TRAGEDI SUMATERA 2025: KEGONDOLAN HUTAN, BANJIR LUMPUR DAN AMARAN SERIUS KEPADA MALAYSIA



TRAGEDI SUMATERA 2025: KEGONDOLAN HUTAN, BANJIR LUMPUR DAN AMARAN SERIUS KEPADA MALAYSIA
Tarikh : 7 Disember 2025

Oleh: Khairul Faizi Ahmad Kamil, Minda Sejahtera Resources

Pendahuluan: Bencana yang Tidak Sekadar Alam Semula Jadi

Banjir lumpur dan tanah runtuh sehingga kini telah meragut lebih 940 nyawa di Sumatera Barat, Aceh dan beberapa wilayah lain dan ianya bukan sekadar tragedi ekologi. Ia membongkar kegagalan tadbir urus, ketirisan penguatkuasaan dan kerakusan manusia terhadap hutan.

Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni akhirnya terpaksa akur dengan desakan rakyat apabila hari ini menjelaskan bahawa Kerajaan Indonesia akan membatalkan permit 20 syarikat yang didakwa menyebabkan kerosakan alam sekitar berskala besar, susulan banjir dan tanah runtuh dahsyat di Sumatera yang mana ia meliputi kawasan seluas kira-kira 750,000 hektar yang seluasnya seperti keluasan negeri Selangor.

Video tular yang memaparkan longgokan kayu balak hanyut bukan sahaja mengejutkan dunia tetapi menyingkap hakikat bahawa bencana tersebut adalah buatan manusia yang dibina bertahun-tahun tanpa disedari.

Negara kita Malaysia, sebagai negara yang berkongsi ciri geografi, iklim tropika, struktur tanah dan tekanan pembangunan yang hampir serupa, perlu memandang tragedi ini sebagai amaran paling lantang dalam dekad ini: kerosakan hutan adalah bom jangka bencana.

1. Hutan yang hilang adalah perisai bencana yang runtuh

Rakaman udara dari Sumatera jelas menunjukkan lereng bukit yang ‘botak’ kawasan yang dulunya rimbun kini bertukar menjadi padang tanah terdedah. Tanah mudah menggelongsor, sungai tersumbat dan banjir berubah menjadi aliran lumpur yang memusnahkan kampung dalam sekelip mata.

Malaysia pernah melihat amaran kecil ini: tragedi Gunung Inas, banjir lumpur Cameron Highlands, dan hakisan di Gua Musang. Hutan adalah “infrastruktur hijau” negara. Jika ia runtuh, seluruh ekologi bencana turut runtuh bersama.

2. Penguatkuasaan lemah membuka pintu kepada tragedi

Di Sumatera, pembalakan haram berlaku secara terbuka dan berleluasa. Konsesi sah pula dieksploitasi melampaui had. Pemeriksaan jarang dilakukan, sistem pemantauan usang dan ketirisan lapangan membolehkan sindiket mengaut keuntungan tanpa menghiraukan risiko masyarakat.

Ingatlah bahawa satu lori balak yang keluar tanpa rekod kelulusan hari ini mungkin menjadi punca satu kematian esok.

Penguatkuasaan tanpa teknologi adalah kelemahan struktur yang boleh membawa maut. Ianya perlu dipertingkatkan, tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan dengan cara lama.

3. Rasuah alam sekitar adalah pembunuh senyap

Indonesia membatalkan permit 20 syarikat seluas 750,000 hektar. Siasatan awal mengesyaki pembalakan melampau dan permit disalahguna. Persoalan timbul, apakah integriti dalam pemberian permit cukup kukuh untuk menahan tekanan korporat dan politik?

Langkah yang perlu diambil termasuk:
  • sistem tender terbuka untuk konsesi hutan,
  • pendedahan awam lokasi permit,
  • pemantauan pihak ketiga seperti akademia, NGO dan media,
  • audit integriti berkala khusus untuk projek guna tanah.
Rasuah alam sekitar bukan hanya merugikan kerajaan tetapi meragut nyawa.

4. Transparensi ialah vaksin mencegah bencana alam

Penduduk Sumatera hanya mengetahui skala kerosakan selepas video tular tersebar. Jika maklumat diumumkan lebih awal, tekanan masyarakat mungkin telah menghentikan kerosakan sebelum tragedi berlaku kerana kesannya akhirnya akan ditanggung oleh rakyat seperti mana yang kita lihat ketika ini.

Di Malaysia, akses kepada peta hutan, laporan EIA dan data konsesi masih terhad. Negara boleh mencontohi model Norway dan Kanada yang mewajibkan public disclosure bagi setiap perubahan guna tanah. Apabila rakyat boleh memerhati, kerajaan dan syarikat akan lebih berhati-hati.

5. Bencana besar bukan berlaku tiba-tiba, ia dibina secara perlahan

Setiap pokok yang ditebang tanpa kawalan menambah risiko masa depan. Setiap lereng yang dibuka melonggarkan struktur tanah. Setiap sungai yang diganggu mengurangkan keupayaan tampungan.

Bencana Sumatera bukan bermula semasa hujan turun, tetapi bertahun-tahun sebelumnya apabila hutan mula ditebang satu demi satu.

Malaysia mesti memperkukuh pendekatan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dalam dasar pembangunan. Semua projek, terutama di kawasan sensitif, perlu melalui penilaian risiko bencana yang ketat. Pembangunan tanpa DRR ibarat membina rumah tanpa asas kukuh.

Projek tanaman 100 juta pokok yang bermula tahun 2021 sehingga 2025, adakah ianya berjaya untuk mengatasi masalah tanah gondol dan masalah penebangan hutan?

6. Rakyat adalah barisan hadapan pencegahan bencana

Penularan video kayu balak hanyut memaksa kerajaan Indonesia bertindak. Ini membuktikan peranan besar masyarakat dalam mencegah kerosakan alam sekitar.
  • Malaysia boleh mencontohi model ini dengan:
  • menggalakkan pelaporan melalui aplikasi aduan rasmi,
  • perlindungan kepada pelapor maklumat,
  • membenarkan media dan NGO menjalankan pemantauan bebas.

Apabila masyarakat terlibat, bencana lebih mudah dicegah.

Kesimpulan: Tragedi Sumatera Sebagai Cermin Malaysia

Kerosakan hutan, pembalakan haram dan pembangunan berisiko tinggi bukan isu eksklusif Indonesia. Malaysia pernah dan masih berdepan cabaran sama.

Hutan ialah benteng.
Integriti ialah kunci.
Penguatkuasaan ialah pertahanan.
Transparensi ialah pengawasan.

Jika Malaysia belajar dari pengalaman ini, kita masih mempunyai masa untuk mencegah bencana. Jika cuai, Sumatera 2025 hanyalah “trailer” kepada apa yang mungkin berlaku di sini.

KFAK

 

 

Ulasan