
PMX cetus kecoh, elak jawab soalan di Dewan Rakyat
Isu persempadanan Malaysia-Indonesia
February 4, 2026
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) cuba mengalihkan tumpuan daripada isu pokok mengenai jajaran sempadan Malaysia-Indonesia dengan melemparkan tuduhan bahawa Ahli Parlimen pembangkang bertindak ‘biadab’.
Kekecohan bermula ketika Sesi Penerangan Khas mengenai isu tersebut apabila Anwar secara terbuka menuduh pihak pembangkang, khususnya Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), menggunakan kata-kata kesat dan maki hamun.
Tindakan Perdana Menteri itu mengundang bantahan keras blok Perikatan Nasional (PN) yang menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan satu percubaan untuk menutup kegagalan kerajaan menjawab persoalan mengenai dakwaan kehilangan wilayah negara.
Awang bingkas bangun mempertahankan dirinya, menegaskan bahawa beliau hanya menjalankan amanah rakyat dengan meminta penjelasan berhubung laporan pihak berkuasa Indonesia yang mendakwa 5,207 hektar tanah Malaysia telah masuk ke wilayah negara jiran itu.
“Bila dibangkitkan, kami tanyalah, kami tak pernah maki pun. Saya sebut dalam Dewan hari itu, kami tidak pernah maki Yang Amat Berhormat Tambun. Sebaliknya, ada yang kata kami menggunakan Islam, jahat… ini apa (sikap) Perdana Menteri?” soalnya.
Suasana semakin tegang apabila Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (12), mendesak Speaker Dewan Rakyat mengambil tindakan kerana tuduhan Perdana Menteri itu mengelirukan Dewan dan tidak berparlimen.
“Isunya tuduhan Perdana Menteri mengatakan bahawa kita memaki hamun dan bertindak biadab termasuk Pendang, saya rasa tidak berparlimen,” tegas Rosol.
Turut bangun membantah adalah Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) serta Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang mendesak Tan Sri Johari Abdul membuat ketetapan tegas terhadap bahasa yang digunakan oleh Ketua Eksekutif negara itu.
Keadaan diburukkan lagi dengan campur tangan beberapa Ahli Parlimen kerajaan termasuk Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang cuba mengganggu celahan pembangkang, sehingga memaksa Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) meninggikan suara meminta mereka duduk.
Pihak pembangkang konsisten menegaskan bahawa isu kedaulatan negara, terutamanya melibatkan persempadanan maritim dan darat, tidak wajar dijawab dengan emosi atau serangan peribadi terhadap Ahli Parlimen yang bertanya.
Blok pembangkang menuntut kerajaan bersikap telus dan tidak melabelkan sebarang pertanyaan mengenai keselamatan negara sebagai satu bentuk ‘pengkhianatan’ atau ‘fitnah’, sebaliknya perlu dijawab dengan fakta yang meyakinkan. – HARAKAHDAILY 4/2/2026
Ulasan
Catat Ulasan