KESIAPSIAGAAN MENYELURUH: KUNCI KETAHANAN NEGARA HADAPI BANJIR


KESIAPSIAGAAN MENYELURUH: KUNCI KETAHANAN NEGARA HADAPI BANJIR

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil / Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

Setiap kali hujan turun tanpa henti, kita menoleh ke langit bukan sekadar memohon rahmat, tetapi dalam hati, terbit resah: “Adakah kali ini kampungku akan tenggelam lagi?”

Inilah realiti yang menyelubungi jutaan rakyat Malaysia, saban tahun. Banjir bukan lagi malapetaka luar jangka. Ia adalah ancaman berkala yang menuntut kita beralih daripada sekadar bertindak kepada bersiap siaga secara menyeluruh.

Banjir: Takdir atau Kegagalan Perancangan?

Pada tahun 2014, 2015 dan 2021, negara menyaksikan banjir besar yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit. Ribuan kehilangan tempat tinggal, malah nyawa turut terkorban. Kita tidak menafikan takdir tetapi apabila sesuatu berlaku berulang kali dan kita tetap tidak bersedia, ia bukan lagi takdir. Ia kegagalan sistemik.

Di Malaysia penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada tahun 2015 telah mengambil alih peranan agensi peneraju utama pengurusan bencana daripada Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir dipertingkatkan ke tahap tertinggi dari tahun ke tahun.

Tahun lalu, bagi menghadapi musim tengkujuh, seramai 82,794 pegawai dan anggota telah diatur gerak untuk menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas, khususnya di Pantai Timur, sebanyak 8,481 PPS telah dikenalpasti, mampu menampung 2.1 juta mangsa di seluruh negara dengan pelbagai aset keselamatan seperti bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda dan helikopter telah digerakkan lebih awal.

Namun, kesiapsiagaan ini tidak melibatkan masyarakat secara keseluruhannya dan perkara ini hendaklah dipertingkatkan supaya ia akan mencapai apa yang disebut sebagai kesiapsiagaan secara menyeluruh.

Apa Maksud “Kesiapsiagaan Menyeluruh”?

Apabila kita berbicara tentang kesiapsiagaan bencana khususnya banjir, ramai membayangkan ia sekadar menyimpan stok makanan, menyediakan bot penyelamat atau menghantar anggota penguat kuasa ke kawasan terjejas. Namun, hakikatnya kesiapsiagaan yang sebenar jauh lebih luas dan mendalam. Ia menuntut pendekatan menyeluruh yang merentasi masa, sektor dan lapisan masyarakat.

Pertamanya, kesiapsiagaan bermula di peringkat akar umbi. Setiap individu dan keluarga perlu mengetahui apa yang harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas bencana. Ini termasuk mengenali isyarat amaran, menyediakan pelan kecemasan keluarga serta mengetahui pusat pemindahan yang terdekat. Pendidikan awam dan latihan berkala adalah kunci bagi memastikan komuniti tidak panik, tetapi bertindak secara tersusun apabila bencana melanda.

Keduanya, sistem amaran awal yang boleh dipercayai dan difahami seperti siren, pesanan SMS, aplikasi mudah alih atau siaran radio hanya berkesan jika ia difahami dan diterima oleh masyarakat. Lebih penting, sistem ini perlu pantas, tepat dan diselaraskan dengan tindakan segera oleh pihak berkuasa serta respons masyarakat.

Ketiga, perancangan bandar dan desa tidak boleh dibuat tanpa mengambil kira faktor risiko bencana. Pembinaan di kawasan rendah, penebangan hutan secara tidak terkawal atau projek infrastruktur tanpa kajian impak risiko hanya menambahkan kerentanan. Oleh itu, penggubal dasar mesti memastikan setiap pembangunan baharu tidak mencipta risiko baharu kepada masyarakat.

Keempat, proses pemulihan selepas bencana bukan sekadar membina semula yang musnah tetapi memulihkan kehidupan. Selepas air surut, cabaran sebenar bermula apabila berlakunya kehilangan rumah, pekerjaan, perniagaan bahkan nyawa tersayang. Kesiapsiagaan yang menyeluruh juga bermaksud wujudnya pelan pemulihan yang menyentuh aspek emosi, sosial dan ekonomi mangsa. Bantuan psikososial, pemulihan ekonomi kecil dan pelan pembinaan semula yang lestari mesti menjadi sebahagian daripada proses.

Kajian-kajian dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Mozambique dan Australia telah memberikan satu mesej yang sangat jelas: negara yang paling bersedia menghadapi bencana bukan semestinya negara yang memiliki teknologi paling canggih atau bajet paling besar. Sebaliknya, yang benar-benar mampu bertindak cekap dan menyelamatkan nyawa adalah negara yang mempunyai ekosistem kesiapsiagaan yang berfungsi.

Apakah yang dimaksudkan dengan ekosistem kesiapsiagaan?

