KISAH HANG TUAH DAN HANG JEBAT: PENGAJARAN STRATEGIK DALAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN BERTERASKAN ISLAM
KISAH HANG TUAH DAN HANG JEBAT: PENGAJARAN STRATEGIK DALAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN BERTERASKAN ISLAM
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil / Minda Sejahtera Resources
Dalam ribuan tahun sejarah peradaban bangsa, kisah Hang Tuah dan Hang Jebat terus diangkat, diperdebat dan direnung, bukan semata-mata kerana keberanian atau pengkhianatan, tetapi kerana dilema nilai yang kekal relevan hingga ke hari ini. Dua watak agung, dua jalan berbeza dan dua tafsiran tentang kesetiaan serta keadilan. Soalnya, apakah kisah ini sekadar legenda silam atau sebenarnya cerminan yang patut direnung oleh para pemimpin dan pengurus organisasi hari ini?
Sebagai seorang yang membimbing dalam bidang motivasi kepimpinan dan pembangunan organisasi, saya percaya: kisah ini adalah cermin besar yang sangat jujur, lebih jujur daripada laporan audit dan KPI tahunan kita sendiri.
Hang Tuah: Taat Tanpa Syarat
Seperti yang kita maklum, seperti yang digambarkan kepada kita seawal usia kita lagi bahawa Hang Tuah melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seperti mana yang dilakonkan oleh allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem Hang Tuah. Ketika difitnah dan dihukum bunuh tanpa bicara, Hang Tuah tidak membantah. Apabila dipanggil kembali untuk membunuh sahabatnya sendiri iaitu Hang Jebat, beliau menurut, walaupun tahu Jebat memberontak demi membelanya.
Di sinilah kita perlu bertanya: Adakah ini jenis kesetiaan yang kita mahu dalam organisasi? Apakah kita, sebagai pemimpin, mahu dikelilingi oleh “Hang Tuah” yang hanya menurut tanpa pernah bertanya “Adakah ini betul?”, “Adakah ini adil?”
Dalam Islam, prinsip kepimpinan bukan berasaskan ketaatan mutlak kepada manusia. Rasulullah SAW menegaskan:
“Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Taat itu penting tetapi ia mesti terikat kepada nilai, buat taat tanpa sandaran. Dalam organisasi moden, pekerja dan pengurus perlu berani bersuara dengan adab apabila sesuatu arahan bertentangan dengan prinsip, fakta atau keadilan.
Hang Jebat: Berani Menentang, Tetapi Melampaui Batas
Di sisi yang lain, Hang Jebat dilihat mewakili suara keadilan yang marah. Setelah melihat kezaliman terhadap saudaranya Hang Tuah, beliau bangkit menentang raja iaitu pihak pemerintah. Namun, cara penentangan itu berakhir dengan tragedi. Amukannya meragut nyawa dan keamanan istana. Ia adalah simbol keberanian tanpa kawalan, kemarahan yang tidak dipandu oleh hikmah.
Ini juga realiti dalam organisasi secara umumnya. Kadangkala ada pegawai yang menegur tetapi dengan cara yang tidak beradab, penuh emosi dan akhirnya membawa perpecahan. Dalam Islam, teguran dan penentangan terhadap kezaliman bukan hanya dituntut, tetapi mesti dilakukan dengan hikmah dan disiplin. Islam bukan sekadar menganjurkan keberanian tetapi juga kebijaksanaan dalam menyampaikan kebenaran.
Pengajaran Besar Buat Pemimpin
Dalam ribuan tahun sejarah peradaban bangsa, kisah Hang Tuah dan Hang Jebat terus diangkat, diperdebat dan direnung, bukan semata-mata kerana keberanian atau pengkhianatan, tetapi kerana dilema nilai yang kekal relevan hingga ke hari ini. Dua watak agung, dua jalan berbeza dan dua tafsiran tentang kesetiaan serta keadilan. Soalnya, apakah kisah ini sekadar legenda silam, atau sebenarnya cerminan yang patut direnung oleh para pemimpin dan pengurus organisasi hari ini?
Islam mengajar bahawa pemimpin adalah amanah, bukan mutlak kuasa. Kepimpinan Islam dibina atas asas syura, keadilan, amanah dan kebijaksanaan. Keputusan mesti dibuat selepas mendengar pandangan, menyemak fakta dan berlapang dada terhadap teguran.
Budaya Organisasi: Mahu Tuah yang Taat atau Jebat yang Derhaka?
Sebagai pemimpin dan pengurus hari ini, kita perlu tanya kepada diri kita sendiri:
- Adakah kita membina budaya kerja di mana orang takut menegur kerana takut dilabel derhaka?
- Adakah kita membina organisasi yang mendorong taat membuta tuli tanpa ruang kepada pandangan kritis?
- Adakah kita sedang melahirkan lebih banyak “Jebat” dalam organisasi, mereka yang marah dalam diam kerana sistem kita menutup pintu dialog?
Organisasi yang hidup dan bernyawa adalah organisasi yang membenarkan suara kebenaran kedengaran bukan untuk menjatuhkan tetapi untuk memperbaiki.
Penutup: Bangunkan Kepimpinan yang Seimbang
Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat tidak memaksa kita memilih satu pihak tetapi mengajar kita untuk menyeimbangkan nilai, antara kesetiaan dan keadilan, antara taat dan teguran, antara sabar dan keberanian. Itulah neraca Islam.
Dalam dunia pengurusan hari ini, kita memerlukan pemimpin yang berjiwa Hang Tuah, seorang yang setia tetapi tegas dalam mempertahankan prinsip. Kita juga perlukan pekerja berjiwa Hang Jebat, seorang yang berani menegur tetapi dengan hikmah dan adab.
Akhirnya, kepimpinan yang hebat bukan terletak pada siapa yang taat tetapi pada siapa yang berani menegakkan kebenaran dan siapa yang sedia mendengarnya.
KFAK
Ulasan
Catat Ulasan