Tiada sebab Pas perlu tolak Muhyiddin di Pagoh - Utusan



Tiada sebab Pas perlu tolak Muhyiddin di Pagoh
Dr. Mahfodz Mohamed (kiri) dan Sahruddin Jamal
Oleh KHAIRUL MOHD ALI
5 Januari 2026, 12:14 pm

JOHOR BAHRU: Tiada sebab Pas perlu mengundi Pakatan Harapan (PH) bagi menewaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, hubungan ahli dan pemimpin Pas serta Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) Johor dalam keadaan baik meskipun berlaku pergolakkan politik di Perlis.

Katanya, kerjasama tersebut juga melibatkan parti komponen lain termasuklah Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Tiada sebab untuk ahli Pas menolak Bersatu dalam pilihan raya akan datang. Kita melihat hubungan Bersatu dan Pas di Johor ini sangat akrab, mesra dan saling bantu membantu. Kami bekerjasama dengan baik bawah payung PN.

“Tentang keadaan di (Parlimen) Pagoh, masyarakat pelbagai latar belakang dan akar umbi kenal Tan Sri Muhyiddin Yassin serta jasa dan perkhidmatan yang telah diberi sebagai wakil rakyat parlimen itu sejak 1978 lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr. Zuhan Zain meminta penyokong Pas untuk mengundi calon PH di Parlimen Pagoh sebagai isyarat penolakan masyarakat terhadap Presiden Bersatu tersebut yang kini terpalit dengan politik pengkhianatan.

Sementara itu, Pas Johor memberikan komitmen terhadap kerjasama gabungan politik PN dan menyatakan tidak mempunyai sebarang masalah dengan Bersatu di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, kerjasama itu termasuklah dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Pas Johor tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Bersatu Johor. Pas Johor akan terus bersama PN dalam berdepan PRU16 akan datang.

“Ini termasuklah melibatkan Parlimen Pagoh yang disandang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. – UTUSAN

Ulasan