Ustaz Rosdi fokus tingkat pendidikan di Sri Medan



Ustaz Rosdi fokus tingkat pendidikan di Sri Medan

Selain pertanian, keusahawanan, capaian internet dan agrotourism
June 29, 2026



MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS bagi N.18 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Ustaz Ahmad Rosdi Bahari menegaskan, fokus utama beliau kali ini sekiranya diberikan kemenangan adalah memperkukuhkan sektor pendidikan.

Beliau berkata, dalam bidang pendidikan, prestasi pelajar di sekolah perlu dipertingkatkan selain mengambil contoh pencapaian negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu sebagai rujukan.

“Kalau kita lihat kedudukan tinggi peperiksaan besar itu di Kelantan dan Terengganu, mengapa tidak kita belajar dari mereka bagaimana nak ‘mobilize’ anak-anak kita supaya lebih cemerlang lagi,” ulas beliau kepada HarakahDaily di Laman Muafakat, di sini baru-baru ini.

Selain pendidikan arus perdana, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan agama termasuk madrasah tahfiz dan sekolah Islam swasta yang menurutnya perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kemampuan serta prestasi institusi tersebut.

Dari sudut pencalonan, beliau memaklumkan bahawa ini kali kedua beliau diamanahkan sebagai calon di DUN Sri Medan selepas kali pertama bertanding pada tahun 2013, selain Parlimen Parit Sulong pada 2018.

Beliau berkata, penglibatan dalam politik bermula sejak usia muda bersama Dewan Pemuda PAS ketika berada di Kuala Langat sebelum kembali ke kampung di Batu Pahat sekitar tahun 2005 atau 2006.

Mengulas keadaan kawasan DUN Sri Medan, beliau menyifatkan sosioekonomi kawasan tersebut berada dalam keadaan baik, namun masih terdapat beberapa aspek yang boleh diperkasakan.

Dalam sektor ekonomi, beliau menyatakan, terdapat keperluan memperkukuh bidang pertanian khususnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dengan penggunaan teknologi.

“Di sana ada vakum dalam pertanian ini, iaitu khususnya pekerja-pekerja di ladang di kebun-kebun. Yang mana hari ini kita lihat kebanyakan diambil daripada pekerja luar.

“Mengapa tidak kita cuba ‘mobilize’ kan para petani dengan teknologi agar mereka boleh mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia dan menggunakan teknologi dengan sebaiknya,” seru beliau lagi.

Beliau turut menyentuh potensi ekonomi digital dalam kalangan usahawan kecil dan anak muda, termasuk penggunaan media sosial untuk memasarkan produk dan perniagaan walaupun di kawasan luar bandar.

“Kita lihat hari ini, dengan adanya perkembangan teknologi media sosial, walaupun katalah ada warung-warung di hujung-hujung ceruk kampung, orang boleh tahu dan boleh jadi viral.

“Jadi ini yang kita boleh bantu anak-anak muda untuk mereka menggunakan teknologi sebaiknya. (Selain itu), dengan adanya media sosial perniagaan melalui media sosial, sekarang ini tak kira siapa, siapa pun boleh. Jadi ni antara benda yang kita boleh bangunkan,” terang beliau.

Tambah beliau, pembangunan teknologi dalam sektor pertanian juga penting bagi membantu generasi muda menguasai penggunaan mesin dan jentera moden bagi meningkatkan produktiviti.

“Kerana kawasan DUN Sri Medan ni kebanyakannya kawasan pertanian. Jadi kalau anak-anak muda ni menguasai ilmu teknologi dalam bidang pertanian dengan mesin-mesin jentera dan lain-lain, saya kira itu dapat membantu anak-anak muda di DUN Sri Medan untuk membangunkan ekonomi mereka,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, isu capaian internet dan telekomunikasi di kawasan kampung masih perlu dipertingkatkan walaupun terdapat kemudahan sedia ada, termasuk gangguan liputan di kawasan tertentu.

“Sebab kadang-kadang ‘wireless’ ni ada juga dia punya kekurangannya. Jadi di sana ada beberapa masalah penggunaan talian ini antaranya tempat yang jauh.

“Dan kalau di kampung-kampung ni kadang-kadang talian telefon ni dirosakkan oleh binatang liar seperti monyet. Jadi ini antara benda yang kita boleh pertingkatkan dari segi pembangunannya dan juga mengatasi masalah-masalah (tersebut),” beritahunya.

Beliau turut menyentuh potensi pembangunan pelancongan berasaskan pertanian atau agrotourism yang dilihat mampu menarik pengunjung dan menjana ekonomi setempat.

“Saya kira di DUN Sri Medan ni, ada tempat-tempat yang kita boleh bangunkan dari segi pelancongan. Ada dipanggil pelancongan agrotourism.

“Jadi sebagai sebuah kawasan pertanian mungkin kita boleh bangunkan agrotourism yang mana dia dapat menarik ramai orang datang dan ini boleh membangunkan ekonomi,” ceritanya.

Mengulas landskap politik semasa beliau menjelaskan, perubahan sentiasa berlaku dalam politik negara.

“Kalau dulu orang ingat BN boleh sampai bila-bila. Ternyata BN sekarang sudah jatuh dan kita lihat PH telah diberi peluang untuk memerintah negara.

“Tapi kita lihat hasilnya semua orang tahu apa yang dijanji, lain yang dibuat. Dijanji dengan bulan bintang tetapi tidak begitu hasilnya. Dan insya-Allah kita lihat hasil daripada kerajaan-kerajaan PAS yang ada di tempat lain. Dan inilah dia sumber inspirasi kami PAS di Johor ni.

“Sekiranya diberikan kemenangan, kita akan boleh mencapai suatu keadaan yang lebih baik daripada yang ada. Insya-Allah. Maka kita mengharapkan para pengundi kali ini memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL khususnya PAS itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

Ulasan