Halim Kepol hasrat bangunkan ekonomi DUN Semerah



Halim Kepol hasrat bangunkan ekonomi DUN Semerah
June 29, 2026



CALON PERIKATAN NASIONAL (PN) N.17 DUN Semerah, Halim @ Othman Kepol, meletakkan agenda memperkasa anak muda, memperkukuh ekonomi tempatan serta membangunkan pelancongan berteraskan nilai Islam sebagai antara fokus utama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, penghijrahan golongan muda ke bandar besar berpunca daripada kekurangan peluang pekerjaan di kawasan kampung, termasuk di DUN Semerah yang majoritinya merupakan kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sektor pelancongan berpotensi menjadi pemangkin ekonomi setempat dengan menggerakkan aktiviti perniagaan, penganjuran program dan peluang pekerjaan, namun perlu dilaksanakan berteraskan konsep pelancongan Islamik.

“Anak muda hari ini lebih cenderung kepada bidang perniagaan. Sebab itu misi kita adalah mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan untuk golongan muda,” katanya.

Beliau turut melihat teknologi dan pendigitalan sebagai medium penting dalam memperkasa usahawan kecil dan peniaga tempatan. Katanya, satu aplikasi khas perlu diwujudkan bagi membantu usahawan mengurus pemasaran, pangkalan data pelanggan, menganalisis kekuatan pelanggan serta mengenal pasti potensi perniagaan yang sesuai.

Mengulas visi pembangunan Semerah dalam tempoh 10 tahun akan datang, Halim berkata tempoh tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada lima tahun pertama.

Beliau berkata, usaha utama adalah membantu pekebun nenas dan kelapa sawit memasarkan hasil terus kepada peniaga tanpa bergantung kepada orang tengah supaya mereka memperoleh pulangan yang lebih baik.

Selain itu, beliau juga mahu memperkasakan peniaga kecil berdasarkan pengalaman yang dimilikinya dalam mengendalikan perniagaan kecil dan besar termasuk memiliki kilang serta pengalaman berniaga secara bergerak.

Mengulas perancangan dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.17, Halim berkata fokus awal adalah mendekati golongan muda yang menurutnya semakin kurang memahami perkembangan politik negara.

Beliau juga berhasrat membantu peniaga kecil di tepi jalan melalui inisiatif yang bersesuaian serta menggerakkan sektor pelancongan Islamik sebagai antara pemacu ekonomi baharu di Semerah.

Halim turut menjelaskan bahawa sekiranya PN berperanan sebagai pengimbang dalam Dewan Undangan Negeri, beliau akan memastikan setiap dasar dan manifesto kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat terus disokong.

Menyentuh latar belakang perjuangannya dalam PAS, Halim berkata beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pilihan Raya PAS Parit Sulong ketika dikenali sebagai Majlis Tindakan DUN (MTD) sebelum struktur itu ditukar kepada Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD).

Beliau kemudian diamanahkan sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Johor sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Sulong ketika berdepan fasa mencabar dalam parti.

Di peringkat negeri pula, beliau pernah memegang jawatan Ketua Lajnah Kebajikan sebelum diberi tanggungjawab sebagai Ketua Lajnah NGO PAS Johor.

Beliau berkata sekiranya dipilih mewakili rakyat Semerah, semua penduduk di kawasan itu akan dianggap sebagai ‘penasihat’ dalam menentukan keutamaan yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat.

Pada masa sama, beliau menyeru pengundi di N.17 DUN Semerah, memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL dengan menyifatkan parti itu berpegang kepada nilai akhlak, integriti dan pengurusan yang baik dalam mentadbir serta menyelesaikan urusan rakyat. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

Ulasan