LOGO MUKTAMAR PAS KE-71: SIMBOL PERJUANGAN DAN IDENTITI KEDAH JELAPANG PADI
Oleh : Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pertandingan mencipta logo sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-71 bukan sekadar wadah menzahirkan kreativiti, bahkan ia membawa roh perjuangan, identiti jamaah serta simbolik negeri tuan rumah, Kedah Darul Aman.
Pertandingan yang dibuka dari 5 hingga 30 Jun lalu telah menerima sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia apabila sebanyak 21 penyertaan diterima. Ia melibatkan anak muda, para pereka grafik dan penyokong perjuangan Islam yang ingin menyumbang bakti dalam bentuk seni visual.
Lebih bermakna, pertandingan ini dibuka secara percuma dan memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk berkarya, tanpa batasan. Inilah budaya keterbukaan PAS, mengajak rakyat bersama-sama mengangkat syiar Islam dalam pelbagai medan, termasuk medan seni dan kreatif.
Simbolik Logo: Perjuangan, Islam dan Kedah
Setelah melalui penilaian teliti oleh pihak juri, akhirnya sebuah logo dipilih untuk menjadi wajah rasmi Muktamar PAS Ke-71. Logo ini bukan sekadar corak dan warna tetapi ia membawa makna perjuangan, simbol Islam dan identiti Kedah yang menjadi medan persidangan besar jamaah kali ini.
1. Lorekan bendera Malaysia dan PAS. Bendera Malaysia dilukis membentuk angka tujuh, manakala bendera PAS membentuk angka satu, menggambarkan kali ke-71 Muktamar Tahunan PAS Malaysia. Ia melambangkan perjuangan PAS yang tidak pernah terpisah dari roh patriotisme dan kecintaan kepada tanah air.
2. Simbol padi menunjukkan bahawa negeri Kedah sebagai Jelapang Padi negara diangkat dengan lambang padi yang menguning. Tangkai padi berwarna emas menzahirkan kekayaan dan keterjaminan makanan yang menjadi sumber kekuatan negara.
3. Hijau dan kuning adalah warna rasmi Negeri Kedah yang menggambarkan bumi subur, negeri pertanian dan lambang harapan untuk masa depan negara yang makmur di bawah naungan Islam.
4. Menara Alor Setar adalah mercu tanda pentadbiran Negeri Kedah yang megah berdiri, simbol kepada kebanggaan rakyat negeri ini, menjadi saksi sejarah apabila Muktamar PAS ke-71 berlangsung di sini.
Muktamar Sebagai Pusat Penyatuan
Logo ini akan menghiasi semua bahan rasmi, promosi, dokumen dan acara sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS Ke-71 di Kompleks PAS Kedah pada September ini. Ia bukan sekadar simbol luaran tetapi tanda bahawa perjuangan Islam yang dibawa PAS terus mekar, tersusun dan berstrategi dalam menghadapi cabaran semasa.
Muktamar kali ini bukan hanya pertemuan tahunan yang menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara, bahkan ia menjadi medan penyatuan fikrah dan amal jamaie. Di sinilah seluruh pimpinan, ahli dan penyokong akan duduk semeja, membincangkan agenda perjuangan, memperbaharui semangat dan memperteguhkan tekad untuk melangkah lebih jauh.
Ia juga berperanan sebagai platform pendidikan politik Islam, tempat melahirkan gagasan dan resolusi yang akan memandu hala tuju negara berteraskan Islam. Muktamar adalah ruang menyemai kesedaran, membina kefahaman dan memperkukuh keyakinan bahawa Islam adalah penyelesaian kepada seluruh permasalahan umat.
Lebih daripada itu, Muktamar ke-71 di Kedah akan menjadi saksi kepada pengukuhan saf perjuangan di mana generasi lama dan baru akan bergandingan bahu. Anak muda PAS bersama para ulama, profesional dan aktivis masyarakat akan membentuk satu saf yang kukuh, menjadikan PAS terus relevan, segar dan diterima oleh rakyat.
Logo rasmi ini membawa roh penyatuan, paduan warna, simbol negeri Kedah, serta lambang kebangsaan Malaysia bagi menggambarkan bahawa perjuangan PAS bukan terasing, tetapi berpijak di bumi nyata, merangkul seluruh rakyat dan bergerak dengan gagasan besar demi masa depan negara.
Sejarah juga mencatat, Kedah adalah negeri yang pernah melahirkan tokoh-tokoh Islam dan menyaksikan detik-detik penting dalam perkembangan dakwah serta politik tanah air. Maka, apabila negeri ini dipilih sekali lagi sebagai tuan rumah, ia memberi erti besar bahawa perjuangan Islam yang dipelopori PAS adalah kesinambungan daripada warisan perjuangan terdahulu.
Muktamar PAS Ke-71 adalah pentas membina masa depan Malaysia, masa depan yang bebas daripada politik kotor, bebas daripada kezaliman ekonomi, bebas daripada keruntuhan moral dan diganti dengan pemerintahan adil berteraskan Islam.
Inilah pusat penyatuan sebenar: menyatukan hati, menyatukan tenaga, menyatukan langkah untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia tercinta.
PAS terus melangkah dengan penuh keyakinan dari Jelapang Padi Kedah untuk Malaysia, untuk Islam dan untuk seluruh umat
Ulasan
Catat Ulasan