Kajian pinda Akta Ibu Kota hapus kuasa lantikan Agong?



Kajian pinda Akta Ibu Kota hapus kuasa lantikan Agong?

Pelantikan Datuk Bandar, Lembaga Penasihat DBKL adalah kuasa Agong
February 5, 2026

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Beliau berkata, Seksyen 6(1) akta berkenaan memperuntukkan bahawa Datuk Bandar hendaklah menguruskan Bandar Raya Kuala Lumpur dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, berbeza dengan negeri lain yang mempunyai Pihak Berkuasa Negeri dan Exco, Kuala Lumpur hanya mempunyai Datuk Bandar sebagai ketua pentadbiran DBKL serta sebuah Lembaga Penasihat.

“Seksyen 7 (Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 pula) menyatakan bahawa Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah terdiri daripada orang yang dilantik sebagai anggotanya oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam warta,” ujarnya dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, jelas daripada peruntukan undang-undang sedia ada bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Lembaga Penasihat DBKL dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kajian itu dibuat bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 untuk menghapuskan kuasa pelantikan tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong kepada kaedah lain termasuk melalui pilihan raya.

Beliau turut menegaskan bahawa dari sudut undang-undang pilihan raya kerajaan tempatan, Akta Kerajaan Tempatan 1976 secara jelas memperuntukkan melalui Seksyen 15(1) bahawa semua peruntukan berhubung pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuat kuasa.

“Maknanya tidak ada lagi pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Jadi cadangan memulihkan pemilihan Datuk Bandar melalui pilihan raya sudah tentu bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Takiyuddin berkata, Kerajaan Persekutuan wajar menjelaskan mengapa beberapa dasar yang dilaksanakan, termasuk berkaitan persempadanan dan cadangan membabitkan DBKL, bercanggah dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bahawa kementerian telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurutnya, Perikatan Nasional turut membangkitkan persoalan mengenai rasional dan justifikasi terhadap sistem pentadbiran yang telah berjalan lebih 60 tahun sejak Parlimen meluluskan Akta Ibu Kota Persekutuan pada September 1960.

Beliau berkata, dalam pembentangan Rang Undang-Undang Ibu Kota Persekutuan pada 12 September 1960, kerajaan ketika itu menyatakan tujuan utama akta berkenaan adalah demi kepentingan kebangsaan yang memerlukan Kerajaan Persekutuan mengambil alih dan menguruskan Ibu Kota Negara.

Takiyuddin berkata, sebelum itu pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur dibuat melalui pilihan raya kerajaan tempatan, namun perkara berkenaan telah ditentang oleh parti pembangkang pada ketika itu berdasarkan rekod Hansard.

“Perkara ini telah ditentang dengan hebat berdasarkan handsard yang ada oleh parti pembangkang pada masa itu iaitu Socialist Front. Bukan DAP, tak ada lagi. Socialist Front.

“Tetapi lama-kelamaan perkara ini telah diperjuangkan oleh parti yang ada sekarang ni. Dulu masa mereka jadi pembangkang, mereka ni menampilkan isu ini untuk diperjuangkan. Dan semasa DAP menjadi kerajaan, ini bukti ya.

“Pada 13 Oktober tahun 2024 dalam Konvensyen Parti DAP Wilayah Persekutuan, mereka telah meluluskan satu resolusi, DAP cadang Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dipinda. Dan sekarang ini Menteri yang menjadi Menteri Wilayah adalah daripada parti ini.

“Persoalan kita, apakah kajian yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sekarang ini adalah atas desakan atau perjuangan parti terutamanya yang berada dalam kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2026

Ulasan