TINGKATKAN KEWASPADAAN MENGHADAPI BENCANA KEBAKARAN HUTAN

TINGKATKAN KEWASPADAAN MENGHADAPI KEBAKARAN HUTAN

10 Februari 2026

Khidmat Malaysia Negeri Johor memandang serius peningkatan kes kebakaran hutan, belukar dan tanah gambut yang berlaku di beberapa lokasi di negeri ini sejak akhir Januari hingga awal Februari 2026.

Antara insiden yang direkodkan ialah:

1.Taman Bayu Damai, Pengerang (23 Januari 2026)
Kebakaran tanah gambut seluas hampir 99.5 hektar yang memerlukan operasi pemadaman berskala besar termasuk sokongan udara serta pemindahan sementara penduduk terjejas.

2.Taman Bukit Mewah, Johor Bahru (27 Januari 2026)
Kebakaran belukar yang merebak sehingga menyebabkan 18 buah kenderaan rosak. Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, insiden ini membuktikan risiko kebakaran semakin hampir dengan kawasan penempatan.

3.Batu 13/14, Air Itam, Muar (Awal Februari 2026)
Kebakaran tanah gambut dan kawasan milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) melibatkan keluasan melebihi 100 hektar, dengan operasi pemadaman yang masih berlarutan berikutan keadaan tanah gambut yang sukar dikawal.

4.Bio Desaru, Jalan Tanjung Balau–Sedili, Kota Tinggi
Kebakaran kawasan belukar dan gambut yang turut memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi.

5.Hutan Paya Gelam, Mukim Jorak, Pagoh (8 Februari 2026)
Kebakaran terbaharu melibatkan kira-kira 54 hektar kawasan hutan, berlaku ketika operasi di lokasi lain masih berjalan.

6.Hotspot di Sungai Linau, Simpang Renggam, Kluang
Kawasan ini turut dikenal pasti sebagai berisiko tinggi akibat cuaca panas dan keadaan tanah yang kering.

Rentetan insiden ini, Khidmat Malaysia Negeri Johor menyeru agar semua pihak meningkatkan kewaspadaan, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda.

Kami menggesa:

  • Orang ramai menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
  • Pihak berkuasa memperhebat pemantauan di kawasan berisiko tinggi khususnya tanah gambut.
  • Tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau sengaja menyebabkan kebakaran.
  • Kerjasama masyarakat untuk segera melaporkan sebarang tanda awal kebakaran kepada pihak bomba.

Kebakaran hutan bukan sekadar isu alam sekitar, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan awam, keselamatan penduduk dan kestabilan ekosistem negeri Johor.

Khidmat Malaysia Negeri Johor komited untuk terus memantau situasi dan bersedia membantu dari sudut kesukarelawanan serta sokongan kemanusiaan sekiranya diperlukan.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, KMN
Pengerusi
Khidmat Malaysia Negeri Johor

Ulasan