JOHOR DI AMBANG KRISIS AIR: TINDAKAN BERANI WAJIB DIAMBIL SEKARANG
Johor hari ini berada di ambang kebimbangan terhadap bekalan airnya. Dilaporkan bahawa empangan utama negeri iaitu Upper Layang (46.89%), Pulai 1 (47.63%), Gunung Pulai 2 (56%) dan Lower Layang (60.33%) kini berada di bawah paras selesa, malah dua daripadanya sudah jatuh di bawah 50%. Ini bukan angka statistik kosong tetapi ini adalah amaran nyata bahawa sistem bekalan air negeri sedang berada di zon risiko.
Secara keseluruhan, 16 empangan masih mencatat purata 70%, namun purata itu menyembunyikan tekanan sebenar di lembangan tertentu. Rakyat Johor tidak menerima air secara purata; mereka menerima air berdasarkan empangan dan loji rawatan tertentu. Apabila Bekalan Air Berjadual (BAB) sudah dilaksanakan di Kluang dan Pontian, jelas bahawa tekanan air bukan lagi isu teori atau amaran, ia kini sedang diurus secara kecemasan.
Lebih membimbangkan, negeri ini telah lebih sebulan tanpa hujan, menimbulkan risiko penurunan paras empangan yang lebih cepat. Jika kemarau berterusan, gangguan bekalan boleh berlaku menjelang suku kedua tahun ini. Cadangan pembenihan awan hanya intervensi sementara, bergantung kepada nasib cuaca, bukan penyelesaian strategik.
Sejak 2016 lagi, saya menekankan melalui Resolusi Kongres Rakyat Johor bahawa krisis air di negeri ini adalah masalah sistemik dan berulang. Tadahan air perlu dilindungi, penguatkuasaan undang-undang air mesti diperkukuh dan pelan jangka panjang disediakan untuk memenuhi permintaan domestik dan industri yang semakin meningkat.
Namun, tekanan semasa menunjukkan bahawa kerajaan negeri masih bertindak secara reaktif, bergantung kepada pengumuman BAB atau mesyuarat pelan kemarau, tanpa strategi jangka panjang yang jelas.
Pendekatan ini tidak lagi memadai.
Kebimbangan terhadap masalah air di Johor juga telah disuarakan oleh pertubuhan Sahabat Alam Malaysia (SAM) kerana Johor merupakan pasaran pusat data terbesar di Malaysia. SAM menyatakan bahawa pertumbuhan pesat dan kebergantungan yang kian meningkat masyarakat am terhadap teknologi komunikasi melalui jajaran internet dan perkhidmatan yang disediakannya seperti aplikasi media sosial, pengkomputeran awan, e-dagang serta ledakan industri kecerdasan buatan (AI) telah mendorong permintaan untuk pusat data.
Kebimbangan ini akhirnya terjawab apabila Kerajaan Negeri Johor baru-baru ini menjelaskan bahawa kerajaan akan mengkaji semula potensi air bawah tanah sebagai sumber alternatif untuk syarikat pusat data yang berkembang di negeri Johor.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor menggesa supaya Kerajaan negeri Johor memerlukan tindakan berani dan strategik segera, termasuklah:
1. Diversifikasi sumber air iaitu meningkatkan teknologi rawatan semula air, tadahan Baharu dan pemeliharaan air hujan.
2. Perlindungan tadahan dan sungai yang melibatkan kawalan pembangunan tegas, penguatkuasaan undang-undang terhadap pencemaran.
3. Pengurusan penggunaan industri di mana sektor berintensifkan air mesti dikawal, tidak boleh membebankan rakyat biasa.
4. Pelan kecemasan telus dan komprehensif perlu dilaksanakan iaitu penyediaan air alternatif, pemakluman jelas kepada rakyat dan jadual operasi LRA yang sistematik.
Air adalah isu keselamatan negeri. Ia menyentuh kesejahteraan rakyat, kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi. Kepimpinan sebenar bukan sekadar mengurus krisis apabila berlaku tetapi merancang dan mencegahnya sebelum menjadi darurat.
Johor masih ada peluang untuk bertindak. Tetapi masa semakin mengecil. Jika kerajaan negeri terus berlengah, rakyat akan menghadapi gangguan bekalan air yang lebih meluas, tekanan sosial meningkat dan tanggungjawab politik akan menjadi isu yang tidak boleh dielakkan.
Tindakan berani mesti diambil sekarang, bukan apabila empangan kritikal kering dan rakyat beratur menadah air.
Sekian.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
Tarikh : 9 Februari 2026

Ulasan
Catat Ulasan