Menari Bersama Trump: Diplomasi Atau Hilang Arah?

Menari Bersama Trump: Diplomasi Atau Hilang Arah?

Oleh : Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Katanya, kehadiran Donald Trump ke Malaysia bukan untuk diraikan. Katanya lagi, ia peluang untuk Perdana Menteri menunjukkan ketegasan, untuk “bercakap secara berdepan” dengan Presiden Amerika Syarikat itu.

Hebat bunyinya. Tapi entah di mana silapnya, majlis yang kononnya ruang untuk menegakkan pendirian negara itu berubah wajah apabila Presiden Amerika itu disambut dengan tarian, senyuman lebar, tepukan  dan ya, Perdana Menteri Malaysia sendiri turut sama menari bersama Trump ketika beliau tiba di lapangan terbang.

Kalau inilah yang dimaksudkan dengan “menunjukkan ketegasan”, mungkin definisi diplomasi kita memang sudah naik taraf,  daripada berdiri teguh, kepada bergoyang bersama.

Malaysia terkenal dengan sikap tegas terhadap penindasan rakyat Palestin. Malah, rakyat sendiri sering turun ke jalan, mengibarkan bendera Palestin, menunjukkan solidariti yang ikhlas. Tapi kini, kita diraikan dengan pemandangan di mana pemimpin kita tersenyum megah di sisi tokoh yang pernah berbangga dengan dasar pro-Israel-nya.

Ironinya, semua ini berlaku atas nama “peluang berdiplomasi”. Mungkin selepas ini, sesi rundingan boleh terus diadakan di pentas tarian, lebih “mesra”, katanya.

Diplomasi bukan sekadar mesra kamera. Ia tentang mesej dan prinsip. Bila mesej yang dihantar kelihatan seperti “kita boleh lupa segalanya asal hubungan kekal baik”, apa yang tinggal pada maruah dan pendirian kita?

Jika niatnya untuk bercakap tegas, maka mungkin lebih baik berjumpa di meja rundingan, bukan di pentas persembahan. Sebab di mata rakyat, pertemuan yang sepatutnya berunsur serius kini nampak seperti pertunjukan yang salah skrip.

Apabila dunia menonton, sambil rakyat Palestin terus bergelut dengan penderitaan, Malaysia boleh raikan Trump dengan mesra. Mungkin itu cara baru kita menunjukkan sokongan: bukan dengan berdiri teguh, tapi dengan langkah yang seiring dengan Trump.

Sebagai rakyat Malaysia yang berdiri teguh dengan rakyat Palestin dan seluruh masyarakat dunia yang terus mengecam Trump dan Israel, saya kecewa dengan sikap dan tindakan yang ditunjukkan PMX dan kuncu-kuncunya.

KFAK

Ulasan