Usul kerajaan gagal dapat majoriti di Dewan Rakyat



Usul kerajaan gagal dapat majoriti di Dewan Rakyat
March 2, 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kehilangan majoriti dalam undi belah bahagi kepada usul Rang Undang-undang (RUU) yang dijalankan di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri dibentang dan dibahaskan sebelum undi belah bahagi itu hanya menerima 146 sokongan Ahli Parlimen, manakala 44 berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada agregat 10 tahun, pada sidang media, Khamis minggu lepas.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian serta pindaan sewajarnya.

Beliau menegaskan pindaan Perlembagaan yang menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-raja (MRR) sebelum boleh diluluskan.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan Fasal 159(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa sebarang undang-undang diluluskan di bawah Perkara 38(4) tidak boleh dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

“Perkara 38(4) menyatakan tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

“Perkara yang saya sebutkan tadi adalah perkara yang menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong, prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Ia memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja.

“Tanpa persetujuan itu, kami menganggap pindaan ini tidak boleh diluluskan dan jika diluluskan sekali pun, ia tidak sah dari segi undang-undang,” ujarnya dalam sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pihak pembangkang menzahirkan kebimbangan bahawa rang undang-undang itu boleh dianggap tidak berperlembagaan kerana menghadkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menyatakan, Perkara 40 dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri mengikut budi bicara baginda.

“Perkara 43(2)(a) menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Tidak ada syarat 10 tahun, 20 tahun atau lima tahun. Dengan membuat pindaan ini, pada pandangan kami ia bercanggah dengan Perkara 40 dan Perkara 43(2)(a) iaitu hak kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri sesiapa sahaja asalkan seorang Ahli Dewan Rakyat,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sebarang pindaan Perlembagaan perlu disokong tidak kurang dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada bacaan kali kedua dan ketiga seperti diperuntukkan dalam Fasal 159(3).

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli dan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen perlu menyokong pindaan berkenaan.

Sebelum ini juga 10 Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan sendiri menyatakan tidak akan menyokong pindaan itu sekiranya beberapa syarat, termasuk isu semak dan imbang serta akauntabiliti tidak dipenuhi.

“Jika mereka ada 148 pun sekarang ini, kalau tolak 10, tidak cukup untuk dua pertiga. Bukan saja tidak mendapat sokongan daripada kumpulan pembangkang, mungkin sokongan daripada bukan kumpulan pembangkang pun kerajaan gagal mendapatkannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2026

Ulasan