan, penerangan, pilihan raya, dakwah, ekonomi, kebajikan, guaman, teknologi maklumat dan sebagainya. Antara fungsinya ialah:
· Lajnah & Jabatan: Bertindak sebagai jentera pelaksana program berdasarkan bidang tugas masing-masing. Contoh: Lajnah Tarbiah bertanggungjawab mengatur usrah, daurah dan program pengkaderan; Jabatan Pilihan Raya menyusun gerak kerja PRU/PRK.
· Dewan-dewan (Ulama, Pemuda, Muslimat): Merancang dan menggerakkan aktiviti khusus mengikut demografi tertentu. Mereka juga berperanan memberi input dasar, merangka latihan dan mobilisasi di peringkat masing-masing.
4.3 Isu Lajnah yang Tidak Berfungsi dan Pertembungan Peranan
Walaupun struktur sudah tersedia, antara cabaran utama yang melemahkan organisasi PAS ialah:
· Tumpang Tugas & Kekaburan Peranan dan tugas: Berlaku pertindihan bidang tugas antara lajnah/jabatan atau antara dewan dengan lajnah. Contohnya, isu siapa yang sepatutnya menganjurkan program pengkaderan sama ada tugas Dewan Pemuda, Lajnah Tarbiyyah atau Lajnah Pendidikan? Akibatnya, mungkin berlaku persaingan senyap, berebut ruang dan ketidakjelasan peranan.
· Lajnah Tidak Berfungsi: Ramai pengarah lajnah atau jabatan hanya dilantik secara simbolik (letak nama) tetapi tidak menjalankan peranan secara aktif. Mesyuarat tidak dijalankan, laporan tidak dikemukakan dan program tidak dirancang. Situasi ini mewujudkan “lajnah bayangan” wujud atas kertas tetapi tidak bernafas.
· Kepimpinan Tidak Memahami Fungsi Organisasi: Ada pimpinan yang hanya fokus kepada isu-isu semasa tetapi mengabaikan keperluan membina organisasi secara sistematik. Akibatnya, tumpuan gerak kerja menjadi reaktif (mengikut isu) dan tidak proaktif (berasas perancangan).
· Kurang Koordinasi Antara Unit: Tiada sistem penyelarasan atau pemantauan bersama menyebabkan setiap lajnah bergerak secara solo (terasing) tanpa sinergi dan tanpa menyumbang kepada objektif jamaah secara menyeluruh.
5. KEPENTINGAN MEMPERKEMAS SISTEM PENGURUSAN
Salah satu prasyarat utama kepada keberkesanan gerak kerja jamaah ialah pengurusan dalaman yang kemas, sistematik dan terancang. Pengurusan yang lemah akan mengundang keciciran maklumat, kelewatan tindakan, pertembungan kerja, kehilangan kepercayaan ahli, dan akhirnya menggagalkan tujuan organisasi Islam itu sendiri. Oleh itu, memperkemas sistem pengurusan bukanlah pilihan, ia adalah kewajipan yang harus dilaksanakan secara menyeluruh di setiap peringkat organisasi PAS.
5.1 Prosedur Mesyuarat, Dokumentasi, Pelaporan dan Susulan Tindakan
Pengurusan organisasi Islam seperti PAS mestilah bermula dengan budaya mesyuarat yang berdisiplin dan berorientasikan tindakan.
· Mesyuarat bukan sekadar pertemuan rutin, tetapi wahana utama untuk membuat keputusan, menyelaras kerja dan memperkukuh semangat kolektif. Namun, masih banyak mesyuarat lajnah yang tidak dijalankan secara berkala, tidak ada minit yang disediakan atau tiada agenda yang jelas.
· Dokumentasi dan Pelaporan pula sering diabaikan. Tanpa minit mesyuarat, laporan aktiviti, dan sistem fail yang teratur, organisasi kehilangan jejak kepada tindakan yang dirancang. Keadaan ini akan menyebabkan kesinambungan terputus apabila berlaku pertukaran pimpinan.
· Susulan Tindakan (follow-up) juga sering kali tidak dibuat. Banyak keputusan mesyuarat kekal di atas kertas kerana tiada pihak yang memantau atau mengingatkan pelaksana. Maka perlunya sistem pengurusan tindakan (action tracker) yang berkesan yang boleh diintegrasi dalam sistem digital parti.
