Lebih 7,000 hilang pekerjaan pada April. Lebih 38,000 hilang pekerjaan sejak awal tahun.
Setiap angka mewakili sebuah keluarga. Kerajaan tidak boleh mengambil ringan perkembangan ini.
Dalam ucapan menjunjung kasih Titah Diraja tempoh hari, saya membangkitkan kepentingan ‘mengawasi’ indikator mikroekonomi, di samping menilai angka-angka makroekonomi.
Lazimnya, kejayaan ekonomi negara diukur melalui pertumbuhan KDNK, kadar inflasi, kedudukan fiskal serta prestasi ringgit.
Namun ukuran sebenar kejayaan ekonomi tidak wajar terhenti di situ.
Manfaat pertumbuhan ekonomi mesti dirasai rakyat dan tidak terpisah daripada realiti kehidupan seharian mereka.
Dalam hal ini, kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.
Meskipun inflasi keseluruhan dilaporkan terkawal, tekanan kos masih dirasai dalam perbelanjaan asas seperti perumahan, pendidikan dan perkhidmatan.
Kemiskinan juga masih berterusan, termasuk kemiskinan pelbagai dimensi di kawasan bandar, manakala kebergantungan sebahagian rakyat kepada bantuan tunai (STR) masih tinggi.
Pada masa yang sama, peningkatan hutang kad kredit dan penggunaan skim BNPL semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Perkembangan ini menuntut perhatian serius daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia agar daya tahan kewangan isi rumah tidak terus terhakis.
Selain itu, penyusutan simpanan rakyat, peningkatan hutang isi rumah, kadar upah yang rendah serta pertumbuhan gaji yang perlahan perlu sentiasa berada dalam radar Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Kepada sahabat saya YB Menteri Ekonomi, rakyat menantikan tindakan yang lebih agresif, bukan sekadar mengulas ‘berita’ ekonomi, tetapi berani mengemukakan idea dan langkah intervensi, berpandukan data rasmi dan realiti yang dihadapi rakyat, majikan, dan peniaga.
Berbalik kepada isu pemberhentian kerja, kerajaan perlu mengambil perhatian yang lebih serius.
Setiap pekerja yang kehilangan pekerjaan mesti menerima bantuan sewajarnya melalui mekanisme insurans pekerjaan, bantuan kewangan serta khidmat penempatan pekerjaan bagi membantu mereka kembali bekerja secepat mungkin.
Perlu diakui bahawa ekonomi negara masih belum menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi yang mencukupi. Isu guna tenaga tidak setara dengan kemahiran (underemployment) terus menjadi antara faktor yang menghalang Malaysia daripada mencapai potensi pertumbuhan sebenar.
Sistem latihan semula tenaga kerja pula masih bersifat reaktif. Kebanyakan latihan diberikan selepas seseorang kehilangan pekerjaan, bukannya sebagai langkah persediaan menghadapi risiko tersebut. Proses padanan pekerjaan juga masih belum cukup cekap dan pantas.
Justeru, reformasi perlu dipercepatkan bagi merancakkan pertumbuhan PMKS dan industri yang lebih produktif, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta memastikan pembangunan kemahiran lebih selaras dengan keperluan masa depan pasaran buruh.
Sekiranya isu-isu ini ditangani dengan baik, maka jurang antara angka pertumbuhan ekonomi dan realiti kehidupan rakyat dapat dirapatkan.
Ketika itu, persoalan "Ekonomi berkembang, mengapa masih ramai hilang kerja?" tidak lagi berbangkit.
Syahir Sulaiman
Ahli Parlimen Bachok
17 Jun 2026

Ulasan
Catat Ulasan