PILIHAN RAYA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR: DEMOKRASI ATAU PEREBUTAN KUASA?

PILIHAN RAYA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR: DEMOKRASI ATAU PEREBUTAN KUASA?

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bahawa kerajaan sedang mengkaji pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, segera mencetuskan bantahan daripada beberapa pemimpin Umno dan PAS. Mereka menegaskan, cadangan ini berisiko menjejaskan kedudukan orang Melayu di ibu negara. Namun persoalan yang lebih besar adalah: mengapa ada pihak begitu bersungguh-sungguh mahu pilihan raya ini dilaksanakan?

Kuala Lumpur bukan sekadar bandar raya biasa. Ia pusat ekonomi, pusat pentadbiran dan simbol kuasa negara. Datuk Bandar bukan sekadar pengurus bandar; jawatan ini adalah pusat kuasa strategik yang boleh menentukan hala tuju pembangunan, peluang ekonomi dan kehidupan rakyat di ibu kota.

Hujah demokrasi yang selalu diketengahkan; hak rakyat memilih, adalah cantik di atas kertas tetapi realitinya tidak semudah itu. Kuala Lumpur mempunyai demografi tersendiri, yang condong ke arah sokongan politik tertentu. Pilihan raya Datuk Bandar bukan eksperimen demokrasi semata-mata, ia adalah strategi politik tersusun untuk menguasai pusat kuasa bandar secara kekal.

Ketika ini, Datuk Bandar dilantik oleh kerajaan pusat, tertakluk kepada dasar nasional dan tanggungjawab Perlembagaan, termasuk menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera. Pilihan raya akan mewujudkan pemimpin bandar dengan mandat politik sendiri, sukar dikawal dan berpotensi menjadi pusat kuasa alternatif yang bercanggah dengan kerajaan pusat. Dalam keadaan institusi politik tempatan yang belum cukup matang, ini bukan sahaja mengundang konflik, malah menukar landskap politik ibu negara secara drastik.

Bantahan terhadap cadangan ini bukan sekadar retorik perkauman. Ia soal perlindungan kepentingan rakyat dan keseimbangan kuasa. Perancangan bandar melibatkan soal perumahan, peluang ekonomi dan akses kepada kemudahan asas. Jika jawatan Datuk Bandar dipolitikkan sepenuhnya melalui pilihan raya, dasar afirmatif untuk Melayu dan Bumiputera boleh terhakis perlahan-lahan atas nama kosmopolitanisme dan efisiensi ekonomi, memberi kelebihan kepada kelompok elit bandar tetapi merugikan majoriti rakyat.

Pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan soal prosedur demokrasi semata-mata. Ia soal siapa yang menguasai bandar, atas dasar apa dan untuk kepentingan siapa. Selagi persoalan ini tidak dijawab dengan jelas, cadangan ini akan terus menimbulkan kecurigaan, penolakan dan mungkin mengubah wajah ibu negara dalam cara yang tidak semua rakyat mampu terima.

Soalnya bukan, “patutkah rakyat memilih Datuk Bandar?

Soalan sebenar ialah: apakah kesan jangka panjangnya terhadap keseimbangan kuasa, struktur masyarakat dan masa depan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia?

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
4 Februari 2026

Ulasan