5.2 Pengurusan Maklumat Ahli, Sumber Manusia dan Logistik
Organisasi PAS yang moden dan berkesan memerlukan pangkalan data dan pengurusan sumber yang lengkap dan boleh diakses dengan cepat:
· Maklumat Ahli mestilah dikemas kini secara berkala termasuk keahlian aktif, pengundi muda, pengundi wanita, ahli terlatih, ahli profesional dan mereka yang mempunyai potensi kepimpinan. Data ini penting untuk perancangan tarbiah, pemilihan calon, pengurusan jentera dan sebagainya.
· Sumber Manusia Jamaah (human capital) perlu dikenal pasti dan dikategorikan mengikut kompetensi: murabbi, pendakwah, peguam, IT, perubatan, pendidikan dan sebagainya. Tanpa inventori ini, gerak kerja akan bergantung kepada orang yang sama dan tidak berkembang.
· Logistik dan Aset seperti markas, pejabat, kenderaan, peralatan media dan sistem audio perlu direkodkan, diselia dan diselenggara. Ada kawasan dan cawangan yang tidak tahu berapa banyak aset mereka, siapa yang jaga atau di mana ia disimpan. Ini menunjukkan kelemahan serius dalam pengurusan.
5.3 Pemantapan Sistem Rekod Digital dan Arkib Parti
Era digital menuntut organisasi seperti PAS untuk berubah daripada pengurusan manual kepada sistem pengurusan digital. Ini termasuklah:
· Sistem Fail Digital Parti yang berstruktur dan boleh diakses oleh pimpinan melalui cloud atau server dalaman. Ia boleh mengandungi minit mesyuarat, laporan program, surat-menyurat, modul latihan dan sebagainya.
· Arkib Parti yang mengandungi sejarah, laporan pilihan raya, rekod keputusan penting dan pelan strategik. Arkib ini bukan sahaja untuk rujukan sejarah, tetapi juga membantu kesinambungan dan perancangan jangka panjang.
· Aplikasi atau Dashboard Pengurusan untuk pemantauan prestasi lajnah, laporan kawasan/cawangan dan pengumpulan data ahli secara sistematik.
6. MEMPERKASA KEPIMPINAN DAN BUDAYA KERJA ORGANISASI
Kekuatan sesebuah gerakan Islam bukan hanya terletak pada dasar perjuangan atau struktur organisasinya, tetapi juga pada kualiti kepimpinan dan budaya kerja yang diamalkan dalam segenap lapisan jamaah. Tanpa kepimpinan yang efektif dan budaya kerja yang sihat, organisasi akan terperangkap dalam kelemahan pengurusan, konflik dalaman, dan kegagalan melaksanakan agenda perjuangan.
6.1 Latihan Kepimpinan Secara Berkala (Structured Leadership Pipeline)
Untuk menjamin kesinambungan perjuangan dan kematangan organisasi, PAS perlu menginstitusikan proses latihan kepimpinan yang sistematik dan berterusan, yang dikenali sebagai structured leadership pipeline. Antara komponen pentingnya ialah:
· Latihan Asas Kepimpinan Jamaah (Tahap 1): Pendedahan kepada sejarah, perlembagaan, struktur, fiqh harakah, etika organisasi dan disiplin jamaah. Modul ini wajib diikuti oleh semua pemimpin baharu di semua peringkat.
· Latihan Kepimpinan Pertengahan (Tahap 2): Fokus kepada kemahiran pengurusan mesyuarat, komunikasi organisasi, pengurusan konflik, dan perancangan strategik. Ia sesuai untuk pengarah lajnah, pengurus program dan pemimpin pelapis.
· Latihan Kepimpinan Tinggi (Tahap 3): Pembangunan wawasan politik Islam, kebijakan dasar, pembuatan keputusan kompleks, pengurusan krisis dan pengurusan perubahan organisasi. Ia relevan untuk kepimpinan negeri dan pusat.
· Sistem Pementoran (Mentorship): Pemimpin senior perlu dilatih untuk membimbing pelapis melalui sistem mentor-mentee, bukan hanya melalui ceramah, tetapi melalui latihan lapangan, coaching dan bimbingan spiritual.
6.2 Membudayakan Mesyuarat Berkualiti, Kerja Berpasukan dan Sikap Bertanggungjawab
Kepimpinan yang kuat perlu mewujudkan budaya organisasi yang sihat dan produktif. Antara elemen penting budaya kerja ialah:
· Mesyuarat Berkualiti: Setiap mesyuarat perlu mempunyai agenda yang jelas, pengurusan masa yang baik, penghasilan minit mesyuarat yang teratur, dan paling penting, pelaksanaan tindakan yang diputuskan. Mesyuarat yang hanya berbual kosong atau tidak ada tindakan susulan akan membunuh semangat kerja ahli.
