‘Kenapa PMX tak rasmi penutup Rain Rave Water Music Festival?’




‘Kenapa PMX tak rasmi penutup Rain Rave Water Music Festival?’
May 4, 2026

Share
Khairul Faizi Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil mempersoalkan tindakan kerajaan yang menganjurkan konsert percuma menggunakan wang rakyat ketika rakyat diminta berjimat dan berdepan tekanan kos sara hidup.

“Kerajaan pula bermurah hati ‘menghadiahkan’ konsert percuma menggunakan wang siapa? Wang rakyat, ya… wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan penganjuran acara Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang, di sini selama tiga hari bermula 30 April sehingga 2 Mei baru-baru ini.

Menurut beliau, apa yang lebih membimbangkan bukan sekadar penganjuran acara berkenaan, tetapi usaha menormalisasikan budaya hedonisme atas nama pelancongan dan keterbukaan.

“Lebih pelik, suara institusi agama dalam kerajaan sendiri tidak sehaluan. Ada yang menegur, ada yang membantah, tetapi akhirnya dipinggirkan.

“Ini bukan lagi soal perbezaan pandangan. Ini soal kegagalan kepimpinan menyelaraskan prinsip.

“Akhirnya, kerajaan bercanggah dengan kerajaan. Mereka yang menegur diketepikan, mereka yang membantah tidak dipedulikan,” tegasnya.

Khairul Faizi juga menegaskan bahawa,pihak yang membawa suara ‘amar makruf nahi mungkar’ pula dilabel sebagai ekstrem, kolot dan jumud, selain dituduh sebagai penunggang agama.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan natijah apabila politik dipisahkan daripada nilai dan apabila dosa serta pahala dianggap tidak relevan dalam memilih pemimpin.

“Adakah ini Madani yang sebenar?” soal beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor.

Mengulas lanjut,Khairul Faizi berkata, terdapat sebab ‘strategik’ di sebalik tindakan Perdana Menteri ke-10 (PMX) yang pada awalnya dijangka merasmikan penutup konsert mega pesta air itu di Kuala Lumpur, namun tidak dapat hadir atas alasan pertindihan jadual.

“PMX sepatutnya menjadi individu yang merasmikan penutup konsert mega pesta air di Kuala Lumpur.

“Namun tiba-tiba ‘tidak dapat hadir’. Alasan rasmi? Pertindihan jadual. Memang menarik sekali.

“Bila isu ini dipersoal rakyat, senyap seribu bahasa. Bila peranan sebenar terbongkar, terus ada justifikasi,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan dalam nada sinikal bahawa kepimpinan semasa disifatkan ‘serba boleh’ kerana mampu memberi tazkirah, berperanan sebagai pensyarah agama, beraksi di pentas antarabangsa dan pada masa sama meraikan hiburan berskala besar.

“Inilah wajah Malaysia yang mahu dipasarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, bukan budaya ilmu, bukan kesederhanaan, tetapi pesta hiburan yang ditaja kerajaan sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

Ulasan