Awang jiwai denyut nadi warga Simpang Jeram



Awang jiwai denyut nadi warga Simpang Jeram
June 29, 2026


SEORANG anak tempatan kini mempertaruhkan pengalaman hidupnya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di kerusi N.13 Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Beliau ialah Arshed Yahya, 56, atau lebih mesra disapa dalam kalangan penduduk setempat dengan panggilan ‘Awang’, yang diangkat sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN)

Bagi Awang, Simpang Jeram bukanlah sebuah wilayah asing yang sekadar ingin diwakili, sebaliknya di tanah inilah beliau dilahirkan, dibesarkan, bekerja dan menjalani pasang surut kehidupan bersama-sama masyarakat setempat.

Pengalaman membesar sebagai anak kampung, ditambah pula dengan penglibatan langsungnya dalam bidang pertanian dan penternakan, membentuk pemahaman mendalam terhadap denyut nadi dan realiti sebenar kesusahan rakyat biasa.

Beliau amat memahami bagaimana ketidaktentuan harga hasil pertanian menjejaskan poket penduduk; kelangsungan peniaga kecil mempertahankan perniagaan; serta dilema anak muda yang terpaksa berhijrah meninggalkan kampung halaman akibat kekurangan peluang pekerjaan ekonomi setempat.

Awang menegaskan, mandat yang dicari dalam PRN Johor kali ini bukan sekadar untuk menabur janji kosong di atas kertas, tetapi adalah untuk menterjemahkan sebuah kepimpinan bersih, mesra rakyat, mudah ditemui dan sentiasa berfungsi tanpa mengira latar belakang politik.

Meneliti aduan rakyat mengenai ruang ekonomi yang terhad serta pendapatan tidak menentu menjadi garis pelan tindakan strategik akan diberi keutamaan oleh beliau sekiranya diberikan kepercayaan oleh pengundi.

Pusat khidmat aduan dan pemerkasaan belia

Antara langkah awal itu termasuklah menggerakkan sebuah pusat khidmat masyarakat yang dinamik, mudah dihubungi dan sentiasa terbuka kepada orang ramai.

Beliau juga nekad memperbanyakkan program turun padang secara berkala untuk menyantuni golongan petani, penternak dan peniaga kecil bagi merangka formula penyelesaian yang praktikal.

Melihat kepada landskap masa depan, Awang memberikan tumpuan khusus terhadap agenda pemerkasaan golongan belia.

Beliau optimis bahawa anak muda mampu menjana pendapatan lumayan di tanah kelahiran sendiri tanpa perlu berhijrah, sekiranya mereka dibimbing dalam sektor pertanian, ternakan dan perniagaan moden.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau merancang untuk menerapkan penguasaan teknologi terkini, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu usahawan kampung meningkatkan daya saing pasaran.

Antara program bakal digerakkan termasuklah penganjuran bengkel teknologi dan AI untuk melatih peniaga menghasilkan poster, foto produk, serta bahan promosi digital dengan lebih mudah.

Pusat khidmat beliau juga akan berfungsi sebagai hab rujukan bagi urusan asas jualan dalam talian (online) serta aplikasi sistem pembayaran digital bagi meluaskan pasaran produk tempatan ke luar kawasan.

Bina masa depan

Membina masa depan, Awang mengimpikan Simpang Jeram berkembang sebagai sebuah kawasan yang bersatu-padu dan mempunyai ekosistem ekonomi kukuh.

Bagi beliau, penanda aras kejayaan sesebuah kawasan tidak boleh diukur secara materialistik melalui pembinaan projek fizikal semata-mata.

Sebaliknya Awang berpendirian mesti dinilai apabila taraf pendapatan penduduk kampung meningkat, golongan tani dibela, dan semakin ramai anak muda berjaya bergelar usahawan dalam persekitaran sosial yang harmoni.

Menjelang hari penentuan, beliau berharap agar proses demokrasi PRN Johor ke-16 ini menjadi medan penyatuan ukhuwah masyarakat dan bukannya ejen pemecah-belah hubungan sesama jiran tetangga.

Beliau menyeru seluruh pengundi di DUN Simpang Jeram untuk menunaikan tanggungjawab mereka secara tenang, matang dan bijaksana dengan menilai rekod kerja serta keikhlasan seseorang calon untuk berkhidmat.

Awang bakal berdepan cabaran sengit dalam saingan empat penjuru menentang penyandang kerusi daripada Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman; calon Barisan Nasional (BN), Azman Ismail; serta calon MUDA, Anie Haziqah Shafii.

Meskipun berdepan saingan sengit, bapa kepada empat cahaya mata ini kekal cekal dan istiqamah untuk membawa suara serta amanah penduduk ke peringkat tertinggi.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya membawa amanah rakyat dan memastikan kepentingan penduduk Simpang Jeram terus diperjuangkan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.- HARAKAHDAILY 29/6/2025

Ulasan