PRN JOHOR KE-16: PAS PERTARUH BARISAN ULAMAK, PROFESIONAL DAN BERPENGALAMAN BAWA CABARAN PERIKATAN NASIONAL


PRN JOHOR KE-16: PERTARUH BARISAN ULAMAK, PROFESIONAL DAN BERPENGALAMAN BAWA CABARAN PERIKATAN NASIONAL
Oleh: Khairul Faizi Ahmad Kamil, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Johor

Pagi Sabtu, 27 Jun 2026, menjadi detik bermulanya satu lagi episod penting dalam sejarah politik Johor. Seawal matahari terbit, ribuan para penyokong mula memenuhi 56 pusat penamaan calon di seluruh negeri. Dengan berpakaian parti masing-masing, mereka hadir membawa harapan dan doa agar calon yang dipilih berjaya menggalas amanah rakyat.

Bagi PAS, hari itu bukan sekadar hari penamaan calon. Ia adalah hari memperkenalkan barisan individu yang bakal membawa panji Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16. Seramai 11 calon dipertaruhkan, masing-masing dengan latar belakang, pengalaman dan kisah perjuangan yang tersendiri.

Di utara Johor, Ustaz Saifullah Abdul Wahab melangkah masuk ke pusat penamaan calon di Jementah dengan penuh keyakinan. Pertandingan tiga penjuru menantinya, namun suasana tenang yang menyelubungi proses penamaan calon memberi isyarat bahawa kempen akan berlangsung secara matang. Kehadiran pimpinan PAS Pusat dan negeri menjadi suntikan semangat kepada beliau untuk membawa suara rakyat Jementah.

Tidak jauh dari situ, di Tenang, seorang wanita melakar sejarah peribadinya sendiri. Normala Sudirman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala yang selama ini dikenali melalui kerja-kerja kebajikan dan dakwah masyarakat, kini memikul amanah lebih besar. Beliau menjadi antara dua calon wanita PAS dalam PRN kali ini. Bagi mereka yang mengenalinya, pencalonan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau telah lama turun padang menyantuni masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya. Malah, cikgu Mala pernah bertanding sebagai calon PAS di PRK Tenang pada tahun 2011.

Di Simpang Jeram pula, Arshed Yahya atau sangat popular di sana dengan nama Awang tampil dengan tekad untuk memperjuangkan agenda rakyat. Beliau percaya seorang wakil rakyat bukan sekadar hadir ketika kempen, tetapi mesti sentiasa bersama masyarakat dalam apa jua keadaan. Itulah janji yang dibawanya ketika melangkah keluar dari pusat penamaan calon.

Muar pula menyaksikan dua calon PAS memulakan perjalanan politik mereka. Di Maharani, Mohamad Anuar Hayan menerima sokongan luar biasa apabila diiringi Presiden PAS bersama pimpinan parti-parti sahabat. Memikul tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi DUN Maharani yang sebelum ini dimenangi oleh Cikgu Aziz Talib. Di Sungai Balang pula, calon muda Ustaz Muhammad Amin Sailan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin, melangkah dengan penuh ketenangan sambil diiringi pimpinan tertinggi parti. Kedua-duanya membawa harapan baharu kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Di Parlimen Parit Sulong, dua lagi nama menjadi perhatian. Halim Kepol, atau lebih mesra dipanggil Abang Halim, tampil sebagai calon di Semerah dengan imej pemimpin masyarakat yang dekat di hati penduduk. Sementara itu, di Sri Medan, Ustaz Ahmad Rosdi Baharu memulakan cabarannya dengan semangat untuk membawa politik yang bersih dan berteraskan khidmat kepada rakyat.

Antara nama yang turut mencuri perhatian ialah Haji Mazlan Bujang, calon bagi DUN Kahang. Beliau adalah mantan Exco Kerajaan negeri Johor dan ADUN Puteri Wangsa. Berbekalkan pengalaman sebagai jurutera, pengurusan organisasi dan mantan Exco, beliau memasuki gelanggang politik dengan pendekatan yang tersusun dan profesional. Pertandingan tiga penjuru yang menantinya dijangka menjadi antara persaingan yang menarik untuk diperhatikan sepanjang kempen ini.

Di sebelah timur Johor, Ustaz Hasnul Hakimi Hussien, calon paling muda mewakili PAS kali ini, mengangkat cabaran di Endau, manakala Yuhanita Yunan di Pasir Raja membawa suara wanita yang dekat dengan masyarakat. Bagi Yuhanita, pencalonan itu bukan soal mencari kedudukan, tetapi satu amanah untuk mendengar denyut nadi rakyat dan menjadi jambatan antara masyarakat dengan kerajaan.

Sementara itu, di kawasan Tiram yang semakin pesat membangun, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Khir, tampil menawarkan kepimpinan yang berteraskan ilmu, integriti dan kebersamaan. Pertandingan empat penjuru yang bakal dihadapinya dijangka menjadi antara kerusi yang paling mendapat perhatian sepanjang kempen nanti.

Apa yang menarik, kesemua sebelas calon ini datang daripada latar belakang yang berbeza. Ada yang pernah menjadi jurutera, ada yang bergelar ustaz, ada yang terkenal sebagai aktivis kebajikan, malah ada yang telah sekian lama memimpin masyarakat di peringkat akar umbi. Namun mereka berkongsi satu persamaan yang sama keinginan untuk berkhidmat kepada rakyat.

PAS juga terus memperlihatkan keyakinannya terhadap kepimpinan wanita apabila mengetengahkan dua calon wanita daripada keseluruhan sebelas kerusi yang ditandingi. Ia mencerminkan bahawa ruang kepimpinan dalam parti diberikan berdasarkan kemampuan, pengalaman dan rekod khidmat, bukan sekadar faktor jantina.

Kini, tempoh berkempen telah pun bermula. Dalam masa dua minggu akan datang, setiap calon akan turun menemui pengundi, mengetuk pintu rumah, mengadakan ceramah dan mendengar sendiri denyut nadi masyarakat. Akhirnya, segala usaha itu akan diterjemahkan pada 11 Julai 2026, apabila rakyat Johor membuat pilihan mereka di peti undi.

Bagi sebelas calon PAS yang membawa panji Perikatan Nasional ini, perjalanan sebenar baru sahaja bermula. Penamaan calon hanyalah langkah pertama. Amanah yang lebih besar ialah membuktikan bahawa mereka mampu menjadi wakil rakyat yang benar-benar memahami, mendengar dan berjuang demi kepentingan rakyat Johor.

Siri ala barakatillah!



Ulasan