Mazlan Bujang: Pengalaman lalu, kini sedia bangunkan Kahang




Mazlan Bujang: Pengalaman lalu, kini sedia bangunkan Kahang
June 29, 2026

NAMA Mazlan Bujang tidak asing dalam arena politik Johor. Beliau dikenali berpengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta seorang profesional dalam bidang kejuruteraan.

Kini beliau kembali menawarkan khidmat kepada rakyat apabila dipilih sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi N.31 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Berasal dari Johor Bahru, Mazlan masih aktif dalam kerjaya profesionalnya sebagai seorang jurutera mekanikal di sebuah syarikat pembinaan di Johor Bahru.

Pengalaman lebih dua dekad dalam bidang teknikal telah membentuk dirinya sebagai seorang yang sentiasa mengutamakan penyelesaian praktikal, perancangan tersusun dan pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Dalam dunia politik, beliau pernah mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai ADUN Puteri Wangsa, sebuah kawasan bandar yang pesat membangun.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau diberi kepercayaan menganggotai barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor dengan memegang portfolio Kerja Raya dan Pengangkutan. Selain itu, beliau juga pernah menggalas amanah menerajui portfolio Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

Pengalaman tersebut memberikan beliau pendedahan yang luas terhadap pelbagai aspek pentadbiran negeri, daripada pembangunan infrastruktur dan pengangkutan sehinggalah kepada pendidikan, komunikasi serta penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat.

Pilihan raya kali ini merupakan penyertaan kedua beliau dalam Pilihan Raya Negeri Johor. Pada PRN Johor ke-15, beliau bertanding di DUN Puteri Wangsa dan berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti kira-kira 25,000 undi.

Kini, beliau memilih meneruskan perjuangan politiknya bersama PAS.

Daripada bandar ke luar bandar

Bagi Mazlan, perpindahan daripada kawasan bandar ke kawasan luar bandar bukanlah satu kekangan, sebaliknya satu cabaran baharu yang memerlukan pendekatan berbeza.

Jika dahulu beliau memberi tumpuan kepada isu-isu bandar, kini beliau mahu menggunakan pengalaman pentadbiran dimiliki untuk membantu masyarakat Kahang yang majoriti penduduknya tinggal di gugusan FELDA serta pekan-pekan kecil.

Menurut beliau, cabaran utama di kawasan luar bandar masih berkisar kepada penyediaan kemudahan asas yang berkualiti. Isu jalan raya, kemudahan awam, komunikasi dan akses kepada perkhidmatan kerajaan perlu diberi perhatian supaya jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.

Beliau percaya pembangunan tidak boleh hanya tertumpu di bandar, sebaliknya mesti dirasai secara seimbang oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi.

Buka peluang pekerjaan kawasan pedalaman

Mazlan turut memberi perhatian terhadap isu penghijrahan golongan muda dari kawasan luar bandar ke bandar-bandar besar.

Menurut beliau, penghijrahan itu berlaku kerana peluang pekerjaan di kawasan pedalaman masih terhad disebabkan kekurangan kilang serta syarikat yang mampu menawarkan pekerjaan kepada anak-anak muda.

Bagaimanapun, beliau optimis pembangunan ekonomi Johor yang terus berkembang mampu membuka ruang kepada kemasukan pelaburan baharu ke kawasan seperti Kahang.

Beliau berpandangan bahawa pendekatan paling realistik ialah membawa masuk industri berskala kecil dan sederhana yang lebih mudah dibangunkan tanpa memerlukan kawasan industri besar atau proses perancangan mengambil masa terlalu lama.

Melalui langkah itu, beliau yakin lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan sekali gus mengurangkan penghijrahan belia ke bandar.

Pendigitalan pemangkin pembangunan

Mazlan melihat pembangunan digital sebagai antara agenda penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Beliau mengakui bahawa cabaran utama ketika ini ialah liputan telekomunikasi yang masih belum menyeluruh di beberapa kawasan pedalaman.

Berdasarkan pengalamannya sebagai EXCO kerajaan negeri, beliau pernah terlibat dalam usaha membina menara telekomunikasi bagi memperluaskan liputan rangkaian kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.

Pengalaman itu memberi keyakinan kepada beliau bahawa usaha memperbanyakkan menara telekomunikasi perlu diteruskan agar penduduk luar bandar menikmati capaian internet yang lebih stabil dan berkualiti.

Menurut beliau, kemudahan internet bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya keperluan asas yang membolehkan rakyat mengakses pendidikan, menjalankan urusan perniagaan, mendapatkan maklumat serta memanfaatkan teknologi dalam kehidupan seharian.

Beliau turut melihat perubahan budaya pekerjaan global yang semakin menerima konsep work from home sebagai peluang kepada penduduk luar bandar.

Katanya, dengan capaian internet yang baik, masyarakat tidak lagi semestinya perlu berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan kerana banyak syarikat kini menawarkan sistem kerja secara hibrid atau bekerja sepenuhnya dari rumah.

Keadaan ini katanya, mampu memberi peluang kepada golongan muda untuk terus menetap di kampung halaman tanpa mengorbankan prospek kerjaya mereka.

Pendidikan sebagai asas kejayaan

Bagi Mazlan, pembangunan sesebuah kawasan tidak akan berjaya tanpa pendidikan yang berkualiti. Beliau meletakkan agenda memperkukuhkan kemudahan pendidikan sebagai antara fokus utama sekiranya diberi mandat mewakili rakyat Kahang.

Beliau mahu memastikan anak-anak di kawasan pedalaman memperoleh peluang pendidikan yang setanding dengan pelajar di bandar.

Hasratnya adalah meningkatkan pencapaian peperiksaan di peringkat SPM dan STPM supaya lebih ramai pelajar daripada Kahang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kerajaan, swasta mahupun ke luar negara.

Menurut beliau kepada Harakahdaily, pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan terbaik kerana ia akan melahirkan generasi yang mampu mengubah masa depan keluarga, masyarakat dan negeri.

Perpaduan sebagai kekuatan

Selain pembangunan fizikal dan ekonomi, Mazlan turut menekankan kepentingan perpaduan masyarakat.

Beliau berharap masyarakat Melayu terus memperkukuhkan kesatuan dan memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu membawa suara serta aspirasi mereka ke Dewan Undangan Negeri Johor.

Bagi beliau, pembangunan hanya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila masyarakat bersatu hati dan bersama-sama menyokong usaha membangunkan kawasan luar bandar.

Ulasan