Antara faktor utama yang menjadi asas kekuatan sesebuah negara dalam menghadapi bencana ialah:

a. Komuniti yang berpengetahuan dan sedar risiko. Rakyat tahu apa yang perlu dilakukan sebelum air naik, semasa banjir melanda dan selepas bencana berakhir. Pendidikan awam bukan hanya di sekolah, tetapi secara berterusan melalui latihan simulasi, kempen komuniti dan pendedahan realistik kepada risiko.

b. Rangka kerja dasar dan perundangan yang konsisten. Undang-undang, polisi pembangunan dan pelan tindakan bencana tidak berubah-ubah setiap kali berlaku pertukaran pentadbiran. Kesinambungan dasar inilah yang membina kepercayaan dan membolehkan agensi-agensi bertindak tanpa kekeliruan.

c. Akses maklumat yang telus, tepat dan mudah difahami. Sistem amaran awal bukan sahaja mesti wujud, malah mesti boleh dipercayai dan difahami oleh semua lapisan masyarakat, termasuk warga emas, kanak-kanak dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

d. Jaringan kerjasama rentas sektor yang kukuh. Tiada satu agensi atau NGO pun boleh bekerja sendirian. Gabungan antara kerajaan, NGO, sektor swasta, komuniti dan pihak antarabangsa perlu disusun secara sistematik dan diberi latihan bersama, bukan hanya ketika bencana berlaku tetapi sepanjang tahun.

Inilah petunjuk arah yang wajib kita ikuti. Jika kita benar-benar serius mahu membina negara yang tahan uji, bukan sahaja terhadap banjir tetapi juga segala bentuk bencana iklim masa depan, maka pelaburan terbesar kita bukanlah pada alat, tetapi pada manusia, maklumat, dasar dan perpaduan.

Enam Teras Utama Kesiapsiagaan

Terdapat enam teras utama yang perlu diberikan perhatian dalam usaha meningkatkan lagi kesiapsiagaan;

i. Pendidikan Awal dan Kesedaran Komuniti. Simulasi bencana di sekolah terbukti mampu meningkatkan kecekapan pelajar bertindak. Apabila guru dan ibu bapa turut serta, masyarakat menjadi lebih tangkas dan tenang. Adalah dicadangkan supaya pendidikan bencana perlu diinstitusikan dalam kurikulum dan dilaksanakan secara berkala.

ii. Infrastruktur dan Teknologi Efisien. Jepun membuktikan bahawa sistem amaran awal dan peta risiko banjir yang disepadukan dalam perancangan bandar mampu menyelamatkan ribuan nyawa. Di Malaysia, masih banyak kawasan tidak mempunyai siren amaran apatah lagi sistem maklumat geospatial (GIS). Dicadangkan supaya audit infrastruktur banjir dan perluas sistem amaran kos rendah hingga ke kawasan pedalaman.

iii. Pembangunan Mesra Alam. Tragedi banjir kilat adakalanya terkait rapat dengan aktiviti pembalakan dan pengubahan guna tanah. Kita tak boleh menuding jari pada hujan jika kita sendiri membuka laluan kepada malapetaka. Dicadangkan supaya penilaian risiko bencana mesti menjadi syarat mandatori semua projek pembangunan besar.

iv. Kesan Psikososial yang Perlu Diberi Perhatian. Mangsa banjir seringkali kehilangan bukan sahaja rumah dan harta tetapi juga kestabilan emosi dan sumber pendapatan. Sokongan psikososial pasca banjir perlu dijadikan sebahagian dari pelan pemulihan nasional.

v. Kerjasama Merentas Sektor. Kerajaan tidak mampu beroperasi sendirian dalam bencana. NGO, masjid, sekolah, syarikat swasta dan media perlu bergerak dalam satu sistem. Kerajaan perlu menubuhkan Pusat Tindak Balas Bencana Komuniti (PTBK) yang menyelaras usaha semua pihak secara tersusun.

vi. Komunikasi Risiko dan Akses Maklumat. Amaran banjir yang tidak difahami rakyat atau disampaikan terlalu lambat adalah amaran yang gagal. Kerajaan perlu tingkatkan penggunaan pelbagai saluran seperti dari WhatsApp kampung, radio komuniti, masjid, hingga ke ketua blok untuk menyampaikan maklumat penting dalam bahasa yang mudah difahami.

Seruan Tindakan: Bina Budaya Bukan Sekadar Pelan

Kesiapsiagaan tidak boleh bermusim. Ia bukan projek ‘ad hoc’. Ia mesti menjadi budaya nasional yang tertanam dalam sistem pendidikan, perancangan bandar, dasar kerajaan dan gerak kerja masyarakat. Malaysia kini memerlukan sebuah rangka kerja nasional bagi kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir yang bersifat holistik, inklusif dan saintifik. Ia bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah memulihkan maruah negara yang tidak boleh terus lemas dalam setiap musim tengkujuh.

Bangladesh melaksanakan Flood Preparedness Index untuk menilai tahap kesiapsiagaan komuniti. Kenapa tidak Malaysia? Dengan data sedemikian, kita boleh laksanakan intervensi yang lebih tepat dan berimpak. Disarankan kepada pihak kerajaan untuk membangunkan Indeks Kesiapsiagaan Banjir Kebangsaan (MKKB) sebagai alat ukur dan perancang dasar.

Malaysia tidak kekurangan kepakaran, agensi atau sumber. Apa yang kita perlukan ialah penyelarasan, kesedaran dan iltizam politik untuk menjadikan kesiapsiagaan sebagai agenda nasional yang merentasi kementerian, parti politik dan batas geografi.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
1 Ogos 2025

Ulasan