
Politik tidak kotor, ia sunnah para Anbiya – Presiden PAS
Penting Islam memerintah agar syariat dapat ditegakkan
February 9, 2026
BANGI: Umat Islam perlu membuang persepsi salah yang menganggap politik itu kotor dan terasing daripada agama, kerana hakikatnya politik dan pemerintahan adalah sunnah perjuangan para Nabi dan Rasul (Anbiya).
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Allah SWT mengutuskan para Nabi bukan sekadar untuk berdakwah mengajak manusia beribadat, tetapi juga berjuang menegakkan Islam sehingga berkuasa memerintah negara.
Menurut beliau, sejarah membuktikan bahawa para Nabi terdahulu berhadapan dengan pemerintah dan raja-raja di zaman mereka, seperti Nabi Musa AS menentang Firaun dan Nabi Ibrahim AS berhadapan dengan Namrud, demi mendaulatkan agama Allah.
“Bani Israel zaman dahulu, pemimpin siasah atau pemimpin politik mereka ialah Nabi-nabi AS. Bila wafat seorang Nabi, diganti dengan Nabi yang lain. Ini disebut dalam hadis bahawa Nabi-nabi berpolitik, bukan hanya berdakwah semata-mata, tetapi memimpin negara.
“Malangnya, kefahaman ini sudah hilang daripada kalangan orang Islam sehingga mereka anggap politik ini kotor, politik bukan ajaran Islam dan politik itu menipu. Padahal ini kerja para Nabi AS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam Perdana PAS Johor, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut sirah Rasulullah SAW, jelas Tuan Guru Abdul Hadi, Baginda pernah ditawarkan menjadi raja dan diberikan kekayaan oleh pembesar Makkah, namun ditolak kerana tawaran tersebut tidak disertakan dengan kuasa untuk melaksanakan Islam sepenuhnya.

Ujarnya, penghijrahan Baginda ke Madinah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi bertujuan untuk membina sebuah negara yang berdaulat (Daulah) dan menyatukan umat.
“Nabi mahu memimpin dengan Islam supaya Islam itu berkuasa. Akhirnya orang Madinah terima dan Nabi berhijrah untuk mendaulatkan Islam.
“Apa itu daulat? Daulat itu memerintah. Nabi menyatukan umat Islam (Muhajirin dan Ansar) serta mengajak orang bukan Islam bernaung di bawah pemerintahan Islam yang adil,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu turut mengingatkan hadirin tentang keutamaan menjadi pemimpin yang menegakkan syariat.
Merujuk kepada hadis Rasulullah SAW, beliau menyatakan bahawa daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar kelak, golongan pertama bukanlah ahli ibadah semata-mata, sebaliknya pemimpin adil.
“Yang pertama ialah pemimpin (Al-Imamul Adil) yang memerintah negara dengan adil. Nombor satu pemimpin yang berjuang memerintah negara.
“Manakala orang yang berzikir sehingga menangis itu berada di kedudukan ketujuh. Ini menunjukkan besarnya peranan politik dan pemerintahan dalam Islam,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menyeru seluruh ahli PAS dan umat Islam untuk terus istiqamah dalam perjuangan politik Islam, kerana ia adalah satu jihad yang menjanjikan kemenangan di dunia dan ganjaran besar di akhirat. – HARAKAHDAILY 8/2/2026
Ulasan
Catat Ulasan