Ini adalah kali pertama saya menyertai hari penamaan calon di Sabah dan pengalaman ini benar-benar membuka mata saya. Semalam, saya berada di Pusat Penamaan Calon di SJKC Yuk Chin, Tawau, lokasi rasmi bagi penamaan calon DUN-DUN yang terletak dalam Parlimen Kalabakan.
Setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak terhadap proses penamaan calon yang berlangsung semalam. Ini menunjukkan satu proses kematangan yang sangat kita mahukan.
Seawal pagi, suasana di sekitar pusat penamaan calon begitu teratur dan harmoni. Para penyokong pelbagai parti hadir dengan penuh disiplin, membawa panji dan semangat masing-masing tanpa menimbulkan sebarang ketegangan. Walaupun kawasan itu dipenuhi dengan warna-warni bendera dan kemeriahan penyokong, suasana tetap tenang, aman dan saling menghormati. Paluan kompang dan gendang walaupun sekali-sekali kedengaran namun ia tidak menyebabkan provokasi tercetus.
Bagi saya, kehadiran pertama kali ini memberi gambaran jelas bahawa politik di Sabah mempunyai keunikannya tersendiri; matang, santun dan terbuka. Tiada provokasi melampau, tiada sikap menekan; sebaliknya, wujud satu budaya politik yang menghargai perbezaan dan meraikan proses demokrasi dengan penuh adab.
Jika suasana sebegini dapat diperluaskan ke seluruh negara, Malaysia akan melangkah ke satu tahap baharu politik berbudaya: politik yang tidak menakutkan rakyat, politik yang menenangkan hati dan politik yang menunjukkan bahawa perbezaan tidak semestinya membawa perpecahan.
Sabah memperlihatkan contoh terbaik bahawa demokrasi yang matang bukan sekadar tentang siapa yang bertanding tetapi bagaimana rakyat dan penyokong mendukung proses itu dengan penuh kesantunan. Pengalaman ini benar-benar memberi harapan kepada masa depan politik Malaysia.
KFAK
#PRNSabah
#PerikatanNasional

Ulasan
Catat Ulasan