EMPAT DEKAD PAS SABAH: DARIPADA GERAKAN KECIL KE MEDAN KEMENANGAN




EMPAT DEKAD PAS SABAH: DARIPADA GERAKAN KECIL KE MEDAN KEMENANGAN
19 Mei 1986 – 19 Mei 2026

Tanggal 19 Mei 2026 menandakan genap 40 tahun penubuhan rasmi Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah. Empat dekad bukanlah satu tempoh yang singkat. Dalam perjalanan yang panjang itu, PAS Sabah telah melalui pelbagai episod suka dan duka; daripada zaman serba kekurangan, bergerak dalam keadaan penuh keterbatasan, sehinggalah berjaya mencipta kemenangan pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.

Sesungguhnya, sejarah PAS Sabah bukan sekadar sejarah sebuah parti politik, tetapi sejarah tentang ketekunan dakwah, kesabaran perjuangan dan pembinaan organisasi secara berperingkat dalam sebuah negeri yang mempunyai realiti politik, budaya dan sosial yang sangat unik.

Ramai yang melihat kemenangan PAS meraikan satu kerusi DUN di Sabah pada hari ini sebagai sesuatu yang baharu. Namun bagi mereka yang memahami sejarah perjuangan PAS Sabah, kejayaan tersebut sebenarnya adalah hasil daripada proses panjang yang dibina selama puluhan tahun melalui pengorbanan para pimpinan, ahli dan pendukung yang tidak pernah berhenti percaya kepada perjuangan Islam.

Langkah Awal PAS di Borneo

Hakikatnya, idea untuk membawa PAS ke Sabah telah bermula jauh lebih awal sebelum penubuhan rasmi PAS Sabah pada tahun 1986. Seawal tahun 1961, ketika cadangan pembentukan Malaysia mula diperkatakan, PAS telah melihat bahawa Sabah merupakan wilayah penting dalam agenda dakwah dan pengukuhan umat Islam di negara ini.

Cadangan untuk mengembangkan PAS ke Borneo pernah dibangkitkan dalam muktamar PAS sekitar awal 1960-an. Namun ketika itu, pelbagai kekangan wujud termasuk faktor logistik, perbezaan pentadbiran antara Tanah Melayu dan Borneo Utara, serta keadaan politik Sabah yang masih belum stabil.

Walaupun begitu, usaha awal tetap diteruskan. Pada tahun 1964, seorang tokoh perniagaan berketurunan Arab di Sandakan, Habib Omar al-Saqqaf memainkan peranan besar dalam menubuhkan Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS Sabah). Penubuhan ini menjadi asas penting kepada perkembangan awal PAS di negeri tersebut.

Namun perkembangan awal itu tidak bertahan lama. Perubahan landskap politik Sabah selepas kebangkitan USNO dan penubuhan USIA menyebabkan ruang politik Islam di Sabah lebih banyak dikuasai oleh kerajaan negeri ketika itu. PAS Sabah akhirnya menjadi lemah dan hampir tidak aktif sepanjang dekad 1970-an.

Kebangkitan Semula Tahun 1986

PAS Sabah kembali bangkit pada pertengahan 1980-an dalam suasana politik Sabah yang sedang bergolak. Krisis politik selepas kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1985 membuka ruang baharu kepada gerakan Islam untuk kembali berkembang.

Pada 19 Mei 1986, Yang Dipertua PAS Pusat ketika itu, Tuan Guru Yusuf Rawa secara rasmi mengumumkan penubuhan Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah di Kota Kinabalu. Saudara Hamzah Abdullah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah yang pertama.

Penubuhan semula PAS Sabah berlaku ketika PAS di peringkat nasional sedang mengalami transformasi besar melalui pendekatan “Kepimpinan Ulama.” Gerakan PAS tidak lagi dilihat sekadar sebuah parti politik, tetapi sebuah harakah Islamiah yang menggabungkan dakwah, tarbiah dan siasah dalam satu kerangka perjuangan.

Bermula dari situlah, PAS Sabah mula membina organisasinya secara perlahan tetapi konsisten.

Membina Dalam Serba Kekurangan

Perjalanan PAS Sabah sepanjang empat dekad bukanlah mudah. Dalam banyak keadaan, PAS bergerak tanpa kekuatan kewangan besar, tanpa sokongan media arus perdana dan tanpa jaringan kuasa politik seperti parti-parti lain.

