Vijay tutup kedai arak dipuji, kenapa PAS dipertikai?



Vijay tutup kedai arak dipuji, kenapa PAS dipertikai?
Isu alkohol bukan soal agama, tetapi kemanusiaan

Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menegaskan usaha mengurangkan kemudaratan alkohol bukan isu agama semata-mata, sebaliknya melibatkan aspek kemanusiaan dan masa depan negara.

Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, perkara itu turut dibuktikan melalui perkembangan di Tamil Nadu yang menurutnya menunjukkan pendekatan mengurangkan kesan alkohol boleh diterima apabila dibawa oleh tokoh tertentu.

Beliau berkata demikian susulan Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay, dilaporkan mengarahkan penutupan 717 kedai arak dalam tempoh dua minggu sebaik sahaja mengangkat sumpah jawatan.

Tindakan itu melibatkan kedai di bawah syarikat milik kerajaan Tamil Nadu yang mengawal sepenuhnya jualan arak (TASMAC) yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas atas alasan menjaga kebajikan rakyat.

“Mengapa prinsip yang sama terus dipersoalkan apabila diperjuangkan oleh PAS? “Ini membuktikan bahawa penolakan terhadap PAS selama ini sering kali lebih dipengaruhi oleh persepsi politik berbanding penilaian yang adil terhadap dasar yang diperjuangkan,” ujar Dr Balachandran dalam satu kenyataan.

Dr Balachandran turut memetik kata-kata bekas Presiden India, A P J Abdul Kalam, bahawa kebenaran dalam hati membentuk akhlak mulia, yang membawa kepada keharmonian rumah tangga, ketertiban negara dan akhirnya keamanan dunia. “‘Apabila ada kebenaran dalam hati, maka akan ada keindahan dalam akhlak. Apabila ada keindahan dalam akhlak, maka akan wujud keharmonian dalam rumah tangga. “

‘Apabila ada keharmonian dalam rumah tangga, maka akan teratur sesebuah negara. Apabila negara teratur, maka akan tercapai keamanan di dunia’” ujarnya memetik kata-kata bekas Presiden India itu.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan PAS akan terus istiqamah mempertahankan dasar yang memperkukuhkan masyarakat, melindungi generasi masa depan serta memelihara kesejahteraan negara walaupun berdepan kritikan dan salah faham politik.

“Kerana sebuah negara yang sejahtera bukan dibina atas ketagihan dan keruntuhan moral, tetapi atas nilai, disiplin, keseimbangan dan tanggungjawab bersama,” tegasnya.

Menurut beliau, rakyat Malaysia khususnya masyarakat India sebelum ini menantikan kemenangan C Joseph Vijay tersebut dengan media sosial dipenuhi ucapan tahniah serta rasa bangga.

“Media sosial dipenuhi dengan ucapan tahniah, sokongan dan rasa bangga daripada rakyat Malaysia yang membesar dengan filem-filem beliau serta mengagumi perjalanan politik dan pengaruh beliau sejak sekian lama,” jelasnya.

Sokongan terhadap Vijay, ujar beliau, bukan sekadar bersifat politik tetapi lahir daripada hubungan emosi dan kekaguman terhadap figura berkenaan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sejak kecil.

Menurutnya lagi, apabila Vijay mengambil langkah menutup ratusan premis TASMAC, berhampiran sekolah, rumah ibadat dan kawasan sensitif, ia mencetuskan perbincangan lebih luas termasuk di Malaysia. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai usaha menjaga kesejahteraan sosial, melindungi generasi muda dan mengurangkan kesan buruk alkohol terhadap masyarakat.

“Namun dalam masa yang sama, perkembangan ini juga memperlihatkan satu realiti politik yang menarik, apabila tokoh tertentu membawa agenda mengurangkan ketagihan alkohol, ia diraikan sebagai reformasi sosial. “Tetapi apabila PAS memperjuangkan perkara yang sama sejak sekian lama, ia sering dilabel secara negatif melalui persepsi politik yang sempit,” ujarnya.

Dr Balachandran menegaskan PAS konsisten membawa agenda memperkukuhkan moral masyarakat, institusi keluarga serta membendung kerosakan sosial akibat ketagihan, perjudian dan penyalahgunaan bahan terlarang. “Ini bukan soal menghukum mana-mana kaum atau agama, ini soal membina sebuah negara yang lebih stabil, sihat dan bermaruah.

“Tiada agama di dunia ini yang mengangkat alkoholisme, perjudian atau penyalahgunaan dadah sebagai simbol kemajuan masyarakat. “Semua agama mengajar disiplin, kawalan diri, tanggungjawab moral dan kesejahteraan hidup bermasyarakat,” jelasnya.

Menurutnya, kesan sosial akibat ketagihan alkohol termasuk keruntuhan keluarga, keganasan rumah tangga, kemiskinan, jenayah, masalah kesihatan mental, kemalangan jalan raya dan kemerosotan produktiviti negara. Beliau menambah, negara tidak akan mencapai kemajuan sebenar jika generasi muda terus terperangkap dalam budaya ketagihan dan kerosakan sosial.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia memerlukan keberanian politik untuk membincangkan isu moral dan sosial secara jujur tanpa dipengaruhi persepsi politik.

“PAS percaya bahawa pembangunan negara bukan hanya diukur melalui bangunan tinggi dan angka ekonomi, tetapi juga melalui kekuatan nilai masyarakat, kestabilan keluarga, disiplin sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Atas sebab itu, pendekatan membendung kerosakan sosial perlu dilihat secara menyeluruh melalui pendidikan dan kesedaran masyarakat, pengukuhan institusi keluarga. “(Termasuk) sokongan pemulihan dan kesihatan mental, perlindungan generasi muda, serta dasar awam yang lebih bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY

Ulasan