DAP: Dari Parti Reformasi Menjadi Sebahagian Daripada Masalah?
Menjelang PRN Johor, DAP berdepan persoalan yang semakin sukar dijawab: ke manakah hilangnya semangat reformasi yang pernah mereka perjuangkan?
Dahulu, DAP lantang mengkritik kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan pelantikan politik dalam GLC. Mereka menawarkan harapan kepada rakyat untuk membawa politik yang lebih bersih dan berintegriti.
Namun setelah berada dalam kerajaan, rakyat mula melihat gambaran yang berbeza. Kontroversi pelantikan politik, kelembapan reformasi institusi dan sikap membisu terhadap pelbagai isu tadbir urus menimbulkan persoalan sama ada DAP masih berpegang kepada prinsip asal perjuangannya.
Isu dakwaan tawaran jawatan GLC kepada seorang ADUN DAP yang tewas, yang turut dibangkitkan oleh bekas Pengarah Suaram, hanya menguatkan lagi persepsi tersebut. Lebih memeranjatkan apabila perkara itu sendiri diakui oleh pimpinan DAP Johor.
Keputusan PRN Sabah pula memberi isyarat yang jelas. DAP tewas di semua kerusi yang ditandingi. Ia menunjukkan keyakinan rakyat, termasuk sebahagian pengundi Cina, tidak lagi seperti dahulu.
Kini Johor menjadi ujian seterusnya. Daripada 14 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14, DAP hanya tinggal 10 kerusi selepas PRN Johor 2022. Trendnya jelas menunjukkan kemerosotan sokongan.
Persoalan yang sedang bermain dalam fikiran rakyat ialah: apakah perbezaan antara DAP hari ini dengan parti-parti yang pernah mereka kritik?
Dalam politik, rakyat boleh memaafkan kegagalan, tetapi sukar memaafkan kemunafikan. Jika DAP terus bercakap tentang reformasi tetapi gagal membuktikannya melalui tindakan, PRN Johor mungkin menjadi satu lagi episod penolakan rakyat terhadap parti yang pernah dianggap sebagai simbol perubahan.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
3 Jun 2026

Ulasan
Catat Ulasan