Bekas PA Cikgu Aziz kini calon Sungai Balang


Bekas PA Cikgu Aziz kini calon Sungai Balang

Ustaz Amin fokus jalan kampung, pertanian, Orang Asli dan IKS Sungai Balang
June 29, 2026



MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS bagi N.16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ustaz Muhammad Amin Sailan merupakan pembantu peribadi (PA) kepada bekas ADUN Maharani Abdul Aziz Talib atau lebih dikenali sebagai Cikgu Aziz selama sepenggal.

Menurut Muhammad Amin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin yang berumur 36 tahun itu, beliau menetap di tempat beliau tandingi iaitu di Sungai Balang.

Beliau turut berkongsi pengalaman politik yang bermula di peringkat ahli apabila menjadi ahli jawatankuasa sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Muar.

“Dan seterusnya pada sesi pemilihan yang lepas diangkat sebagai EXCO Dewan Pemuda PAS Negeri Johor memegang portfolio Department of Arts, Culture and Sports, DACS,” cerita beliau kepada HarakahDaily di Pusat Khidmat DUN Maharani di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, selepas itu beliau turut dilantik di peringkat Pusat sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) DACS Pusat serta terlibat dalam Lajnah Tarbiah.

Menurut beliau, kawasan DUN Sungai Balang merupakan kawasan majoriti penduduk kampung dan luar bandar yang masih memerlukan perhatian khusus, terutama dari segi infrastruktur asas.

Beliau berkata, antara keperluan mendesak yang dikenal pasti ialah kerja-kerja baik pulih jalan kampung serta penambahbaikan kemudahan berkaitan peruntukan pembangunan disalurkan.

“Kawasan Sungai Balang ini kawasan kampung dan luar bandar. Banyak tempat yang masih belum mendapat akses penuh kepada peruntukan yang diturunkan pihak kerajaan. Contohnya jalan-jalan kampung yang perlu diperbaiki dan dibaik pulih,” ceritanya lagi.

Dalam aspek lain, beliau menyatakan, sektor pertanian di kawasan berkenaan telah menerima perhatian sebelum ini dan akan diteliti untuk penambahbaikan pada masa akan datang mengikut keperluan semasa.

“Daripada sudut lain tu mungkin bidang pertanian sebenarnya dah ada juga dapat perhatian daripada pihak YB yang sebelum ni. Mungkin kita akan tengoklah mana yang terbaik untuk kita jadikan untuk ke depan, untuk akan datang insya-Allah,” ulasnya.

Ustaz Amin turut menjelaskan bahawa, perkembangan anak muda di Sungai Balang menunjukkan ramai kembali ke kawasan tersebut selepas tamat pengajian, walaupun ada yang keluar bekerja di luar.

“Kalau dekat Sungai Balang ini, anak muda walaupun habis belajar, rata-rata ada yang balik semula. Kalau keluar pun untuk bekerja sahaja, kemudian balik mengundi masih di DUN Sungai Balang. Setakat ni rata-rata yang kita dapatkan maklumat macam itulah,” terangnya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa, kawasan tersebut mempunyai ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), termasuk dalam kalangan suri rumah, yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa, aspek pendigitalan perlu diperluaskan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk setempat.

“Sebenarnya dekat dalam DUN Sungai Balang ni dia ada terkait juga dengan projek kerajaan negeri yang disebutkan Maharani Gateway. Jadi mungkin akan datang, kawasan Sungai Balang ni pun akan menjadi tumpuan (ekonomi dan pekerjaan) juga.

“Maksudnya (rakyat) daripada luar dia akan masuk ataupun peluang pekerjaan pun kita boleh buka lagilah untuk warga Sungai Balang,” terangnya.

Beliau turut menyentuh kewujudan penempatan Orang Asli dalam kawasan tersebut yang menurutnya boleh diberi perhatian dari segi akses dan penglibatan dalam komuniti pada masa akan datang.

Dalam perkembangan politik semasa, Ustaz Amin mengakui terdapat ‘tarik-menarik’ dalam kalangan pengundi menjelang pilihan raya, namun melihat wujud kecenderungan masyarakat yang mahukan perubahan.

“Tapi setakat yang kita dapat lihat mereka mencari satu perubahanlah, satu aspek untuk mereka nak. Sebab apa? Mereka nak pilih satu lagi (pilihan parti) yang menyebabkan perubahan.

“Sebenarnya Sungai Balang ni dia daripada dulu lagi memang dah BN, maksudnya BN-Umno.

“Jadi mungkin wallahua’lam tak tahu, kalau kata mereka nak pilih untuk yang lain mungkin akan terjadilah seperti mana yang bakal terjadi. Wallahua’lam. Kita tak tahu,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

Ulasan