FESTIVAL MUZIK AIR : INILAH YANG SEBENARNYA....


FESTIVAL MUZIK AIR : INILAH YANG SEBENARNYA....

Inilah yang sebenarnya. Bukan sekadar diam tetapi ada sebab yang lebih “strategik”. PMX sepatutnya menjadi individu yang merasmikan penutup konsert mega pesta air di Kuala Lumpur malam esok.

Namun tiba-tiba “tidak dapat hadir”.
Alasan rasmi? Pertindihan jadual.

Memang menarik sekali. Bila isu ini dipersoal rakyat, senyap seribu bahasa. Bila peranan sebenar terbongkar, terus ada justifikasi.

Hebat benar kepimpinan Madani hari ini. Serba boleh, serba ada. Boleh beri tazkirah, boleh jadi pensyarah agama, boleh beraksi di pentas antarabangsa dan dalam masa sama meraikan hiburan berskala besar.

Inilah wajah Malaysia yang mahu dipasarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, bukan budaya ilmu, bukan kesederhanaan, tetapi pesta hiburan yang ditaja kerajaan sendiri.

Lebih ironi, ketika rakyat diminta berjimat, mengikat perut berdepan tekanan kos sara hidup, kerajaan pula bermurah hati “menghadiahkan” konsert percuma menggunakan wang siapa?
Wang rakyat, ya... wang rakyat.

Apa yang lebih membimbangkan bukan sekadar penganjuran tetapi usaha menormalisasikan budaya hedonisme atas nama pelancongan dan keterbukaan.

Lebih pelik, suara institusi agama dalam kerajaan sendiri tidak sehaluan. Ada yang menegur, ada yang membantah, tetapi akhirnya dipinggirkan.

Ini bukan lagi soal perbezaan pandangan. Ini soal kegagalan kepimpinan menyelaraskan prinsip.

Akhirnya, kerajaan bercanggah dengan kerajaan.
Mereka yang menegur diketepikan, mereka yang membantah tidak dipedulikan.

Apabila ada yang bangkit membawa suara Amar Makruf Nahi Mungkar, terus dilabel sebagai ekstrem, kolot, jumud, bahkan dituduh sebagai penunggang agama. Mudah benar menutup kebenaran dengan label.

Hakikatnya, inilah natijah apabila politik dipisahkan daripada nilai. Apabila dosa pahala dianggap tidak relevan dalam memilih pemimpin.

Adakah ini Madani yang sebenar?

Kluang, Johor

Ulasan