APABILA JALAN RAYA SUDAH MENJADI TEMPAT BERLUMBA
Hati saya benar-benar tersentuh membaca berita kemalangan ngeri di Jalan Renggam–Simpang Renggam yang meragut lima nyawa, termasuk sepasang suami isteri, seorang warga emas dan seorang kanak-kanak yang masih mempunyai masa depan yang panjang.
Dalam sekelip mata, sebuah keluarga musnah. Anak kehilangan ibu bapa, ahli keluarga kehilangan insan tersayang. Lebih menyedihkan apabila tragedi ini dipercayai berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab di jalan raya.
Kejadian ini telah mendapat perhatian di seluruh negara dan ramai yang melahirkan rasa kecewa dan marah terhadap pelaku yang menggunakan jalan raya sebagai tempat berlumba.
Jalan raya bukan litar perlumbaan. Kelajuan yang melampau dan sikap ingin menunjukkan kehebatan hanya mengundang penyesalan yang tidak berpenghujung. Apabila kemalangan berlaku, bukan sahaja pelakunya yang menerima akibat, malah orang yang tidak bersalah turut menjadi mangsa.
Marilah kita mengambil iktibar daripada tragedi ini. Setiap kali memegang stereng, ingatlah bahawa ada insan yang menunggu kepulangan kita di rumah. Nyawa manusia terlalu berharga untuk dipertaruhkan demi beberapa saat keseronokan.
Takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, KMN
Kluang, Johor
2 Jun 2026

Ulasan
Catat Ulasan