CUACA TIDAK MENENTU, TIDAK LAGI IKUT MUSIM: ISYARAT DAN AMARAN BUAT SEMUA


CUACA TIDAK MENENTU, TIDAK LAGI IKUT MUSIM: ISYARAT DAN AMARAN BUAT SEMUA

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Rakyat Malaysia hari ini berdepan realiti cuaca yang semakin sukar diramal dan kian mencabar kehidupan seharian. Kejadian puting beliung, hujan batu, gelombang haba, banjir luar musim serta ribut tropika yang melanda beberapa kawasan kebelakangan ini bukan lagi peristiwa terpencil, sebaliknya satu pola baharu yang semakin kerap berlaku.

Persoalan yang wajar kita renungkan ialah: mengapa cuaca negara tidak lagi mengikut kitaran musim seperti dahulu dan sejauh mana kesiapsiagaan kita berdepan ancaman ini?

Alam Tidak Berubah Tanpa Izin Allah

Islam mengajar bahawa setiap kejadian di langit dan bumi berlaku dengan izin dan ketetapan Allah SWT. Firman-Nya:

“Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia menyebarkan rahmat-Nya.”
(Surah Asy-Syura: 28)

Namun pada masa yang sama, al-Quran juga mengingatkan bahawa kerosakan di muka bumi adalah akibat perbuatan manusia sendiri:

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
(Surah ar-Rum: 41)

Perubahan iklim, cuaca ekstrem dan ketidaktentuan musim bukan sekadar isu teknikal atau saintifik semata-mata. Ia adalah peringatan Ilahi agar manusia menilai semula cara hidup, corak pembangunan dan sikap terhadap alam ciptaan Allah.

Apabila Monsun dan Fenomena Global Bertindih

Malaysia kini memasuki fasa Monsun Timur Laut yang bertindih dengan pengaruh fenomena global seperti La NiƱa. Gabungan ini menjadikan cuaca lebih aktif dan tidak menentu. Walaupun fenomena tersebut bukan sesuatu yang baharu, coraknya kini semakin sukar dijangka dan kesannya lebih ekstrem.

Apabila sistem tekanan rendah terbentuk dan disokong oleh luruan angin monsun yang kuat, udara lembap akan tertumpu di satu kawasan dalam tempoh singkat. Keadaan ini berpotensi mencetuskan hujan lebat luar biasa, banjir kilat serta pembentukan sistem ribut tropika di sekitar rantau ini. Inilah yang menyebabkan hujan lebat boleh berlaku secara tiba-tiba, diikuti kemusnahan besar walaupun tempohnya singkat.

Malaysia Tidak Kebal Daripada Ribut Tropika

Sering kali kita diingatkan bahawa Malaysia bukan laluan utama ribut tropika. Namun hakikatnya, negara tetap menerima kesan tidak langsung daripada sistem cuaca berskala besar yang terbentuk di rantau Asia Tenggara.

Ribut yang bermula di Lautan Pasifik atau Laut China Selatan boleh membawa hujan lebat dan angin kencang ke Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Walaupun jarang berlaku, kesannya boleh menjadi sangat dahsyat. Sejarah telah membuktikan bahawa lekukan tropika pernah mencetuskan banjir besar di kawasan bandar yang tidak bersedia.

Ini menuntut perubahan sikap daripada rasa selesa yang berpanjangan kepada kesiapsiagaan berterusan.

Hujan Masih Sama, Tetapi Semakin Ekstrem

Satu perkara penting yang perlu difahami ialah jumlah hujan tahunan negara tidak banyak berubah. Namun taburan hujan kini menjadi semakin ekstrem. Bila hujan turun, ia turun dengan sangat lebat dalam tempoh singkat, manakala musim kering pula menjadi lebih panjang dan panas.

Suhu melebihi 35 darjah Celsius semakin kerap direkodkan, menjadikan gelombang haba satu ancaman kesihatan awam yang serius. Inilah kesan nyata perubahan iklim global yang sedang kita alami, bukan sekadar teori atau ramalan masa depan.

Banjir Bandar: Amaran Buat Pihak Berkuasa Tempatan

Antara cabaran besar hari ini ialah banjir kilat di kawasan bandar seperti yang dialami oleh Bandaraya Johor Baharu minggu yang lalu. Sistem perparitan yang dibina puluhan tahun lalu tidak direka untuk menghadapi hujan ekstrem seperti hari ini. Apabila hujan lebat turun dalam tempoh singkat, saliran gagal menampung isipadu air, ditambah pula dengan masalah longkang tersumbat dan penyelenggaraan yang lemah.

Isu pokok besar yang reput dan tidak dipantau juga menjadi ancaman keselamatan baharu di kawasan bandar apabila ribut melanda. Semua ini menuntut tindakan serius pihak berkuasa tempatan, bukan sekadar reaksi selepas bencana berlaku.

Teknologi Ramalan: Ada Hadnya, Tetapi Perlu Diperkasa

Ramai beranggapan bahawa ramalan cuaca seharusnya boleh dibuat lebih awal dan lebih tepat. Hakikatnya, di peringkat global, ketepatan ramalan cuaca telah menghampiri had maksimum dengan teknologi sedia ada. Peningkatan seterusnya memerlukan pelaburan besar dalam sistem baharu, kepakaran saintifik dan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Namun secanggih mana pun teknologi, ia tidak akan berkesan jika amaran yang dikeluarkan tidak diambil serius oleh masyarakat dan agensi berkaitan.

Allah mengingatkan:
“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)

Mengabaikan amaran cuaca, enggan berpindah awal dan mengambil sikap sambil lewa adalah satu bentuk kecuaian yang ditegah oleh Islam.

Sikap Masyarakat Penentu Kejayaan Mitigasi Bencana

Pengalaman banjir besar beberapa tahun lalu menunjukkan bahawa kawasan yang jarang dilanda bencana cenderung mengambil sikap menunggu dan melihat. Apabila amaran dikeluarkan, masih ramai yang ragu-ragu untuk berpindah atau mengambil langkah awal.

Budaya ini perlu diubah. Pendidikan risiko bencana mesti menjadi agenda nasional, bermula di peringkat komuniti sehingga pembuat dasar. Masyarakat tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan atau agensi, sebaliknya perlu membina keupayaan bertindak secara kolektif.

Cabaran 20 Tahun Akan Datang

Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, negara dijangka berdepan peningkatan gelombang haba ekstrem, tekanan kepada sumber makanan dan pendapatan nelayan, serta risiko banjir bandar yang lebih kerap. Corak cuaca tidak lagi “normal” seperti yang kita kenal sebelum ini.

Ini adalah isyarat jelas bahawa pendekatan pengurusan risiko bencana perlu disusun semula dengan lebih strategik, bersepadu dan berpaksikan realiti iklim semasa.

Allah SWT mengingatkan:

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 155)

Ujian ini bukan untuk melemahkan tetapi untuk membina kesedaran, kesabaran dan tindakan yang lebih bijaksana.

Penutup: Dari Kesedaran kepada Tindakan

Islam mengajar umatnya supaya mengambil iktibar daripada tanda-tanda alam dan bersiap sedia menghadapi ujian. Cuaca ekstrem hari ini bukan sekadar fenomena semula jadi tetapi satu peringatan agar manusia kembali kepada prinsip amanah dalam mengurus alam dan kehidupan.

Amaran telah diberikan. Ilmu telah tersedia. Kini yang dituntut ialah keberanian untuk bertindak sebelum bencana menjadi tragedi berulang.

KFAK

Ulasan