· Kerja Berpasukan: Kepimpinan bukan kerja individu. Islam mengajar kita nilai amal jama’i – saling melengkapi antara satu sama lain. Kepimpinan PAS perlu mendorong budaya “kami” berbanding “aku”, serta membentuk sikap berlapang dada terhadap teguran dan perkongsian tugas.
· Sikap Bertanggungjawab (Accountability): Setiap AJK, pengarah lajnah dan ketua jabatan mesti dipertanggungjawabkan atas tugas yang diamanahkan. Tiada tempat untuk pemimpin yang hanya menerima jawatan tetapi tidak berfungsi. Perlu wujud budaya “laporan berkala” dan “penilaian prestasi” sebagai norma dalam organisasi.
6.3 Mewujudkan KPI Organisasi dan Sistem Audit Dalaman Jamaah
Bagi memastikan keberkesanan gerak kerja dan ketelusan pelaksanaan, organisasi PAS perlu menginstitusikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan audit dalaman organisasi, antara lain:
· KPI Organisasi: Setiap lajnah, biro dan jabatan perlu mempunyai sasaran tahunan yang jelas contohnya bilangan program yang perlu dijalankan, jumlah peserta, tahap capaian masyarakat, jumlah ahli yang dilatih, dan sebagainya. KPI ini perlu disemak setiap suku tahun dan dibentang secara terbuka kepada AJK kawasan/cawangan.
· Audit Dalaman : Satu unit khas boleh ditubuhkan di peringkat kawasan atau negeri bagi menilai keberfungsian lajnah, keaktifan jabatan, pematuhan perlembagaan dan disiplin organisasi. Audit ini bukan untuk mencari kesalahan, tetapi sebagai satu usaha islah dan penambahbaikan berterusan.
· Pelaporan Prestasi Tahunan: Seperti mana syarikat atau NGO, PAS juga perlu mengadakan “Laporan Tahunan Gerak Kerja Kawasan/Cawangan” yang dilaporkan dalam mesyuarat agung atau retreat kepimpinan. Laporan ini membina ketelusan dan keyakinan ahli terhadap kepimpinan.
7. PENDEKATAN STRATEGIK DALAM PENGURUSAN ORGANISASI PAS
7.1 Perancangan strategik tahunan dan jangka panjang
Pengurusan organisasi yang efektif tidak berlaku secara spontan. Ia menuntut perancangan yang sistematik, tersusun dan berpandangan jauh. Setiap peringkat kepimpinan PAS sama ada di peringkat pusat, negeri, kawasan mahupun cawangan perlu melaksanakan perancangan strategik tahunan yang berpaksikan kepada objektif perjuangan dan isu semasa. Rangka perancangan lima tahun atau sepuluh tahun pula penting untuk memastikan hala tuju parti kekal konsisten, berdaya saing dan mampu merancang transisi kepimpinan serta pengembangan organisasi.
7.2 Analisis SWOT organisasi peringkat negeri/kawasan/cawangan
Sebagai sebuah gerakan yang berorganisasi, PAS perlu melaksanakan analisis SWOT secara berkala mengenal pasti kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunities) dan ancaman (threats) yang wujud dalam organisasi. Analisis ini membolehkan pimpinan menilai tahap keberkesanan pengurusan semasa dan menggubal pelan tindakan yang lebih realistik berdasarkan potensi dan cabaran sebenar di peringkat masing-masing. Ia juga penting bagi mengelakkan PAS terperangkap dalam zon selesa atau kegagalan mengenal pasti risiko masa depan.
7.3 Kaedah pemantauan pelaksanaan dan keberkesanan program
Setiap perancangan dan program memerlukan sistem pemantauan (monitoring) dan penilaian (evaluation) yang berstruktur. Dalam konteks PAS, perlunya dibangunkan modul pelaporan program, laporan KPI berkala serta sesi post-mortem yang bukan sekadar ritual tetapi menjadi alat penambahbaikan. Tanpa pemantauan, banyak program hanya gah di atas kertas tetapi gagal mencapai impak sebenar kepada sasaran parti iaitu ahli, penyokong dan masyarakat umum.
8. PERANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN SISTEM PENGURUSAN DIGITAL
8.1 Pangkalan data ahli, sistem keahlian dan urus tadbir maklumat
Kemaskini data ahli dan keanggotaan merupakan tulang belakang kekuatan organisasi. PAS telah menggerakkan usaha mengumpul, menyelaras dan menyimpan maklumat ahli dalam satu sistem pangkalan data digital yang selamat, mesra pengguna dan boleh diakses oleh semua peringkat organisasi berdasarkan keperluan. Sistem keahlian ini juga boleh diintegrasikan dengan pengurusan pembayaran yuran, profil ahli aktif/tidak aktif serta sejarah sumbangan dalam parti. Sistem ini dinamakan SPOKAS dan diwujudkan sejak 20 tahun yang lalu.
