LARANGAN MEDIA SOSIAL BAWAH 16 TAHUN: AUSTRALIA MULAKAN LANGKAH BERANI, MALAYSIA WAJAR IKUT JEJAK




TAJUK:
LARANGAN MEDIA SOSIAL BAWAH 16 TAHUN: AUSTRALIA MULAKAN LANGKAH BERANI, MALAYSIA WAJAR IKUT JEJAK

Oleh : Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Australia sekali lagi mencetuskan perbincangan global apabila menjadi negara pertama di dunia yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada mengakses media sosial. Langkah bersejarah yang dikuatkuasakan sepenuhnya pada 10 Disember 2025 ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa, malah dilihat sebagai titik perubahan besar dalam usaha melindungi generasi muda daripada kesan buruk dunia digital.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan hari pelaksanaan undang-undang itu sebagai “hari membanggakan buat keluarga Australia.” Baginya, dasar yang digubal ini adalah bukti bahawa kerajaan mampu bertindak tegas mengatasi bahaya maya yang berkembang lebih pantas berbanding undang-undang tradisional. Dalam satu mesej ringkas kepada kanak-kanak yang terjejas, beliau menggalakkan mereka kembali kepada aktiviti sihat, bermain sukan, mencuba alat muzik baharu atau membuka buku yang sudah sekian lama tersimpan di rak.

Larangan ini menjejaskan kira-kira satu juta pengguna bawah umur dengan platform besar seperti TikTok, Instagram, Facebook, YouTube dan Snapchat diwajibkan menyekat akses kanak-kanak atau berdepan denda sehingga hampir AU$50 juta. Undang-undang ini dikenali sebagai Online Safety Amendment (Minimum Age for Social Media) Act 2024 dan meletakkan tanggungjawab pematuhan sepenuhnya pada syarikat teknologi, bukan ibu bapa, bukan pengguna bawah umur.

Menariknya, walaupun melarang akses ke platform media sosial arus perdana, kerajaan Australia tetap menyediakan pengecualian penting. Aplikasi pendidikan seperti Google Classroom, YouTube Kids dan platform sokongan kesihatan mental masih boleh diakses. Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Messenger Kids juga dibenarkan, menunjukkan bahawa sekatan ini tidak bertujuan menutup dunia digital sepenuhnya tetapi hanya menyekat ruang yang paling banyak memberi impak negatif terhadap kesihatan mental remaja.

Langkah ini bukan sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa. Sejak tahun 2021 lagi, kerajaan Australia sudah merancang penguatkuasaan ketat berkaitan umur pengguna media sosial. Rang undang-undang awal ketika itu menekankan keperluan kebenaran ibu bapa dan meletakkan denda besar kepada syarikat teknologi yang gagal mengutamakan keselamatan kanak-kanak. Krisis kesihatan mental remaja, penyebaran maklumat palsu, buli siber dan tekanan imej tubuh menjadi faktor utama kerajaan memutuskan bahawa had umur bukan lagi sekadar nasihat tetapi perlu diwajibkan.

Kini, seluruh dunia sedang memerhati. Kejayaan atau kegagalan polisi ini akan menjadi penanda aras antarabangsa tentang kemampuan kerajaan mengawal gergasi teknologi dalam melindungi generasi muda. Banyak negara sebelum ini menyatakan kebimbangan yang sama tetapi bergelut untuk menegakkan mekanisme penguatkuasaan yang praktikal. Australia menjadi perintis.

Malaysia wajar menuju ke arah yang sama.

Malaysia juga wajar menuju ke arah yang sama seperti Australia. Putrajaya kini dalam proses akhir merangka kerangka perundangan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian yang turut mewajibkan platform media sosial menyekat pengguna bawah 16 tahun daripada membuka akaun. Cadangan ini bahkan dijangka lebih ketat berbanding model Australia, termasuk keperluan pengesahan umur menggunakan identiti rasmi kerajaan.

Keputusan Australia ini seharusnya menjadi panggilan penting kepada Malaysia. Kesan ketagihan skrin, kemurungan dan buli siber semakin membimbangkan di sekolah-sekolah negara kita. Negara perlu bergerak seiring dengan perkembangan global dalam memastikan perlindungan digital yang lebih menyeluruh kepada generasi muda.

Larangan ini mungkin kedengaran tegas, namun ia selaras dengan tujuan utama: mengembalikan zaman kanak-kanak kepada kanak-kanak. Memastikan mereka membesar dalam persekitaran lebih sihat, stabil dan bebas daripada tekanan media sosial yang semakin tidak terkawal.

Jika Australia berani memulakan langkah pertama, Malaysia tidak boleh ketinggalan. Demi keselamatan, kesejahteraan dan masa depan anak-anak kita, peraturan lebih ketat dalam penggunaan media sosial bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan mendesak nasional.

KFAK



Ulasan