UCAPAN TERAKHIR ENCIK BALASUBRAMANIAM a/l NACHIAPPAN, JP



UCAPAN ENCIK BALASUBRAMANIAM a/l NACHIAPPAN, JP

SEMPENA PERHIMPUNAN TAHUNAN PERTAMA (PENUBUHAN)
DEWAN HIMPUNAN PENDUKUNG PAS PUSAT
9 MEI 2026

Salam sejahtera dan salam perpaduan kepada semua.
Yang dihormati para pimpinan PAS Pusat,
Ahli Jawatankuasa Penaja Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat,
Ketua-Ketua Urusan Himpunan Pendukung PAS Kawasan-kawasan
serta hadirin yang saya muliakan sekalian.

1. PEMBUKAAN

Pertama sekali Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua para perwakilan yang hadir dari seluruh pelusuk tanahair. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir pada hari yang cukup bermakna ini, kita berada di dalam Perhimpunan Penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat. Perhimpunan ini diadakan bagi memastikan bahawa DHPP yang telah diluluskan sebagai sayap baharu PAS oleh Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (RoS) dapat mengesahkan kewujudan DHPP Pusat.

Hari ini bukan sekadar satu majlis rasmi. Hari ini adalah satu detik bersejarah, detik yang menandakan komitmen kita untuk bergerak bersama dalam sebuah perjuangan yang lebih besar daripada diri kita sendiri.

Kesediaan PAS untuk mewujudkan Ahli Bersekutu seperti yang telah diluluskan di dalam Muktamar Tahunan PAS yang ke-70 pada tahun 2024 membuktikan PAS bersedia untuk menjadi parti untuk semua kaum di Malaysia.

Sebelum DHPP diluluskan sebagai sayap rasmi baharu PAS, DHPP telahpun bergerak sebagai salah salah satu sayap yang berstatus Lajnah/ Jabatan sejak 22 tahun yang lalu. Bermula dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) pada 11 Mac 2004 dan dinaik taraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 23 Mei 2010 dan akhirnya dinaiktaraf dari Penyokong kepada Pendukung pada tahun 2019.

Dalam tempoh tersebut, DHPP telahpun mengadakan sebanyak 10 kali Konvensyen sebagai platform untuk kita bermuhasabah, menilai perjalanan dan aktiviti DHPP dan Konvensyen itu juga kita jadikan tempat untuk memberikan pandangan dan idea untuk melebarluaskan peranan DHPP.

2. LATAR PERJUANGAN DHPP

Hadirin yang saya hormati,

Sejak penubuhannya, DHPP telah memainkan peranan yang amat penting dalam menjalin hubungan erat antara PAS dan masyarakat bukan Islam. Kita bukan sekadar pendukung tetapi pejuang yang berpegang pada prinsip perjuangan yang jelas, iaitu PAS berjuang untuk membawa rahmat kepada seluruh alam melalui dasar perjuangannya.

Dari sebuah idea yang dilihat sebagai satu cabaran, DHPP telah berkembang dengan pesat, membina jaringan yang kukuh dan memberi impak yang besar dalam membantu PAS menyampaikan dakwah dan visi Islam kepada masyarakat pelbagai kaum. Ini adalah bukti bahawa perjuangan PAS adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

Walaupun kita sering berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, kita telah berjaya membuktikan bahawa DHPP adalah kekuatan tambahan kepada PAS. Kita adalah agen penyebaran maklumat dan penerangan yang tidak hanya berbicara soal politik tetapi juga tentang nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan kemajuan. Kita adalah pembela bagi mereka yang tertindas, tanpa memandang latar belakang.

3. DHPP SEBAGAI JAMBATAN

Hadirin yang saya hormati,

Tanggungjawab untuk menjadi jambatan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama adalah tanggungjawab DHPP. Penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS ini adalah bukti bahawa politik di Malaysia sedang berkembang ke arah yang lebih matang. Ia menunjukkan bahawa perbezaan bukan lagi penghalang, tetapi boleh menjadi kekuatan jika diurus dengan bijaksana.