8.2 Penggunaan platform digital untuk komunikasi dan latihan
Era digital menuntut PAS beranjak daripada kaedah komunikasi konvensional kepada penggunaan teknologi secara meluas seperti Telegram, WhatsApp, Google Meet, Zoom dan Learning Management System (LMS) untuk latihan dalaman. Dengan cara ini, jurang komunikasi dapat dirapatkan, penyebaran maklumat lebih pantas dan latihan kepimpinan dapat dijalankan secara berkala tanpa kekangan logistik atau kewangan.
8.3 Strategi melawan serangan siber dan kawalan keselamatan data organisasi
Serangan siber, penyebaran maklumat palsu, sabotaj digital dan pencerobohan data merupakan ancaman serius dalam politik masa kini. PAS perlu memperkukuh keselamatan siber dengan menetapkan protokol IT, mengurus akses kepada data sensitif dengan berstruktur serta melatih pegawai teknologi maklumat di setiap negeri dan kawasan untuk memantau serta bertindak segera jika berlaku kebocoran maklumat atau pencerobohan sistem.
9. CABARAN SEMASA DAN PENYELESAIAN
9.1 Masalah lajnah tidak aktif, pemimpin tidak komited dan konflik dalaman
Realiti semasa menunjukkan terdapat biro dan lajnah di pelbagai peringkat yang tidak berfungsi, tiada hala tuju, atau sekadar wujud di atas kertas. Komitmen pimpinan juga sering menjadi isu, ada yang hanya hadir mesyuarat tanpa turun padang melaksanakan amanah. Keadaan ini diperburuk dengan konflik dalaman yang tidak ditangani secara hikmah hingga merencatkan gerak kerja parti. PAS perlu menggubal mekanisme penilaian prestasi biro/lajnah serta memperkemas peranan Lajnah Pemerkasaan Parti untuk memperkasa dan memperkemas semula parti.
9.2 Kekurangan pelapis, budaya kerja sukarela yang lemah
Krisis pelapis menjadi isu besar jika tidak ditangani dengan segera. Tidak ramai ahli muda atau baru yang diberi ruang untuk mengasah kemahiran kepimpinan dalam organisasi. Budaya kerja sukarela semakin pudar, khususnya di bandar. PAS perlu memperluas latihan kaderisasi secara sistematik, mengenalpasti pelapis muda yang berpotensi dan mencipta ekosistem kerja sukarela yang memberi nilai tambah, pengiktirafan dan motivasi.
10. PENUTUP DAN CADANGAN STRATEGIK
Sebagai sebuah gerakan Islam yang memikul misi dakwah dan amanah siasah, PAS perlu memastikan bahawa struktur organisasinya berfungsi dengan cekap, tersusun dan berorientasikan hasil. Pengurusan organisasi yang lemah, struktur yang tidak berfungsi atau budaya kerja yang lesu bukan sahaja menggugat kelangsungan pentadbiran dalaman, malah menjejaskan imej serta keberkesanan dakwah dan gerak kerja politik di mata rakyat. Justeru, penekanan terhadap pembaharuan organisasi bukan sekadar isu teknikal tetapi satu keperluan syarie dan strategik.
Memperkasa organisasi PAS bermakna memperkukuh keupayaan untuk mengatur, menyusun dan menggerakkan potensi ahli dan jentera pada semua peringkat dari Pusat hingga ke akar umbi agar seluruh kekuatan jemaah mampu digembleng secara sistematik dan profesional. Tanpa struktur yang mantap dan sistem sokongan yang berkesan, idealisme perjuangan akan hanya tinggal slogan tanpa tindakan yang tuntas.
Budaya kerja PAS perlu berubah daripada hanya sekadar “cukup ada program” kepada satu budaya yang mementingkan impak, kualiti, ketepatan sasaran, disiplin pelaksanaan dan pengukuran hasil. Pembaharuan ini mestilah berlaku dengan berasaskan kerangka Islamik, bukan sekadar meniru pengurusan korporat, tetapi mengambil yang terbaik dalam dunia moden lalu disulam dengan nilai-nilai jamaah dan perjuangan Islam.
------------------------------------------------
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
28 Julai 2025
Ulasan
Catat Ulasan