KOMENTAR : KESELAMATAN MURID DI SEKOLAH; TRAGEDI YANG TIDAK WAJAR BERULANG
Peristiwa kemalangan maut yang melibatkan seorang murid sekolah berusia lapan tahun baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Tragedi yang menimpa Allahyarhamah Nur Aini Umairah Mohd Fareez bukan sahaja meruntun jiwa keluarga, malah mengundang persoalan besar tentang tahap keselamatan murid di kawasan sekolah pada hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong, Johor, Allahyarhamah yang merupakan murid Tahun Dua disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar sekolahnya. Kejadian tersebut berlaku ketika waktu pulang sekolah, iaitu waktu yang lazimnya menyaksikan kesesakan kenderaan serta pergerakan murid dan ibu bapa yang tinggi.
Tragedi ini bukanlah satu kes terpencil. Sebelum ini, negara turut dikejutkan dengan satu lagi insiden menyayat hati di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas, Kelantan pada 12 April 2026. Dalam kejadian tersebut, seorang pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, maut selepas dirempuh sebuah SUV berhampiran surau sekolah. Seorang lagi pelajar turut cedera. Siasatan awal polis mendapati kenderaan itu dipandu oleh seorang wanita yang dipercayai guru sekolah berkenaan dan dipercayai terbabas selepas tertekan pedal minyak.
Kes ini mendapat perhatian ramai kerana tragedi berlaku di dalam kawasan sekolah sendiri, iaitu tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat kepada murid. Insiden ini turut membuka perbahasan besar tentang keperluan SOP keselamatan kenderaan dalam kawasan sekolah yang lebih ketat dan sistematik.
Sebelum ini, satu kes berlaku di Sabah apabila seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan berhampiran sekolah di Kilometer 19, Jalan Baru Papar–Kota Kinabalu, Kinarut. Mangsa mengalami patah kaki kiri serta kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut. Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai melintas secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu gagal mengelak.
Walaupun faktor kecuaian individu sering menjadi fokus dalam banyak kes kemalangan, hakikatnya isu keselamatan murid di sekolah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Faktor persekitaran, kelemahan infrastruktur, pengurusan lalu lintas, disiplin pengguna jalan raya dan tahap penguatkuasaan keselamatan turut memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada tragedi seperti ini.
Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menunjukkan situasi yang amat membimbangkan. Sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2024 sahaja, sebanyak 4,043 kes kemalangan jalan raya membabitkan pelajar sekolah direkodkan di seluruh negara. Lebih menyedihkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 779 kes melibatkan kemalangan maut.
Angka ini bukan sekadar statistik biasa, tetapi menggambarkan realiti getir yang sedang dihadapi oleh masyarakat. Setiap angka tersebut mewakili kehilangan nyawa, kesedihan keluarga dan trauma yang akan dikenang sepanjang hayat. Isu ini bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya tanggungjawab besar yang perlu dipikul secara bersama oleh kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan pengguna jalan raya.
Bagi mengatasi isu kemalangan di sekolah secara lebih berkesan, pendekatan yang menyeluruh perlu dilaksanakan. Aspek penguatkuasaan, pendidikan keselamatan, penambahbaikan infrastruktur dan penglibatan komuniti perlu bergerak secara serentak dan bukan secara berasingan.
Langkah paling utama ialah mewujudkan Zon Selamat Sekolah di semua kawasan sekolah sama ada di bandar mahupun luar bandar. Had laju maksimum 30 kilometer sejam perlu dikuatkuasakan secara tegas di kawasan sekolah. Selain itu, pemasangan bonggol jalan, lampu amaran, lintasan zebra yang jelas, lampu isyarat khas waktu sekolah dan penghadang jalan untuk murid melintas perlu dipertingkatkan. Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko murid dilanggar ketika datang dan pulang dari sekolah.
Selain itu, penglibatan pengawal trafik dan sukarelawan keselamatan juga perlu diperkasakan. Pengawal keselamatan sekolah, RELA, PIBG dan sukarelawan komuniti boleh memainkan peranan membantu murid melintas jalan dan mengawal kesesakan lalu lintas. Pada masa yang sama, polis trafik perlu melakukan pemantauan berkala terutama pada waktu puncak persekolahan.
Tragedi di SMK Tanjung Mas pula menunjukkan betapa pentingnya SOP ketat terhadap pergerakan kenderaan dalam kawasan sekolah. Kemasukan kenderaan perlu dihadkan dan laluan khas bagi guru serta ibu bapa perlu diwujudkan. Kawasan “drop-off” yang tersusun, larangan memandu laju serta pengasingan laluan pejalan kaki dan kenderaan adalah langkah penting bagi mengelakkan kemalangan dalam kawasan sekolah.
Dalam masa yang sama, pendidikan keselamatan kepada murid perlu diperkasakan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Pendidikan jalan raya, latihan kebakaran, kesedaran risiko elektrik dan kempen keselamatan perlu dijadikan budaya dalam kehidupan sekolah. Murid yang mempunyai kesedaran keselamatan lebih cenderung bertindak berhati-hati dalam pelbagai situasi.
Kemajuan teknologi juga boleh dimanfaatkan melalui pemasangan CCTV dan sistem pemantauan di pintu pagar sekolah, kawasan parkir, koridor dan tangga sekolah. Rakaman ini bukan sahaja membantu pemantauan keselamatan, malah memudahkan siasatan sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.
Kerjasama ibu bapa dan PIBG turut menjadi faktor penting. Sikap ibu bapa yang berhenti sesuka hati di hadapan sekolah atau membiarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen hanya meningkatkan risiko kemalangan. Kesedaran bahawa keselamatan murid adalah tanggungjawab bersama perlu diterapkan dalam masyarakat.
Di samping itu, penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Sekolah yang melibatkan guru, PIBG, polis komuniti, wakil pelajar dan pihak berkuasa tempatan perlu diwujudkan secara aktif. Jawatankuasa ini boleh berfungsi mengenal pasti risiko keselamatan, menyediakan pelan kecemasan serta memantau pelaksanaan SOP keselamatan sekolah secara berkala.
Hakikatnya, sekolah sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu dan membina masa depan. Namun, apabila kawasan sekolah sendiri menjadi lokasi tragedi yang meragut nyawa, maka sudah tiba masanya semua pihak melakukan perubahan yang lebih serius dan berkesan.
Tragedi yang menimpa Allahyarhamah Nur Aini Umairah Mohd Fareez dan beberapa pelajar lain sewajarnya menjadi peringatan besar kepada seluruh masyarakat bahawa aspek keselamatan murid tidak boleh dipandang ringan. Setiap nyawa anak-anak adalah amanah yang wajib dipelihara. Janganlah kita hanya berbicara tentang keselamatan selepas tragedi berlaku, sebaliknya bertindak sebelum lebih banyak nyawa tidak berdosa menjadi korban keadaan.
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL, KMN
Minda Sejahtera Resources
7 Mei 2026
www.khairulfaizi.com.my

Ulasan
Catat Ulasan