PAS DAN JAWATAN KUASA PINDAAN PERLEMBAGAANNYA
1. Salah satu amanah yang ditaklifkan kepada saya dan terus terang saya kata memang agak mencabar ialah urusan pindaan Perlembagaan PAS yang bermula sejak awal tahun 2024. Jawatankuasa ni dipengerusikan oleh Datuk Dr Kamilia Ibrahim, bersama beberapa AJK lain.
2. Bukan kerja mudah sebenarnya. Kalau setakat nak betulkan tanda koma, titik atau tukar perkataan “atau” dengan “dan”, itu masih boleh tarik nafas lega. Tapi bila masuk bab teknikal dan perkara yang ada kesan besar kepada perlembagaan, memang kena duduk lama, fikir betul-betul dan beri tumpuan penuh.
3. Kadang-kadang, bila perbincangan sedang berjalan, ada perkara yang memang kena diperhalusi betul-betul, maka perkara tersebut di bawa ke mesyuarat seterusnya. Tambah pula pindaan kali ini bukan kecil-kecilan. Ia melibatkan cadangan penubuhan dua sayap baharu, iaitu Dewan Himpunan dan Dewan As-Sabiqun. Bukan itu sahaja, pindaan ini juga menyentuh soal kewujudan Ahli Bersekutu PAS, iaitu keahlian PAS yang dibuka kepada warga Malaysia bukan Islam. Jadi memang tak mudah tugas yang dipikul oleh jawatankuasa pindaan kali ini.
4. Ramai dalam jawatankuasa ini berlatarbelakangkan undang-undang, termasuklah Pengerusinya sendiri, Dato’ Dr Kamilia Ibrahim. Sebab itu, setiap pindaan memang diteliti dari sudut perundangan supaya semuanya kemas, jelas dan tidak bercanggah di kemudian hari. Saya hanyalah berlatar belakangkan bidang Kejuruteraan Elektrik dan bidang Sains Politik, bolehlah turut membantu.
5. Alhamdulillah, selepas lebih 20 kali mesyuarat dan bengkel diadakan, akhirnya pindaan ini berjaya diluluskan dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 pada tahun 2025 dan seterusnya mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada tahun lalu.
6. Tapi kisahnya belum selesai lagi. Amanah kepada jawatankuasa ini masih berjalan. Seterusnya, kami perlu sediakan Aturan dan Peraturan untuk semua Dewan; Dewan ‘Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan As-Sabiqun dan juga Dewan Himpunan Pendukung. Setakat ini, hanya Aturan dan Peraturan bagi Dewan As-Sabiqun dan Dewan Himpunan Pendukung yang belum dibentangkan dalam mesyuarat PAS Pusat untuk kelulusan.
7. Jawatankuasa ini masih kekal sampai sekarang, malah notis mesyuarat seterusnya pun dah dikeluarkan untuk bertemu minggu hadapan. Memang jelas, kerja meminda perlembagaan PAS bukan kerja yang ringkas. Banyak sudut kena fikir, banyak implikasi kena jangka, supaya tak timbul masalah pada masa depan.
8. Akhir sekali, sebelum saya menutup tulisan ini, ingin saya sebut bahawa pindaan perlembagaan ini dibuat dengan satu tujuan besar; untuk membawa PAS bergerak lebih tersusun, inklusif dan berjaya pada masa hadapan dengan didokong lebih sejuta ahli PAS. Bukan sekadar pindaan biasa-biasa.
9. Mungkin tidak ramai yang sedar, setakat ini tiada parti lain di Malaysia yang mempunyai sayap rasmi khusus untuk golongan As-Sabiqun atau veteran dan juga sayap khas untuk anggota bukan Islam. Perkara ini hanya wujud dalam PAS dan ia mencerminkan usaha PAS untuk terus matang, terbuka serta relevan dengan realiti masyarakat.
10. Akhirnya, segala usaha ini hanya akan membuahkan hasil jika kita terus kekal bersatu, saling memahami dan bergerak seiring dalam perjuangan.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
30 Januari 2026

Ulasan
Catat Ulasan