BUDI95 : KENYATAAN KETUA PEMUDA PAS YANG SANGAT BERASAS
1. Saya fikir kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi, tentang kelemahan skim subsidi petrol BUDI95 ini sangat berasas. Apa yang kita lihat sekarang, janji-janji awal kerajaan kononnya penjimatan mencecah RM16 bilion, akhirnya tinggal RM2–4 bilion sahaja. Angka ini terlalu kecil untuk disebut sebagai “kejayaan fiskal”, malah boleh bertukar menjadi beban baharu jika harga minyak dunia naik.
2. Lebih pelik, agihan subsidi ini tidak membezakan antara golongan kaya dan marhaen. T20 yang pakai kereta mewah dapat manfaat sama namun dalam masa yang sama rakyat kecil yang naik motor atau kereta kecil masih perlu bergelut dengan kos hidup. Tambah malang, pengguna pengangkutan awam langsung tidak diberi apa-apa. Bukankah ini bercanggah dengan semangat keadilan sosial?
3. Kuota 300 liter juga nampak manis pada angka, tetapi mesejnya songsang semakin banyak guna, semakin banyak subsidi. Ia bukannya menggalakkan rakyat berjimat atau mengurangkan pencemaran, sebaliknya terus memupuk budaya “lebih guna, lebih untung”.
4. Kerenah birokrasi pula tambah menyakitkan hati rakyat. Bayangkan, hanya kerana lesen mati lebih tiga tahun, 2.4 juta orang terus dinafikan subsidi. Subsidi minyak ini soal keperluan harian, bukan soal lesen memandu semata-mata.
5. Lebih parah, data PADU yang kononnya jadi asas dasar subsidi dengan kos RM85 juta, rupa-rupanya tidak digunakan langsung. Rakyat dipaksa isi tetapi akhirnya tidak memberi sebarang makna dalam pelaksanaan dasar. Ini betul-betul menambah rasa rakyat diperbodohkan.
6. Kesimpulannya, BUDI95 bukan sahaja gagal capai matlamat fiskal, malah gagal berlaku adil dan masih membuka ruang besar kepada ketirisan. Kerajaan sepatutnya kembali kepada subsidi bersasar yang benar-benar fokus kepada mereka yang memerlukan, bukannya membuat eksperimen separuh masak yang akhirnya menyusahkan rakyat.
KFAK

Ulasan
Catat Ulasan