TAHNIAH KERAJAAN NEGERI PERLIS
Sepanjang penglibatan saya dengan MEDM/Khidmat Malaysia sejak tahun 2014 sehingga tahun 2025, Perlis tidak terlibat dengan bencana banjir berskala besar. Malah, biasanya negeri Perlis jarang-jarang dilanda bencana banjir, jika ada pun, mereka mampu untuk uruskan sendiri.
Berita tentang banjir di Perlis kali ini memang diluar jangkaan, malah berlakunya banjir kali ini telah menguji kemampuan kerajaan negeri menguruskan bencana sehingga mendapat perhatian banyak pihak.
Apa yang berlaku sebenarnya mengingatkan kita bahawa dalam bencana, bukan saiz banjir yang menentukan kejayaan tetapi bagaimana kita mengurusnya. Walaupun Perlis berdepan banjir terburuk selepas 2010 dengan lebih 8,000 mangsa, apa yang berlaku sebenarnya menunjukkan satu perkara penting: apabila koordinasi berjalan baik, bencana boleh ditangani dengan lebih teratur dan bermaruah.
Saya lihat kenyataan Menteri Besar, YAB Cikgu Mohd Shukri Ramli, cukup jujur dan realistik. Beliau tidak menafikan cabaran tetapi menegaskan bahawa Perlis tidak gagal dan saya setuju. Penyelarasan antara Khidmat Malaysia, JKM, APM, BOMBA, petugas kesihatan dan ratusan sukarelawan benar-benar menjadi tulang belakang kepada operasi kali ini. Ramai bekerja dari pagi sampai malam, ada yang angkut pesakit naik tangga lima tingkat kerana lif rosak. Ini bukan kerja ringan; ini pengorbanan.
Tentang isu NGO, saya juga memahami keperluan negeri meminta NGO berdaftar dan mengikut garis panduan. Ini bukan soal menyekat tetapi memastikan keselamatan makanan, pengurusan logistik dan elakkan pembaziran. Dalam bencana, niat baik sahaja tidak cukup; mesti disertai tatacara supaya bantuan sampai tepat pada sasaran.
Sekarang Perlis sudah masuk fasa pemulihan. PPS ditutup satu persatu, petugas mula bernafas sedikit dan mangsa kembali membina rutin. Namun yang paling penting untuk diingati ialah nilai kebersamaan. Bila kerajaan negeri, agensi pusat, NGO dan sukarelawan bekerjasama tanpa ego, tanpa politik, tanpa sindiran inilah hasilnya.
Buktinya, usaha Khidmat Malaysia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Perlis khususnya dalam Operasi Clean and Clear (CnC) telah banyak membantu meringankan rakyat Perlis.
Banjir ini mungkin peristiwa pahit tetapi ia menunjukkan bahawa saling membantu masih menjadi budaya kita. Itu adalah kekuatan sebenar Perlis, negeri yang terkecil di Malaysia tetapi besar jiwanya.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
11 Disember 2025

Ulasan
Catat Ulasan