Saifullah penuh cita-cita ubah wajah Jementah
June 29, 2026

CALON PERIKATAN NASIONAL (PN) N.02 DUN Jementah, Saifullah Abdul Wahab, 36, bertekad membawa pendekatan politik yang berteraskan khidmat kepada rakyat.
Beliau yang pengalaman dalam kepimpinan sejak di bangku sekolah serta penglibatan aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan merupakan anak tempatan kelahiran Segamat.
Minatnya terhadap dunia kepimpinan dan perjuangan masyarakat mula bercambah sejak di sekolah menengah menerusi penyertaan dalam pelbagai program kepimpinan dan kemasyarakatan sebelum diteruskan ketika bergelar mahasiswa di universiti.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti mahasiswa telah memupuk nilai kepimpinan, semangat khidmat masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai isu semasa yang dihadapi rakyat.
Selain itu, beliau turut aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya melibatkan misi bantuan kemanusiaan termasuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri serta menyokong usaha bantuan kepada rakyat Palestin.
“Penglibatan ini memberi pengalaman yang amat berharga dalam memahami keperluan masyarakat, mengurus sukarelawan serta menyelaras bantuan secara tersusun. Saya percaya kepimpinan yang baik bukan sekadar bercakap, tetapi hadir bersama rakyat ketika mereka memerlukan,” katanya.
Mengulas mengenai keutamaan sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.02 DUN Jementah, Saifullah berkata beliau akan memberi fokus kepada tiga perkara utama pada peringkat awal nanti.
Menurutnya, keutamaan pertama ialah memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan dengan mewujudkan saluran aduan yang lebih pantas dan berkesan supaya setiap masalah rakyat dapat diselesaikan dengan segera.
Selain itu, beliau akan mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, pemimpin masyarakat, usahawan serta agensi kerajaan bagi mengenal pasti keutamaan pembangunan di DUN Jementah.
Dalam masa sama, isu alam sekitar turut menjadi perhatian khusus, termasuk pencemaran sungai yang dikaitkan dengan aktiviti penternakan serta masalah bau daripada operasi industri.
Beliau berkata, pendekatan terbaik ialah melalui kerjasama erat antara pihak berkuasa, agensi berkaitan dan pengusaha bagi memastikan setiap aktiviti mematuhi undang-undang tanpa menjejaskan kesejahteraan penduduk.
Menyentuh isu penghijrahan golongan muda ke bandar besar, Saifullah berpandangan Jementah mempunyai potensi besar untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan sekiranya semua pihak berganding bahu.
Menurutnya, kehadiran syarikat besar seperti Eco-Shop yang mempunyai pusat operasi utama di Jementah merupakan satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi tempatan.
Beliau berhasrat menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat industri untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan, di samping memperluaskan program latihan industri, latihan kemahiran serta pembangunan keusahawanan.
Pada masa sama, beliau mahu memperkasa sektor pertanian moden, industri makanan berasaskan hasil tempatan, pelancongan serta ekonomi digital supaya lebih ramai belia memilih membina kerjaya dan kehidupan di Jementah.
Dalam era pendigitalan, Saifullah melihat teknologi sebagai satu keperluan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau mahu lebih ramai peniaga kecil dan usahawan tempatan memanfaatkan platform digital untuk memperluaskan pasaran serta meningkatkan pendapatan.
Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau akan menggalakkan pelaksanaan latihan pemasaran digital, penggunaan platform e-dagang, pembayaran tanpa tunai serta penyediaan saluran komunikasi digital antara pejabat ADUN dengan rakyat bagi memudahkan penyampaian maklumat serta pengurusan aduan secara lebih cekap.
Menggariskan visi masa depan, Saifullah mahu melihat Jementah muncul sebagai sebuah kawasan yang maju, sejahtera, bersih dan berdaya saing tanpa mengabaikan nilai kemasyarakatan serta kelestarian alam sekitar.
Beliau berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, usahawan tempatan terus berkembang, kemudahan awam dipertingkatkan dan anak-anak muda memilih untuk terus menetap serta menyumbang kepada pembangunan kawasan sendiri.
Kata beliau, ukuran kejayaan bukan hanya berdasarkan pembangunan fizikal, sebaliknya turut merangkumi peningkatan taraf hidup rakyat, peluang pekerjaan lebih baik, persekitaran lebih bersih, sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap serta keharmonian masyarakat berbilang kaum terus dipelihara.
Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Saifullah turut menyeru seluruh pengundi N.02 DUN Jementah agar menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan keluar mengundi pada hari pengundian.
Beliau mengajak rakyat memilih pemimpin yang bukan sekadar menawarkan janji, tetapi benar-benar mempunyai kesungguhan untuk berkhidmat, mendengar denyut nadi rakyat dan membawa penyelesaian terhadap setiap permasalahan yang dihadapi.
“Marilah kita bersama-sama membina Jementah yang lebih maju, harmoni dan sejahtera demi masa depan generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

Ulasan
Catat Ulasan