RXZ Members 7.0: Antara hobi, solidariti dan mangsa politik




RXZ Members 7.0: Antara hobi, solidariti dan mangsa politik
August 25, 2025

KUALA LUMPUR: Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan penganjuran acara RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, sebagai satu lagi mangsa kepada politik sempit tidak matang.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu berkata, acara yang sepatutnya menjadi ruang riang gembira ribuan anak muda berkongsi minat, budaya motor dan semangat persaudaraan, akhirnya terheret dalam kancah politik sempit apabila kepimpinan negeri Terengganu dipinggirkan daripada majlis berkenaan.

“Seperti yang diluahkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, program itu akhirnya tidak terlepas daripada menjadi ‘mangsa politik’.

“Apa yang berlaku mencerminkan realiti politik Malaysia yang semakin sempit di mana apa sahaja program yang melibatkan kerajaan negeri yang bukan sebulu dengan Putrajaya sering berdepan kekangan. Politik menjadi bayangan yang menutup ruang sosial dan rekreasi rakyat.

“Dr Samsuri dengan nada kesal menyatakan bahawa beliau dan pimpinan negeri ‘ditiadakan’ daripada hadir bersama ribuan peserta, sedangkan pada tahun-tahun sebelumnya beliau sering turun padang, malah menunggang bersama peserta sebagai simbol sokongan,” ujarnya.

Menurut Khairul Faizi, tindakan meminggirkan kepimpinan negeri daripada program rekreasi anak muda jelas memperlihatkan wajah politik tidak matang yang akhirnya merugikan rakyat.

“Kenyataan beliau bahawa RXZ Members menjadi ‘mangsa politik cemburu orang Putrajaya KL’ menggambarkan bagaimana politik sempit telah merampas nilai sebenar acara tersebut.

“Bagi rakyat Terengganu, acara seperti ini bukan sekadar perhimpunan peminat motor tetapi juga menjadi medan ekonomi kecil, peluang perniagaan dan tarikan pelancongan negeri,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata Dr Samsuri tetap mengutamakan rakyat apabila menitipkan doa agar program berjalan lancar, menyeru peserta menjaga keselamatan serta tidak lupa menunaikan solat.

“Kesimpulannya, RXZ Members 7.0 menjadi cerminan bagaimana politik di Malaysia masih terperangkap dalam perhitungan sempit. Anak muda yang hadir ke program itu tidak datang membawa bendera parti tetapi membawa minat, kreativiti dan solidariti.

“Maka, mereka tidak seharusnya dijadikan ‘collateral damage’ akibat percaturan politik. Politik matang seharusnya meraikan, bukan menghalang,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

Ulasan