SUBSIDI BERSASAR: ADIL ATAU SEKADAR MEMINDAHKAN BEBAN?



SUBSIDI BERSASAR: ADIL ATAU SEKADAR MEMINDAHKAN BEBAN?

Seperti yang kita semua maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebelum menjadi Perdana Menteri sering menggunakan hujah bahawa Malaysia sebagai negara pengeluar minyak tidak sepatutnya membebankan rakyat dengan harga bahan api yang tinggi.

Itulah kempen politik yang paling bermakna kepada strategi DSAI sebelum ini. Hujah tersebut digunakan untuk enarik perhatian rakyat terhadap kos sara hidup, mengkritik kerajaan terdahulu yang tak pandai memerintah dan sentiasa meyakinkan bahawa ada “ruang” untuk harga lebih rendah. Istilah yang biasa digunakan; “Menang Hari Ini, Esok Minyak Turun” tetap akan kekal dalam lipatan sejarah politik Malaysia.

Tetapi realitinya, apabila sudah mentadbir negara dan sudah menjawat jawatan Perdana Menteri, situasinya jadi lebih kompleks, semuanya nampak semakin sukar. DSAI seolah-seolah baru sedar bahawa banyak lagi faktor yang mempengaruhi harga bahan api yang digunakan secara harian oleh rakyat Malaysia.

Harga minyak global masih penentu utama dan Malaysia tidak boleh lari daripada harga dunia. Jika harga global naik maka kos kerajaan turut naik, bukan lagi faktor pengeluar minyak menjadi penentu.

Beban subsidi negara sangat besar, faktor ini tidak menjadi perkiraan DSAI sebelum ini. Jika ia diambilkira, maka tidaklah menarik kempen politiknya. Subsidi petrol & diesel boleh mencecah puluhan bilion ringgit setahun. Kerajaan terdahulu terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk merendahkan harga petrol/diesel untuk rakyat Malaysia. Bila harga dikekalkan rendah maka perbelanjaan negara meningkat dan risiko defisit fiskal bertambah.

Maka DSAI perkenalkan subsidi bersasar. Sistem lama menyebabkan golongan kaya dan syarikat besar turut menikmati subsidi, ia dilihat tidak adil untuk golongan rakyat biasa. Maka kerajaan kini cenderung kepada subsidi bersasar yang mana sasarannya kepada rakyat yang benar-benar perlu. Itu secara teorinya, dari subsidi pukal ke subsidi bersasar: rasional nampakya meyakinkan. Secara prinsip, subsidi bersasar mempunyai asas yang kukuh. Dari sudut teori ekonomi, pendekatan ini hampir sukar untuk dipertikaikan.

Namun realitinya tidak sesederhana teori. Masalah utama subsidi bersasar bukan pada konsep tetapi pada realiti pelaksanaan. Pertama, persoalan “siapa layak?” bukanlah satu garis yang jelas. Dalam struktur masyarakat Malaysia hari ini, jurang antara B40 dan M40 semakin kabur. Ramai dalam kalangan M40 hidup dalam tekanan kos sara hidup yang tinggi, khususnya di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Baharu. Mereka tidak miskin di atas kertas tetapi hakikatnya berdepan kesempitan yang nyata.

Apabila subsidi ditarik daripada kumpulan ini, mereka menjadi golongan yang “tersepit di tengah-tengah” tidak cukup miskin untuk dibantu tetapi tidak cukup kaya untuk menanggung kenaikan kos.

Kesan Rantaian: Apabila Harga Naik, Semua Terasa

Kenaikan harga bahan api, walaupun disasarkan, tidak pernah berhenti pada pam minyak. Ia merebak ke seluruh sistem ekonomi; kos pengangkutan meningkat, harga makanan naik dan perkhidmatan menjadi lebih mahal. Akhirnya, kesan ini tidak lagi terhad kepada golongan tertentu. Ia menjadi beban kolektif yang ditanggung oleh seluruh rakyat.

Di sinilah timbul paradoks dasar; subsidi dikurangkan untuk menjimatkan negara tetapi rakyat tetap membayar melalui kenaikan kos kehidupan.

Penutup

Dalam politik, subsidi adalah soal angka. Dalam teori ekonomi, subsidi bersasar adalah efisien. Tetapi dalam realiti kehidupan rakyat, subsidi adalah soal bertahan hidup.

Jika dasar yang “tepat di atas kertas” gagal dirasai di bawah, maka ia bukan sekadar isu ekonomi tetapi isu kepercayaan antara kerajaan dan rakyat.

Jika rakyat masih merasai tekanan kos hidup, masih tidak melihat kelegaan yang jelas dan terus menyesuaikan diri dengan kenaikan harga. maka persoalan akan terus hidup dalam wacana awam: Adakah ini keadilan ekonomi atau sekadar pengurusan beban yang lebih tersusun?

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Kluang, Johor Darul Takzim
24 Mac 2026

Ulasan