4. DHPP PERLU BERANI

Saudara dan saudari sekalian,

Kita hidup dalam sebuah negara yang unik pelbagai bangsa, pelbagai agama, pelbagai budaya. Dalam kepelbagaian ini, kita tidak boleh memilih untuk berjalan secara berasingan. Kita mesti belajar untuk memahami, bukan sekadar menerima. Kita mesti berani untuk berdialog, bukan sekadar berdiam diri. Kita mesti bersedia untuk bekerjasama, demi masa depan PAS ynag bakal menjadi tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan.

Dewan Himpunan Pendukung PAS adalah platform untuk tujuan itu. Ia membuka ruang kepada masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam wacana, dalam gerak kerja dan dalam usaha membina negara yang lebih baik.

5. DHPP PERLU BERSATU HATI

Hadirin sekalian,

Apa yang menyatukan kita bukanlah latar belakang kita, tetapi nilai-nilai bersama: Keadilan, Integriti, Kejujuran, Kebajikan dan Kesejahteraan untuk semua. Nilai-nilai ini adalah nilai sejagat yang dihargai oleh semua masyarakat, tanpa mengira agama atau bangsa. Inilah asas kepada penglibatan kita dalam Dewan Himpunan Pendukung PAS.

Kita tidak menafikan bahawa mungkin wujud perbezaan pandangan dalam beberapa perkara. Itu adalah realiti dalam mana-mana masyarakat yang pelbagai. Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mengurus perbezaan tersebut dengan hormat, dengan hikmah dan dengan semangat untuk mencari titik persamaan.

Kita tidak datang untuk mengubah siapa-siapa. Kita datang untuk membina persefahaman. Kita tidak datang untuk memecah-belahkan. Kita datang untuk menyatukan kekuatan PAS.

6. MEMILIH KEPIMPINAN UNTUK MASA HADAPAN DHPP

Hadirin yang dihormati,

Perhimpunan ini juga membawa satu amanah yang besar iaitu proses pemilihan kepimpinan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat yang baharu. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya dan semua perwakilan:

Pemilihan ini bukan sekadar memilih nama. Pemilihan ini adalah menentukan hala tuju perjuangan kita pada masa hadapan. Gunakanlah hak memilih ini dengan penuh tanggungjawab. Nilailah calon berdasarkan kemampuan, integriti dan kesungguhan mereka untuk berkhidmat, bukan atas sentimen, bukan atas kelompok.

Apa jua keputusan nanti, biarlah ia menjadi keputusan yang menguatkan kita, bukan melemahkan kita. Kita mesti sentiasa ingat:

Pemilihan bukan untuk berpecah. Pemilihan adalah proses untuk memperkukuhkan organisasi. Berbeza pandangan itu biasa tetapi bersatu selepas pemilihan itu adalah kewajipan kita semua. Jika kita benar-benar ingin melihat Dewan Himpunan Pendukung PAS ini berjaya, maka kekuatan kita terletak pada kesatuan hati dan kesatuan tindakan.

7. BERSIAP MENGHADAPI CABARAN

Hadirin sekalian,

Cabaran yang dihadapi negara hari ini ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, integriti dalam kepimpinan, semuanya memerlukan pendekatan yang inklusif. Tiada satu kelompok yang boleh menyelesaikannya secara bersendirian.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS:

Ambillah peranan ini dengan serius. Jadilah suara kepada parti dan masyarakat. Jadilah jambatan kepada perpaduan. Jadilah rakan strategik dalam membawa perubahan.

8. PENUTUP

Akhir kata, saya yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, keikhlasan dan komitmen, kita mampu menjadikan Dewan Himpunan Pendukung PAS ini sebagai satu kekuatan baharu dalam landskap politik negara.

Kekuatan yang bukan berasaskan perpecahan tetapi berasaskan kepercayaan dan kerjasama.

Marilah kita melangkah ke hadapan bersama, memperkuatkan PAS untuk masa hadapan negara kita yang tercinta serta berusaha membina Malaysia yang lebih adil, lebih stabil dan lebih sejahtera untuk semua.

Bersama DHPP, kita mara menuju kemenangan!

Sekian, salam perjuangan.

Encik Balasubramaniam a/l Nachiappan, JP
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat

Ulasan