‘Maharani Sejahtera’ visi Anuar Hayan




‘Maharani Sejahtera’ visi Anuar Hayan
June 29, 2026


CALON PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS bagi N.15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Ustaz Mohamad Anuar Hayan, 60 menegaskan, beliau bercita-cita mengangkat gagasan ‘Maharani Sejahtera’ sekiranya memenangi kerusi DUN tersebut.

Menurut beliau, ‘Maharani Sejahtera’ bukan sahaja melibatkan kesejahteraan fizikal, tetapi juga mental, emosi dan pemikiran masyarakat agar lebih terbuka serta menerima pandangan berbeza.

“Insya-Allah mudah-mudahan dengan ilmu yang ada, kita akan (usahakan) supaya Bandar Maharani (menjadi) maju dengan bukan sekadar ilmu, (tetapi kita usahakan) masyarakat Maharani akan sentiasa bersatu padu, tolak ansur, itu yang kita nak ‘vision’ kitalah.

“Dan bila di situ ada muafakat, di situlah datangnya barakah berkat daripada Bandar Maharani insya-Allah. Itu kita punya pandanganlah visi kita,” jelasnya kepada HarakahDaily di pejabat Pusat Khidmat DUN Maharani di sini, baru-baru ini.

Anuar yang berasal dari Muar dan merupakan mantan pensyarah kanan pendidikan guru di Kampus Tun Hussein Onn berkata, beliau telah bersara pada Oktober tahun lalu serta dikurniakan sembilan anak dan 11 cucu.

Dalam bidang politik, penglibatan awal bermula ketika masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam apabila aktif dalam Jawatankuasa PAS Kawasan sekitar 2018, sebelum dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Muar pada 2025 hingga kini.

“Atas itulah saya rasa satu tanggungjawab amanah yang saya kira berat. Namun begitu, pesanan-pesanan daripada Tuan Guru Presiden (PAS) dan rakan-rakan lain memberi kekuatan dalaman. Dan dapat memberi kekuatan kepada saya walaupun saya rasa jadi calon ni satu tanggungjawab yang besar,” ulasnya.

Selain penglibatan politik, beliau turut aktif dalam masyarakat melalui ceramah di masjid serta sebagai pembimbing ibadah haji di peringkat kebangsaan, yang menurutnya menjadikan beliau dekat dengan komuniti setempat.

Mengulas isu tempatan, beliau menekankan keperluan penambahbaikan infrastruktur di kawasan DUN Maharani, khususnya di beberapa kawasan seperti Haji Kosai, bagi memastikan kemudahan lebih baik kepada penduduk.

“Komuniti yang menjadikan pencarian, pengumpulan, perkongsian, dan aplikasi ilmu sebagai pemacu utama kemajuan.

“Ia dicirikan oleh budaya membaca yang kuat, penguasaan teknologi, dan penerapan Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk melahirkan individu yang kreatif dan berdaya saing,” harapnya.

Dalam aspek pembangunan ekonomi, beliau menjelaskan, antara cabaran utama ialah penghijrahan anak muda ke bandar besar akibat kekurangan peluang pekerjaan, yang menurutnya perlu ditangani melalui kerjasama pelbagai pihak dan agensi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Muar.

“Sekiranya kita sediakan pekerjaan-pekerjaan yang boleh anak muda ini, (insya-Allah mereka akan kekal) berada di DUN Maharani di Muar ni,” ulas beliau sambil menekankan pendekatan komuniti dalam memperluaskan peluang ekonomi.

Sempena Pilihan Raya Negeri ini, beliau sebagai calon berharap DUN Maharani menjadi kawasan yang mendapat perhatian seluruh negara serta menjadi penanda aras dalam pelbagai aspek.

“(Bandar Maharani diharapkan menjadi penanda aras) semua apa saja dari segi peluang pekerjaan, dari segi iklim setempat, dari segi sosial dalam keadaan yang berkembang dan sentiasa berkembang teruslah mengikut keadaan zaman.

“Namun begitu, kita mengharapkan agar kita bekerja dalam komuniti yang saling bergantung antara satu sama lain dan bekerjasama dengan baik. Insya-Allah,” katanya.- HARAKAHDAILY 29/06/2026

Ulasan