June 29, 2026

BERBEKALKAN pengalaman aktif dalam PAS sejak di bangku sekolah dan latar belakang pendidikan di Mesir, calon PN N.32 DUN Endau PRN16 Johor, Hasnul Hakimi Hussein, tampil dengan tekad untuk mengutamakan kebajikan rakyat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan itu.
Anak kelahiran Mersing berusia 30 tahun itu berkata, penglibatannya dalam PAS bermula sejak berada di Tingkatan Lima sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir dan meneruskan perjuangan bersama parti sekembalinya ke tanah air.
Hasnul Hakimi menyatakan, beliau tidak mahu menawarkan janji yang sukar ditunaikan, sebaliknya mahu memastikan kebajikan masyarakat Endau sentiasa menjadi keutamaan.
Menurutnya, fokus utama adalah memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih selesa, mempunyai keperluan asas yang mencukupi serta tidak dibebani dengan kos sara hidup.
“Kami di peringkat PAS tidak menjanjikan bulan dan bintang. Apa yang kami mahu ialah memastikan rakyat Endau mendapat kebajikan yang mencukupi, dapat menikmati kehidupan yang selesa dan serba cukup,” katanya.
Mengulas isu penghijrahan anak muda ke bandar akibat kekurangan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar, beliau berkata, perkara itu memerlukan kajian dan penelitian secara menyeluruh sebelum penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.
Katanya, PAS komited turun padang untuk mengumpulkan maklumat serta mengenal pasti sektor yang berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.
Antara sektor dikenal pasti termasuk ekonomi digital serta industri yang mempunyai kaitan rapat dengan kekuatan ekonomi tempatan seperti sektor perikanan dan sumber laut.
“Kita tidak mahu hanya bercakap. Kita mahu turun padang, membuat kajian dan mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat bagi menambah baik peluang pekerjaan, khususnya kepada anak-anak muda di Endau,” ujarnya.
Beliau turut melihat Endau mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan berasaskan kekuatan ekonomi setempat memandangkan kawasan itu terkenal dengan sektor perikanan selain mempunyai kawasan penempatan FELDA.
Dalam masa sama, Hasnul Hakimi berkata, teknologi dan pendigitalan perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membantu peniaga dan usahawan tempatan berkembang seiring perkembangan semasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan matlamat utama tetap tertumpu kepada usaha memastikan kehidupan masyarakat Endau berada dalam keadaan aman, selesa dan berkecukupan.
“Kita mahu memastikan masyarakat Endau hidup dalam keadaan aman damai, serba cukup dan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.
Hasnul Hakimi mengajak pengundi di N.32 Endau memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

Ulasan
Catat Ulasan