HUKUMAN TERHADAP PEMANDU MABUK MASIH BELUM CUKUP SETIMPAL
1. Kadang-kadang kita fikir, kemalangan jalan raya itu sekadar angka. Ia hanya sekadar statistik. Adakala laporan berita kemalangan lalu begitu sahaja.
2. Tapi bila melihat kisah Amirul Hafiz Omar… hati kita benar-benar terasa berat. Bukan sekadar sedih tetapi marah, kecewa dan terkilan, semuanya ada.
3. Bagaimana mungkin satu nyawa yang tidak berdosa diragut hanya kerana seseorang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk dan khayal? Itu bukan kemalangan semata-mata tapi itu adalah kecuaian yang memakan nyawa orang lain.
4. Rakaman dashcam yang tular itu walaupun tidak perlu dilihat secara terperinci, cukup untuk membuat kita terdiam lama, kaku dan kelu. Kita boleh bayangkan betapa dahsyatnya saat itu. Betapa tidak berdayanya mangsa. Betapa sekelip mata, segalanya berakhir.
5. Paling menyayat hati, ada keluarga yang menunggu kepulangan tetapi yang pulang hanyalah khabar duka.
6. Kadang kita tertanya, kenapa perkara seperti ini masih berulang?
7. Berapa banyak lagi nyawa perlu terkorban sebelum kita benar-benar tegas? Berapa banyak lagi keluarga perlu menangis sebelum ada rasa takut dalam diri mereka yang memandu tanpa waras?
8. Ini bukan soal undang-undang semata-mata. Ini soal nilai kemanusiaan.
9. Nyawa manusia bukan harga yang boleh diganti. Setiap kali tragedi seperti ini berlaku, seolah-olah kita gagal sebagai masyarakat, sebagai sistem, sebagai negara.
10. Semoga Allah merahmati ke atas rohnya Amirul Hafiz Omar, mengangkat darjatnya dan memberi kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan.
11. Semoga tragedi ini bukan sekadar kisah yang kita baca hari ini tetapi menjadi titik kesedaran yang benar-benar mengubah sikap kita semua.
KFAK

Ulasan
Catat Ulasan