ISU Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan sekadar berkaitan akses ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) tetapi melibatkan prinsip, identiti dan hala tuju pendidikan negara.
Oleh Meja Rencana
18 Jun 2026, 9:00 am
KEPUTUSAN Kabinet membuka laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) perlu diteliti semula, bukannya diraikan sebagai sekadar peluasan akses pendidikan.
Walaupun syarat tertentu seperti lulus bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditetapkan, namun isu sebenar ialah keserasian UEC dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK).
Pengiktirafan kelayakan bukan hanya soal kemasukan ke universiti, namun berkait dengan prinsip asas yang menjadi dasar teras sistem pendidikan negara.
Dalam kerangka pendidikan awam, pengiktirafan sesuatu kelayakan bukan sekadar soal kecemerlangan akademik. Ia turut melibatkan keserasian dengan falsafah pendidikan negara, kedudukan bahasa kebangsaan, mematuhi kandungan kurikulum teras serta fungsi pendidikan sebagai tulang belakang pembinaan perpaduan nasional.
Di sinilah letaknya masalah utama UEC. Laluan ini wujud dan berkembang di luar sistem pendidikan kebangsaan. Oleh sebab itu, keputusan membuka laluan kemasukan ini wajar dinilai dengan lebih tegas sebelum akhirnya menjadi laluan rasmi ke IPTA.
Kerajaan sebelum ini pernah menegaskan tiada rancangan untuk mengiktiraf UEC dan isu ini dikaitkan secara langsung dengan DPK serta peruntukan Akta Pendidikan 1996. Pendekatan ini bukan lahir daripada keengganan menerima kepelbagaian tetapi daripada keperluan menjaga struktur dasar yang menjadi asas kepada sistem pendidikan negara.
Jika pengiktirafan diberikan tanpa disiplin dasar yang jelas, boleh membuka ruang kepada tafsiran bahawa kelayakan luar sistem kebangsaan boleh diserap masuk ke IPTA tanpa menepati kerangka nasional yang sedia ada.
Kebimbangan ini menjadi lebih ketara apabila dilihat dari sudut matlamat negara. DPK digubal bukan sekadar untuk melahirkan murid yang lulus peperiksaan tetapi untuk membentuk generasi yang bersatu padu, beridentiti nasional dan berkongsi asas pengetahuan yang sama.
Apabila satu sistem pendidikan beroperasi dengan kurikulum yang berbeza serta tidak sepenuhnya menyokong ekosistem kebangsaan, timbul persoalan sama ada pengiktirafan terhadapnya akan menguatkan sistem negara atau sebaliknya mewujudkan dualisme pendidikan?
Perbahasan ini juga tidak boleh diambil mudah dan dilihat sebagai isu akses ke universiti semata-mata. Memang benar terdapat pandangan yang mahu melihat UEC sebagai antara laluan ke pendidikan tinggi. Sebelum ini pula Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka laluan khas kepada lepasan UEC untuk memohon beberapa program tertentu di IPTA, khususnya dalam bidang bahasa dan pengajian Cina dengan permohonan tersebut tetap tertakluk kepada syarat universiti.
Namun, kelonggaran seperti itu tidak boleh disalah tafsir sebagai pengesahan bahawa semua aspek UEC selaras dengan DPK. Jika kerajaan mahu meluaskan akses, ia tetap perlu dilakukan dalam rangka syarat lebih tegas dan jelas, terutama pada aspek bahasa Melayu, Sejarah dan keserasian dengan keperluan nasional.
Oleh itu, pendekatan yang wajar ialah menegaskan prinsip, bukan menolak individu. Murid yang datang dari pelbagai latar pendidikan wajar dihormati, namun sistem pendidikan awam tidak boleh dikorbankan demi keselesaan politik atau tuntutan jangka pendek.
IPTA ialah institusi pendidikan negara, bukan ruang kompromi tanpa batas. Jika pendidikan negara pada hari ini gagal mempertahankan garisan dasar yang jelas, maka kita sedang membuka pintu kepada kekeliruan yang lebih besar pada masa hadapan.
Pada akhirnya, persoalan UEC bukan semata-mata tentang siapa yang layak masuk ke dalam sistem IPTA tetapi soal nilai yang negara mahu pertahankan dalam pendidikan nasional.
Jika DPK benar-benar menjadi asas bersama, maka sebarang bentuk pengiktirafan terhadap kelayakan luar sistem mestilah datang dengan syarat yang ketat, penilaian yang telus dan justifikasi dasar yang tidak boleh dipertikai.
Tanpa semua itu, pengiktirafan bukanlah pembaharuan, ia hanyalah penghakisan kepada prinsip yang sepatutnya kita pertahankan.
DR. MOHAMAD HISYAM ISMAIL
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Ulasan
Catat Ulasan