Cikgu Mala ‘Pendidik Berjiwa Rakyat’ untuk DUN Tenang



Cikgu Mala ‘Pendidik Berjiwa Rakyat’ untuk DUN Tenang
June 29, 2026


LEBIH tiga dekad menabur bakti dalam dunia pendidikan dan sebagai aktivis masyarakat, serta menerajui pelbagai organisasi kebajikan kemanusiaan menjadi sandaran utama buat tokoh pendidik ini untuk menawarkan khidmat bakti yang lebih luas dalam landskap politik.

Beliau ialah Normala Sudirman, 53, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala yang kini diangkat sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Bagi bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Labis ini, amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan gabungan itu bukan sekadar satu penyertaan dalam pesta demokrasi, sebaliknya merupakan fasa kesinambungan kepada wadah perjuangan telah lama digerakkannya sebelum ini.

Dilahirkan pada 6 Jun 1973, Cikgu Mala merupakan isteri kepada Maarof Abd Mutalib dan ibu kepada tiga orang cahaya mata.

Kehidupan domestik sebagai seorang pendidik, isteri dan ibu banyak membentuk keperibadiannya yang santun serta dekat dengan masyarakat, sekali gus memberikan beliau kefahaman yang cukup mendalam terhadap kompleksiti cabaran institusi keluarga, golongan wanita dan golongan memerlukan.

Asas kepimpinan Cikgu Mala dibina kukuh melalui dunia akademik di mana beliau merupakan pemegang Diploma Perguruan Malaysia dari Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang, sebelum melengkapkan pengajian menerusi Diploma Kepimpinan dan Tasawwur Islam (ILHAM).

Gabungan mantap antara ilmu pendidikan dan acuan kepimpinan Islam itu bukan sahaja mencorakkan reputasinya sebagai guru, malah memperkukuh kefahamannya dalam aspek pembangunan insan, pengurusan organisasi kemasyarakatan, serta tadbir urus berteraskan nilai integriti.

Pengalaman luas tersebut kemudiannya diterjemahkan menerusi penglibatan aktif beliau dalam pelbagai portfolio penting, antaranya Presiden Pertubuhan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK); Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan PAS Malaysia; dan Setiausaha Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia.

Sarat pengalaman aktivisme

Komitmen jitu Cikgu Mala terhadap agenda kebajikan antarabangsa dan domestik terbukti apabila beliau bergiat aktif sebagai Sukarelawan Muslim Care Malaysia, termasuk pernah menyertai misi kemanusiaan mencabar bagi membantu pelarian di Bangladesh.

Di peringkat tempatan pula, portfolio khidmat masyarakat beliau merangkumi Ahli Jawatankuasa NGO Rumah Ngaji Negeri Johor (Kebajikan); Setiausaha Pasukan Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat dan Ahli Panel Klinik Kesihatan Segamat.

Rekod perkhidmatan yang panjang, bersih dan berwibawa dalam pelbagai lapisan masyarakat luar bandar inilah yang akhirnya melayakkan beliau dipilih bagi membawa cabaran baharu di DUN Tenang.

Beliau bertekad menggunakan ruang waktu yang ada untuk menyantuni seberapa ramai penduduk bagi memperjuangkan isu mendesak seperti kos sara hidup, kebajikan keluarga, dan peluang ekonomi seimbang.

Sejajar dengan pelan taktikal PN yang mahu mengetengahkan calon berintegriti dan dekat dengan rakyat, Cikgu Mala dijadualkan menempuh saingan sengit empat penjuru menentang calon daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), serta seorang calon Bebas.

Berbekalkan azam membina kawasan DUN Tenang yang lebih sejahtera dan bersandarkan slogan ‘Pendidik Berjiwa Rakyat’, beliau optimis institusi keluarga mampu diperkukuh menerusi akses pendidikan berkualiti dan pembelaan hak wanita yang konsisten.

Ulasan