Yuhanita komited memperkasa potensi Pasir Raja
June 29, 2026

YUHANITA Yunan merupakan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi N.35 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau dikenali sebagai seorang pemimpin Muslimat yang berpengalaman serta istiqamah dalam perjuangan, dengan lebih dua dekad mengabdikan diri kepada PAS dan khidmat masyarakat.
Perjalanan politik beliau bermula pada tahun 2000 ketika menetap di Kuala Lumpur, apabila mula menyertai PAS.
Pengalaman awal itu menjadi titik tolak kepada penglibatan yang lebih aktif apabila beliau kembali ke Tenggara, sekali gus terus memperkukuhkan komitmennya dalam gerakan dakwah dan politik.
Sejak sekitar tahun 2015, Yuhanita semakin aktif dalam PAS Kawasan Tenggara dengan memegang pelbagai amanah kepimpinan.
Bermula sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan, beliau diberi kepercayaan memikul tanggungjawab yang lebih besar dari semasa ke semasa sehingga kini menyandang jawatan sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tenggara.
Sebagai anak tempatan yang memahami realiti kehidupan masyarakat, Yuhanita melihat Pasir Raja, khususnya kawasan Tenggara, mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Prihatin kepada warga FELDA
Namun begitu, beliau mengakui kawasan yang mempunyai banyak penempatan FELDA itu berdepan cabaran apabila ramai golongan muda berhijrah ke bandar bagi mencari rezeki, meninggalkan warga emas sebagai majoriti penduduk di kampung.
Menurut beliau, kekurangan peluang pekerjaan merupakan antara isu utama yang perlu diberikan perhatian serius kerana ia menjadi faktor utama penghijrahan belia ke luar kawasan.
Justeru, beliau berhasrat melihat lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan supaya generasi muda dapat terus membina masa depan di tanah kelahiran sendiri.
Sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Yuhanita bertekad untuk meneruskan khidmat dan bantuan kepada rakyat Tenggara, di samping memperjuangkan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.
Beliau berpandangan bahawa kedudukan Tenggara yang terletak di tengah-tengah antara Kulai, Senai dan Kluang merupakan satu kelebihan strategik yang wajar dimanfaatkan.
Dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta pelbagai pusat perindustrian dan logistik di kawasan berhampiran, beliau mencadangkan supaya sebahagian pusat pengedaran, logistik atau industri diperluaskan ke Tenggara.
Langkah tersebut diyakini mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, khususnya anak-anak muda, sekali gus mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke luar kawasan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Selain pembangunan fizikal, Yuhanita turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan teknologi dan pendidikan digital sebagai pemacu ekonomi rakyat.
Beliau percaya penggunaan media sosial bukan sekadar medium komunikasi, malah telah menjadi platform penting dalam memperluaskan peluang perniagaan, khususnya kepada usahawan kecil.
Menurutnya, peniaga kecil kini semakin memanfaatkan platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk memasarkan produk mereka.
Sehubungan itu, beliau mahu meningkatkan kesedaran dan kemahiran masyarakat dalam penggunaan media sosial agar lebih ramai usahawan tempatan mampu mengembangkan perniagaan secara dalam talian, di samping mempromosikan produk serta potensi Pasir Raja kepada pasaran yang lebih luas.
Bagi Yuhanita, pembangunan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh masyarakat yang celik teknologi dan bersedia memanfaatkan ekonomi digital sebagai pemangkin kemajuan.
Menjelang hari pengundian, beliau turut menyeru golongan muda berusia 18 tahun ke atas supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurut beliau, setiap undi amat bermakna dalam menentukan hala tuju kawasan dan negeri. Justeru, anak-anak muda perlu tampil memainkan peranan sebagai pencorak masa depan Pasir Raja melalui penyertaan aktif dalam proses demokrasi.
Kini pengalaman lebih dua dekad dalam perjuangan PAS dan kepimpinan sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tenggara dipertaruhkan.
Selain komitmen untuk terus mengangkat usaha pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan pendigitalan masyarakat setempat.
Yuhanita Yunan tampil membawa aspirasi untuk membangunkan Pasir Raja secara menyeluruh, berpaksikan kebajikan rakyat, pemerkasaan belia dan kemajuan yang lestari.- HARAKAHDAILY 29/6/2025

Ulasan
Catat Ulasan