CATATAN AKHIR : PERSIAPAN TERAKHIR MENJELANG MUKTAMAR PAS KE-71


CATATAN AKHIR : PERSIAPAN TERAKHIR MENJELANG MUKTAMAR PAS KE-71

Detik bersejarah semakin hampir. Beberapa hari sahaja lagi, Negeri Kedah akan menjadi tuan rumah kepada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71, perhimpunan terbesar tahunan yang menghimpunkan para perwakilan, pemerhati dan pimpinan parti dari seluruh negara. Bukan itu sahaja, muktamar ini akan akan diadakan selama enam hari iaitu penganjuran muktamar tahunan yang paling lama dalam sejarah PAS sejak ia ditubuhkan 74 tahun yang lalu. Bermula pada 11 September dan akan berakhir pada 16 September 2025.

Di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, bahang suasana sudah semakin terasa. Petugas-petugas dari seluruh negeri telah mula turun padang bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar. Dari kerja-kerja teknikal, hiasan pentas, pemasangan bendera hinggalah kepada penyediaan penginapan dan logistik, semuanya giat dijalankan dengan penuh semangat. Ahli PAS khususnya di negeri Kedah telah bergilir-gilir hadir ke kompleks PAS Kedah untuk melaksanakan peranan masing-masing.

Kerjasama Petugas dan Sukarelawan

Para petugas Muktamar terdiri daripada pelbagai lapisan daripada Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama, Dewan Himpunan Pendukung PAS termasuklah Dewan As-Sabiqun yang telah dinaikkan sebagai sayap PAS yang baharu. Bahkan tidak ketinggalan pasukan Jabatan Amal yang menjadi tonggak keselamatan dan pengurusan acara. Mereka bergandingan bahu bersama sukarelawan, membuktikan budaya kerja jamaah PAS yang tersusun, ikhlas dan berdisiplin. Khidmat Malaysia negeri Kedah bukan sahaja diarahkan bersiap sedia untuk menghadapi apa jua bencana yang mungkin melanda, para sukarelawan bencana ini dikerah untuk terlibat sama untuk membersihkan dan mengindahkan persekitaran kompleks yang semakin menarik perhatian ramai.

Mereka percaya bahawa setiap daripada mereka bekerja bukan sahaja kerana tugas tetapi kerana ini adalah satu ibadah. Muktamar adalah wadah perjuangan, maka persiapannya juga mesti dibuat dengan penuh keikhlasan tanpa memikirkan imbuhan yang perlu dibayar kepada mereka. Apa yang penting adalah muktamar pada kali ini akan membawa kenangan indah dan istimeswa bagi semua yang bakal hadir nanti.

Logo dan Tema Jadi Inspirasi

Logo rasmi Muktamar PAS Ke-71 yang telah diumumkan juga sudah mula menghiasi kain rentang, poster dan bahan promosi di sekitar kawasan program. Simbol padi, Menara Alor Setar serta paduan warna hijau dan kuning Kedah memberi inspirasi kepada seluruh warga kerja. Ia bukan sekadar lambang visual tetapi semangat yang menyatukan perjuangan PAS di seluruh tanah air. Malah bukan di dalam kawasan kompleks sahaja, sepanjang jalan di kira dan kanan bahu jalan menghala ke kompleks di selang seli dengan gantungan bendera PAS dan bunting muktamar.

Kehadiran Perwakilan dan Tetamu

Pihak urusetia turut memaklumkan bahawa persiapan bagi menyambut ribuan perwakilan dan pemerhati sedang diperkemaskan. Kakitangan Pejabat Agung PAS sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan kad perwakilan yang biasanya akan ada perubahan ‘last minute’ perwakilan yang sebelumnya telah didaftarkan. Penyediaan penginapan, pendaftaran serta pengangkutan sudah disusun dengan rapi walaupun kali ini ramai yang mengadu semakin sukar untuk mendapatkan rumah inap (homestay) yang berdekatan malah ada perwakilan yang terpaksa menginap di sekitar kawasan Sungai Petani. Kehadiran tetamu jemputan daripada dalam dan luar negara turut dijangka akan memeriahkan lagi Muktamar kali ini.

Muktamar Medan Menyusun Saf

Muktamar PAS bukan sahaja acara tahunan tetapi pentas untuk menyusun saf perjuangan. Di sinilah keputusan besar parti akan dibuat, resolusi perjuangan akan digariskan dan hala tuju masa depan politik Islam di Malaysia akan diperteguh.

Dengan persiapan yang hampir selesai, semangat seluruh warga kerja jelas membara. Fokus bukannya kepada persiapan tetapi lebih kepada perlaksanaan muktamar. Bagi panitia muktamar, ia sudah masuk ke detik yang paling getir dan mencabar. Kedah sebagai Jelapang Padi negara sekali lagi bakal mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada perhimpunan terbesar perjuangan Islam kontemporari di Malaysia.

Muktamar Medan Menyusun Saf

Muktamar PAS bukan sahaja acara tahunan, tetapi ia adalah medan menyusun saf perjuangan. Di sinilah seluruh kepimpinan, perwakilan dan pemerhati daripada pelbagai latar belakang berkumpul untuk membincangkan masa depan gerakan Islam di Malaysia. Ia adalah ruang di mana keputusan besar parti akan dibuat, resolusi perjuangan digariskan dan hala tuju politik Islam diperjelas serta diperteguh.

Setiap kali muktamar berlangsung, ia menjadi titik penting dalam sejarah PAS. Dari muktamar inilah lahirnya gagasan-gagasan besar, strategi politik yang matang, serta pendekatan dakwah yang segar untuk mendepani cabaran semasa. Muktamar juga berfungsi sebagai medan muhasabah, tempat parti melihat kembali kekuatan dan kelemahan, lalu memperbaharui tekad untuk terus mara kehadapan.

Dengan persiapan yang hampir selesai, semangat seluruh warga kerja jelas membara. Namun, bagi pihak panitia muktamar, inilah saat yang paling getir, saat memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan teratur dan sempurna. Persiapan fizikal hanyalah sebahagian kecil kerana fokus utama adalah bagaimana menjadikan muktamar ini berjalan dengan lancar, penuh berkat dan mencapai matlamatnya.

Sesungguhnya, muktamar adalah lambang penyatuan, titik pertemuan antara cita-cita perjuangan dan realiti semasa, serta jambatan yang menghubungkan harapan rakyat dengan visi Islam. Dari medan inilah lahir keberanian, kesatuan dan keyakinan bahawa masa depan negara dapat dibina atas dasar Islam yang syumul.

Selamat bermuktamar!

Ulasan