Namun PAS Sabah mempunyai satu kekuatan yang sangat penting iaitu tarbiah dan kesabaran perjuangan.

PAS membina kekuatan bukan melalui populariti segera tetapi melalui hubungan masyarakat, usrah, kuliah agama, kebajikan dan pendidikan politik Islam. Ada kawasan yang memerlukan masa bertahun-tahun hanya untuk membina satu cawangan kecil. Ada pimpinan yang bergerak dari kampung ke kampung dengan penuh kesederhanaan demi memastikan dakwah terus hidup.

Bagi PAS Sabah, kemenangan tidak pernah diukur semata-mata melalui jumlah kerusi pilihan raya. Sebaliknya, kemenangan sebenar ialah apabila masyarakat mula memahami Islam sebagai penyelesaian kehidupan dan melihat PAS sebagai gerakan yang dekat dengan rakyat.

Politik Sebagai Medan Dakwah

Sejak menyertai pilihan raya pada tahun 1986, PAS Sabah terus melalui pelbagai kekalahan. Ada ketika calon-calon PAS kehilangan wang deposit. Ada kawasan yang menyaksikan PAS hanya memperoleh jumlah undi yang kecil.

Namun PAS tidak pernah meninggalkan medan demokrasi.

PAS melihat pilihan raya sebagai sebahagian daripada muwajahah silmiyyah iaitu pendekatan aman dalam membawa perubahan masyarakat. Penyertaan dalam pilihan raya bukan sekadar usaha merebut kuasa, tetapi medan memperkenalkan Islam sebagai sistem hidup yang syumul.

Dalam konteks Sabah yang sangat rencam dari sudut etnik, budaya dan agama, PAS memilih pendekatan sederhana dan berasaskan khidmat masyarakat.

Pendekatan ini mungkin perlahan, tetapi ia berjaya membina kepercayaan secara berperingkat.

Era Baharu PAS Sabah

Perubahan besar mula kelihatan selepas PRN Sabah 2020 apabila Dr Aliakbar Gulasan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah. Pelantikan tersebut memberikan ruang lebih luas kepada PAS Sabah untuk menunjukkan kemampuan dalam aspek kepimpinan, khidmat rakyat dan hubungan masyarakat.

Dr Aliakbar membawa pendekatan politik yang sederhana, santun dan mesra rakyat. Melalui pelbagai program kebajikan dan pendekatan masyarakat, persepsi terhadap PAS mula berubah dalam kalangan sebahagian rakyat Sabah.

Dr Aliakbar yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Setiausaha PAS Sabah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah bagi menggantikan Mohd Aminuddin Aling yang memegang jawatan itu sejak 2011.

Kemuncaknya berlaku dalam PRN Sabah 2025 apabila PAS berjaya mencipta kemenangan pertama dalam sejarahnya di negeri itu.

Kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan seorang calon atau satu kawasan pilihan raya. Ia adalah simbol kepada perjuangan panjang selama empat dekad yang dibina melalui pengorbanan ramai pihak yang mungkin tidak pernah dikenali oleh masyarakat umum.

Masa Depan PAS Sabah

Pada usia 40 tahun, PAS Sabah kini memasuki satu fasa baharu yang lebih mencabar. Cabaran sebenar bukan lagi sekadar membina pengaruh, tetapi bagaimana untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.

PAS Sabah perlu terus memperkukuh budaya kerja berasaskan integriti, khidmat masyarakat dan kesederhanaan politik. Dalam suasana politik Sabah yang kompleks, PAS juga perlu bijak menyesuaikan pendekatan dakwah dengan realiti masyarakat majmuk tanpa mengorbankan prinsip perjuangan Islam.

Sesungguhnya, perjalanan PAS Sabah masih panjang. Empat dekad yang lalu hanyalah permulaan kepada satu perjuangan yang lebih besar.

Semoga ulang tahun ke-40 ini menjadi titik muhasabah untuk seluruh pimpinan, ahli dan pendukung PAS Sabah agar terus istiqamah membawa mesej Islam kepada masyarakat dengan hikmah, kebijaksanaan dan penuh kesabaran.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam.”

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, KMN
Penolong Setiausaha Agung PAS
Pengerusi Jabatan Arkib PAS Pusat
19 Mei 2026

Ulasan