KEMPEN PAS PILIHANKU : MERINTIS KEJAYAAN SEJUTA AHLI PAS
1.Pagi tadi, saya telah dijemput untuk melancarkan kempen PAS Pilihanku 4.0 peringkat DUN Rantau Abang di Dungun, Terengganu.
2.Kempen ini adalah kempen penambahan keahlian yang terus membuahkan hasil sejak ia mula dilancarkan pada tahun 2017.
3.Seperti yang telah diketahui umum bahawa kesan pergeseran dalaman PAS telah membawa kepada tindakan sekumpulan pimpinan dan ahli PAS meninggalkan parti ini selepas Muktamar Tahunan PAS yang diadakan pada tahun 2015 sehingga mereka menubuhkan parti baharu.
4.Kempen PAS Pilihanku bukan sekadar slogan, tetapi sebuah inisiatif strategik yang terbukti berkesan dalam melonjakkan keahlian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak ia mula diperkenalkan. Dari awal pelancarannya pada 21 Januari 2017 di Shah Alam oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ia menjadi platform penting untuk memperkenalkan PAS kepada rakyat serta membuka ruang penyertaan lebih luas bagi mereka yang mahu bersama dalam perjuangan Islam.
5.Idea kempen ini mula digerakkan pada tahun 2016 apabila PAS Pusat melantik Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar bin Abdul Samad, sebagai Pengarah Kempen. Ia dilancarkan secara rasmi pada awal 2017 dengan tempoh empat bulan, dari 1 Januari hingga 15 April. Kejayaan sulungnya cukup membanggakan, seramai 41,953 ahli baharu telah berjaya didaftarkan pada tahun 2017.
6.Kempen ini diteruskan dengan PAS Pilihanku 2.0, yang dilancarkan pada 31 Disember 2017 di Pejabat Agung PAS. Bermula 1 Januari 2018 hingga Muktamar 2018, kempen kali kedua ini tampil lebih segar dengan menawarkan enam insentif utama termasuk kategori penambahan ahli bawah umur 35 tahun, Muslimat, dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
7.Insentif ini berjaya membuka ruang lebih luas, dan sekali lagi jumlah keahlian meningkat secara ketara, memperlihatkan sambutan positif masyarakat pelbagai latar terhadap PAS.
8.Bersempena Muktamar PAS Pusat ke-65 di Indera Mahkota, Pahang, PAS Pusat memperkenalkan insentif baharu; RM1,000 untuk PAS Negeri yang berjaya mendaftarkan ahli baharu mengikut kategori bulanan. Langkah ini melonjakkan motivasi di peringkat negeri dan kawasan untuk memperhebatkan lagi kempen keahlian.
9.Dalam tempoh 2016 hingga 2020, kempen PAS Pilihanku telah membawa hasil yang sangat memberangsangkan. Statistik rasmi menunjukkan bahawa seramai 167,404 ahli baharu berjaya didaftarkan.
10.Dalam lima tahun tersebut juga, seramai 108,686 orang (63.7%) ahli baharu adalah golongan muda.
11.Ini membuktikan bahawa PAS terus mendapat tempat di hati generasi muda, malah ia juga membatalkan tohmahan musuh politik kononnya PAS hanya diminati generasi tua.
12.Pejabat Setiausaha Agung PAS memainkan peranan besar dengan memastikan pemantauan rapi terhadap kempen ini. Antara tindakan yang dilakukan ialah mewujudkan sistem pendaftaran ahli secara terus/online (Ahli Sekaligus), menaiktaraf sistem 'key in' data ahli baharu di peringkat negeri/wilayah dan menganalisa statistik pendaftaran secara berkala untuk menilai prestasi negeri dan kawasan.
13.Pada tahun 2022, PAS Pilihanku 4.0 dilancarkan di Sik, Kedah dengan sasaran 50,000 ahli baharu. Pasca PRU-15 pula, fenomena luar biasa berlaku apabila permohonan keahlian melonjak mendadak, menandakan sokongan rakyat semakin bertambah terhadap perjuangan Islam melalui PAS.
14.Sejak kempen ini dilaksanakan bermula tahun 2017, seramai 274 ribu ahli baharu telah berjaya didaftarkan dalam tempoh 104 bulan sehingga PAS telah berjaya mempunyai ahli seramai satu juta orang!.
15.Terbaharu, dengan pindaan perlembagaan PAS yang baru diluluskan, PAS telah menerima puluhan ribu Ahli Bersekutuan PAS yang diserap melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS.
16.PAS Pilihanku telah membuktikan bahawa ia bukan sekadar kempen bermusim, tetapi satu gelombang yang menyegarkan semangat ahli dan menarik rakyat untuk bersama PAS. Ia menjadi bukti kesungguhan PAS mendekati semua lapisan masyarakat daripada ulama, profesional, wanita, sehinggalah kepada anak muda dalam usaha membina Malaysia yang sejahtera di bawah rahmat Allah.
17. Tahniah PAS kawasan Dungun, tahniah PAS DUN Rantau Abang. Semoga beroleh kejayaan dalam mencapai misi menambahkan ahli baharu.
Ditulis oleh:
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
6 September 2025
Penolong Setiausaha Agung PAS
Ulasan
Catat Ulasan