MENGAPA KETUA DHPP BACA AYAT AL-QURAN DALAM UCAPANNYA : INI PENJELASAN RINGKAS SAYA

MENGAPA KETUA DHPP BACA AYAT AL-QURAN DALAM UCAPANNYA : INI PENJELASAN RINGKAS SAYA

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

1. Dalam ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, Encik Balasubramaniam Nachiappan JP Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) telah membacakan sepotong ayat dari al-Quran sehingga menimbulkan cakap-cakap dan kritikan sehinggakan ada yang menyatakan bahawa beliau 'pandai-pandai' untuk menafsirkan ayat suci al-Quran.

2. Baiklah, biar saya ceritakan sedikit untuk memberi gambaran terhadap Encik Bala yang sebenarnya sudah lama membacakan terjemahan al-Quran dan hadith dalam ucapannya. Bukannya kelmarin, bukannya tahun lepas tetapi telah bertahun-tahun mengamalkannya.

3. Encik Bala berusaha membawa pendekatan yang berbeza dalam menyampaikan ucapan. Apa yang membezakan beliau daripada kebanyakan pemimpin lain ialah prinsip yang dipegangnya: setiap ucapan mesti mengandungi sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran atau satu matan hadith.

4. Sebagai individu yang pernah terlibat secara langsung menulis teks ucapan beliau di Dewan Negara, saya sendiri pernah menerima pesanan ini secara terus. Beliau berulang kali mengingatkan agar setiap ucapan yang disediakan perlu dimulakan atau diselitkan dengan petikan al-Quran atau hadith. Pernah sekali saya terlupa untuk memasukkan mana-mana ayat atau hadith dalam teks ucapannya.

5. Dalam Muktamar PAS di Kedah baru-baru ini, Encik Bala telah memulakan ucapannya dengan membaca ayat daripada Surah As-Saff ayat ke-4:
Innallāha yuḥibbu alladzīna yuqātilūna fī sabīlihi ṣaffan ka’annahum bunyānun marṣūṣ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

6. Ayat ini beliau hubungkan dengan tuntutan untuk memperkukuhkan saf perjuangan PAS. Beliau menekankan bahawa kekuatan jamaah Islam bukan terletak pada bilangan yang ramai atau pada simbol luaran yang indah, tetapi pada kekukuhan organisasi yang teratur, ibarat sebuah bangunan yang tersergam dan teguh. Dalam konteks muktamar, beliau menyamakan semangat itu dengan keutuhan Kompleks PAS Kedah yang berdiri megah sebagai saksi sejarah.

7. Tahun sebelumnya pula, Encik Bala memetik daripada surah al-Mā’idah ayat 2:
Wa ta‘āwanū ‘alal-birri wat-taqwā wa lā ta‘āwanū ‘alal-ithmi wal-‘udwān.
Yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”

6.Ayat ini menjadi sandaran kekuatan dalam ucapan beliau untuk menyeru kepada para perwakilan PAS supaya terus mengamalkan budaya kerjasama, muafakat dan mengelakkan perpecahan. Pesanan itu, bagi saya, sangat simbolik kerana ia datang daripada seorang bukan Islam yang memetik al-Quran untuk mengingatkan umat Islam sendiri tentang nilai kesatuan dan tolong-menolong.

7. Apa yang ramai tidak tahu bahawa Encik Bala adalah lulusan Sijil Tasawwur Islam di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah Malaysia (ILHAM). Ini menunjukkan beliau tidak sekadar mendekati PAS dari sudut politik, tetapi benar-benar mendalami asas kefahaman Islam melalui pendidikan formal.

8. Latar ini menjadikan beliau mampu memetik al-Quran dan hadith bukan dengan sembarangan tetapi dengan kefahaman. Ucapannya tidak hanya bersifat retorik politik tetapi berpijak di atas asas ilmu yang dipelajarinya.

9. Justeru bagi saya, keunikan Encik Bala bukan sekadar kerana beliau mengetuai DHPP tetapi kerana beliau berusaha agar roh Islam dalam setiap ucapannya walaupun beliau bukan beragama Islam. Ayat-ayat Quran dan hadith yang disampaikan menjadikan ucapan beliau lebih bernyawa, penuh makna dan menggugah hati.

10. Inilah usaha yang PAS cuba lakukan untuk memahamkan bahawa Islam itu rahmatan lil 'alamin; Islam adalah rahmat untuk semua, bukan untuk umat Islam sahaja tetapi untuk semua makhluk di dunia ini.

KFAK

Ulasan